NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label NEGERI. Show all posts
Showing posts with label NEGERI. Show all posts

Kamaruddin Md Nor Sah Digugurkan Daripada EXCO Kelantan

KOTA BHARU, 10 November 2026 – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor mengesahkan beliau telah menerima surat penamatan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan hari ini.

Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan beliau dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS yang sebelum ini menjadi perhatian susulan keretakan hubungan politik antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Kamaruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sejak Ogos 2023.

Sebelum menerima surat berkenaan, beliau dilaporkan mengakui sudah mendengar desas-desus mengenai kemungkinan khidmatnya ditamatkan, namun masih menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri.

Perkembangan itu berlaku ketika hubungan PAS dan BERSATU semakin tegang selepas PAS pada 8 Jun lalu mengumumkan keputusan menamatkan semua bentuk kerjasama politik dengan BERSATU.

Keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan wakil BERSATU yang masih menganggotai barisan EXCO di negeri-negeri yang ditadbir PAS, termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan bahawa kedudukan Kamaruddin akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO dan keputusan mengenainya akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pengguguran Kamaruddin menjadikan hubungan politik PAS-BERSATU di peringkat negeri kembali menjadi perhatian, khususnya mengenai implikasi keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan parti tersebut terhadap perkongsian kuasa dalam pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, Kamaruddin kekal sebagai ADUN Ayer Lanas dan penamatan pelantikan EXCO tidak menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan. - 1Media.my

Notis Sidang DUN Negeri Sembilan Bakal Dikeluarkan, Kemelut Pentadbiran Jadi Tumpuan

SEREMBAN, 10 November 2026 – Notis persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan persidangan yang dirancang pada penghujung November ini diteruskan.

Perkembangan itu hadir ketika kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara berkaitan penetapan tarikh persidangan, termasuk mendapatkan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memaklumkan bahawa kerajaan negeri masih mengekalkan perancangan untuk mengadakan persidangan DUN bermula 26 November ini, dengan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dijadualkan pada 27 November.

Bagaimanapun, isu kelewatan pengeluaran notis persidangan sebelum ini mencetuskan persoalan apabila Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, J. Arul Kumar mendakwa kesemua 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) masih belum menerima sebarang notis rasmi.

Beliau sebelum ini menegaskan notis persidangan perlu disampaikan sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal bagi membolehkan semua ADUN membuat persediaan, termasuk menyediakan soalan lisan dan bertulis serta menyelaraskan urusan berkaitan persidangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail pada 8 November lalu menegaskan bahawa DUN Negeri Sembilan tidak akan dibiarkan terbubar dan kerajaan negeri akan berusaha memastikan persidangan berlangsung mengikut jadual yang dirancang.

Menurutnya, segala persiapan bagi pembentangan belanjawan negeri telah dimuktamadkan dan kerajaan negeri hanya menunggu penetapan tarikh rasmi persidangan.

Persidangan kali ini dilihat penting bukan sahaja bagi membolehkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dibentangkan, malah menjadi perhatian susulan kemelut pentadbiran negeri yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Perhatian kini tertumpu kepada pengeluaran notis rasmi serta perkembangan mendapatkan perkenan Tuanku Muhriz bagi memastikan persidangan DUN dapat dilaksanakan mengikut perancangan. - 1Media.my

Khairy Teliti Prestasi MB Terengganu, Akui Hasil dan Pelaburan Negeri Meningkat

KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengakui prestasi pentadbiran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, menunjukkan peningkatan ketara berdasarkan penelitian terhadap data rasmi negeri.

Menurut Khairy, beliau terdorong membuat semakan sendiri selepas mendengar dakwaan bahawa Terengganu tidak menunjukkan pembangunan signifikan di bawah kepimpinan semasa.

“Saya pun ‘curious’. Saya nak tahu apa pencapaian Dr Sam sewaktu beliau jadi Menteri Besar Negeri Terengganu, sama ada bagus atau tidak,” katanya dalam program AudioSiar Keluar Sekejap bersama Syahril Hamdan.

Hasil Negeri Naik 60 Peratus

Khairy berkata hasil semakan menunjukkan beberapa indikator utama mencatatkan peningkatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12: 2021–2025).

Antaranya, hasil kerajaan negeri dilaporkan meningkat kira-kira 60 peratus antara 2018 hingga 2025, dengan sebahagian besar peningkatan melibatkan penjanaan hasil negeri sendiri.

“Maknanya pendapatan kerajaan negeri Terengganu meningkat sewaktu tempoh itu,” katanya.

Pelaburan dan Pertumbuhan Ekonomi Bertambah

Dari sudut pelaburan, Khairy membandingkan pencapaian antara dua tempoh rancangan pembangunan negara.

Beliau berkata, jika dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11: 2016–2020) pelaburan sekitar RM9.6 bilion direkodkan, jumlah itu meningkat kepada lebih RM14 bilion dalam RMK12.

Selain itu, kadar pertumbuhan ekonomi negeri turut meningkat kepada 4.1 peratus dalam RMK12 berbanding 1.9 peratus pada tempoh sama dalam RMK11.

Projek Baharu Pacu Pendapatan

Khairy turut merujuk kepada projek solar terapung di Tasik Kenyir Fasa 1 yang dijangka menjana 640 megawatt tenaga elektrik.

Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan tenaga boleh baharu, malah berpotensi meningkatkan pendapatan negeri melalui fi penggunaan permukaan air.

Belanjawan 2026 Catat Lebihan

Mengulas pembentangan Belanjawan Negeri 2026, Khairy berkata beliau mendapati bajet tersebut menunjukkan lebihan (surplus), sekali gus menolak tanggapan bahawa pentadbiran negeri berbelanja secara boros.

“Dia bentangkan belanjawan yang ada sedikit lebihan surplus. Pada masa sama, berjaya belanja untuk projek perumahan, pembasmian kemiskinan dan program sosioekonomi lain,” katanya.

Tambah beliau, antara fokus utama kerajaan negeri termasuk sekuriti makanan dan pembangunan industri halal.

Khairy menegaskan pandangannya dibuat berdasarkan semakan terhadap data dan laporan rasmi, bukan atas kepentingan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya ‘spin’ untuk dia. Saya ‘check’. Ini memang betul,” katanya.


Sumber: TRDI, 2 Mac 2026.
Penulis asal: Husaif Mamat.

Sultan Selangor Titah Tutup Operasi Kandang Babi di Tanjong Sepat, Pindah ke Bukit Tagar

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar secara berfasa.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, pada Isnin.

Menurut kenyataan Istana Selangor, baginda menegaskan bahawa tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjong Sepat, dan proses perpindahan hendaklah dilaksanakan secara terancang serta mematuhi semua keperluan perundangan.

“Operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar,” menurut kenyataan itu.

Izham dalam sidang media selepas sesi menghadap memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempercepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang, serta tidak akan memperbaharui sebarang lesen penternakan di kedua-dua kawasan berkenaan.

Langkah itu, katanya, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin dan bertujuan menangani isu pencemaran alam sekitar serta penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Izham turut menjelaskan bahawa projek penternakan di Bukit Tagar merupakan inisiatif pihak swasta, manakala kerajaan negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara dari segi kelulusan yang diperlukan.

Baginda sebelum ini menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan kaedah pengurusan penternakan babi di Selangor ketika ini, sekali gus mendorong pertemuan bersama Exco berkaitan.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar kajian terperinci dan bancian menyeluruh dijalankan bagi menentukan keperluan sebenar daging babi untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan eksport hasil penternakan tersebut.

Dapatan kajian itu, menurut baginda, perlu dijadikan asas dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar supaya kekal terkawal dan munasabah.

Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan awam bagi operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin seterusnya berharap semua pihak mematuhi ketetapan tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.


Kemelut politik Perlis: Azmir, Abu Bakar antara nama disebut calon MB baharu

KANGAR – Dua nama pemimpin kanan kerajaan negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan dan Abu Bakar Hamzah, disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi untuk mengisi jawatan Menteri Besar Perlis susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli.

Muhammad Azmir Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan dan Exco kanan kerajaan negeri daripada PAS dikatakan menerima sokongan kuat daripada kepimpinan PAS Pusat. Beliau turut dikenali sebagai antara individu yang rapat dengan bekas Menteri Besar Perlis itu.

Sekiranya jawatan tersebut diserahkan kepada wakil daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah dilihat sebagai calon utama berdasarkan prestasi beliau sebagai Exco kerajaan negeri serta ADUN Kuala Perlis. Abu Bakar juga mempunyai kedudukan kukuh dalam parti sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.

Sumber PN memaklumkan bahawa BERSATU telah mengemukakan tiga nama ADUN sebagai calon Menteri Besar, iaitu Abu Bakar Hamzah, Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (ADUN Pauh).

Sementara itu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan Menteri Besar lazimnya bergantung kepada individu yang memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Dalam konteks Perlis, PAS mempunyai sembilan kerusi DUN dan keputusan akhir bergantung kepada sokongan tersebut. Isu ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi bagaimana ia diurus secara berhemah dan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar bertenang, mengelakkan kenyataan berlebihan serta memberi ruang kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan muktamad.

Peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebelum ini telah meningkatkan suhu politik di Perlis, memandangkan kerajaan negeri perlu menentukan kepimpinan baharu bagi meneruskan pentadbiran PN yang berbaki kira-kira satu setengah tahun sebelum penggal berakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa parti itu telah mengemukakan dua nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Beliau berkata, PAS masih menguasai majoriti kerusi DUN Perlis walaupun tiga wakil rakyatnya telah digugurkan daripada keahlian parti.


“Dari Terbiar Jadi Kampus Al-Quran!” — Kompleks Kastam Gawi Tasik Kenyir Kini Hidup Semula Sebagai KQT

KUALA TERENGGANU, 10 Disember — Kompleks Kakitangan Kastam Gawi yang terbiar lebih 10 tahun di Tasik Kenyir kini “hidup semula” sebagai kampus baharu Kolej al-Quran Terengganu (KQT).

Bangunan yang pada asalnya dibina untuk kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu tidak pernah digunakan sepenuhnya, tetapi kini akan diubah suai untuk menampung bilik kuliah, pejabat pentadbiran, asrama pelajar, serta kemudahan pengajian al-Quran dan ilmu agama.

Pihak KQT berkata kampus baharu ini bakal menawarkan program hafazan, pengajian al-Quran, dan kursus ilmu Islam, membuka peluang kepada pelajar dari seluruh Terengganu dan negeri lain untuk menimba ilmu dalam persekitaran yang kondusif.

Projek ini bukan sahaja memanfaatkan aset kerajaan yang terbiar, malah turut mengambil kira keselamatan, keselesaan, dan kelestarian alam sekitar Tasik Kenyir — menjadikannya kombinasi unik antara pendidikan agama dan alam semula jadi.

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

“Saya Bukan Menteri Besar Pada Waktu Itu” – Sanusi Jelaskan Isu Projek Fidlot

ALOR SETAR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini tampil menjelaskan bahawa Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang kini menjadi perhatian umum, bukan dilaksanakan di bawah pentadbirannya.

Dalam sidang media di Wisma Darul Aman selepas pelancaran Kedah Digital Blueprint 2025 - 2050, Sanusi menegaskan projek berkenaan dirancang dan dimulakan ketika Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum tahun 2020.

Menurut beliau:

“Saya tak tahu apa-apa. Itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar.”

Beliau turut memaklumkan bahawa Datuk Azman Nasruddin, yang kini berdepan pertuduhan rasuah berjumlah RM400,000, merupakan EXCO kerajaan negeri pada tempoh tersebut.

KEDAH AGRO SUDAH DITUTUP

Mengulas lanjut, Sanusi turut menjelaskan bahawa Kedah Agro Holding Berhad, syarikat yang sepatutnya mengendalikan projek fidlot itu, telah ditutup melalui pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), sebelum diambil alih syarikat swasta tanpa penglibatan kerajaan negeri sekarang.

Beliau menambah, sebarang aktiviti berkaitan syarikat tersebut tidak lagi berada di bawah kawal selia kerajaan negeri.

Mengulas kedudukan politik Azman dalam Perikatan Nasional, Sanusi menjelaskan bahawa tiada tindakan akan diambil selagi mahkamah belum membuat keputusan.

“Beliau hanya didakwa. Selagi belum diputuskan bersalah, kita tidak ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Semalam, Azman dan seorang ahli perniagaan didakwa bersubahat menerima wang RM400,000 bagi mendapatkan projek fidlot daripada Kedah Agro.

Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan menyifatkan pendakwaan itu bermotifkan politik.


EXCO Terengganu Jelaskan Isu Surat Cadangan Projek Runding Terus RM4.95 Juta

KUALA TERENGGANU, 5 Dis — EXCO Infrastruktur Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, mengesahkan bahawa beliau mengeluarkan surat mencadangkan projek baik pulih Jalan Mengabang Telipot bernilai RM4.95 juta dilaksanakan secara runding terus, namun menegaskan ia bukan surat kelulusan rasmi seperti didakwa.

Hanafiah menjelaskan bahawa:

  • Surat itu hanyalah syor, bukan arahan meluluskan projek.
  • Prosedur yang digunakan adalah selaras garis panduan Kementerian Kewangan dan kaedah sokongan yang dibenarkan.
  • Penilaian teknikal, kewangan, serta kemampuan kontraktor telah dilakukan terlebih dahulu oleh jabatan berkaitan.

Penjelasan itu dibuat susulan pendedahan Perdana Menteri yang menyebut dua surat daripada EXCO Kelantan dan Terengganu yang dikatakan meminta kelulusan projek tertentu.

Runding Terus Disegerakan Kerana Faktor Kecemasan

Hanafiah berkata projek membaiki jalan yang terjejas hakisan pantai itu perlu dipercepatkan:

  • Runding terus hanya mengambil masa 2–3 bulan untuk kelulusan.
  • Sistem tender biasa akan mengambil 8–10 bulan.
  • Pemilihan kontraktor dilakukan selepas proses penilaian kelayakan.

Nafi Dakwaan Jalan Runtuh Berulang Kali

Beliau turut menolak naratif laman sosial yang mendakwa laluan tiga kilometer itu runtuh berkali-kali.

Menurutnya, runtuhan hanya berlaku sekali, pada 14 Januari, ketika kerja pembinaan sedang berjalan. Tiada peruntukan tambahan dikeluarkan kerana pembaikan ditanggung kontraktor di bawah jaminan.

DITC Tawar Diskaun 30% Sepanjang Musim Monsun, Lokasi Berhampiran Tarik Pengunjung

KEMAMAN, 4 Dis — Pusat penginapan DITC menawarkan promosi besar-besaran sepanjang musim monsun dengan potongan harga sehingga 30% bermula 28 November hingga 31 Disember 2025, menjadikan ia pilihan ideal untuk keluarga, pekerja luar kawasan dan pelancong yang mencari penginapan selesa pada harga berpatutan.

Promosi meliputi beberapa pilihan bilik iaitu Deluxe (Queen) pada harga RM84, Standard (2 Single) pada RM70, VIP (King) pada RM210 serta Bilik Kipas (2 Single) pada harga serendah RM30. Kemudahan asas lengkap, kawasan selamat serta parkir yang luas menjadikan DITC antara penginapan mampu milik paling strategik di Kemaman.

Selain tawaran bilik yang menarik, lokasi DITC turut dikelilingi beberapa destinasi pelancongan popular yang sesuai untuk pengunjung:

Pantai Teluk Mak Nik (Monica Bay)
Pantai yang terkenal dengan suasana tenang dan pemandangan menarik ini sesuai untuk berkelah, bergambar serta aktiviti santai tepi pantai. Ia juga menjadi tempat tumpuan pelancong terutama pada waktu petang.

Pantai Kemasik
Menjadi ikon pelancongan Kemaman, pantai ini menawarkan formasi batuan unik dan panorama laut luas yang sering menjadi lokasi fotografi. Ia juga antara pantai tercantik di Terengganu.

Zoo Kemaman / Mini Zoo Kemaman
Destinasi mesra keluarga ini menawarkan pelbagai tarikan haiwan serta kawasan rekreasi, sesuai untuk aktiviti bersama kanak-kanak dan rombongan sekolah.

Kedai Kopi Hai Peng, Chukai
Kopitiam terkenal ini menjadi lokasi wajib singgah bagi pencinta kopi dan makanan tempatan. Terletak tidak jauh dari pusat bandar, ia sering dipadankan sebagai lokasi sarapan atau makan tengah hari oleh pelancong.

Ma’Daerah Turtle Sanctuary
Kawasan konservasi penyu ini menawarkan pengalaman pendidikan dan santai bagi pengunjung yang meminati hidupan laut serta pemuliharaan alam.

Menurut wakil pengurusan, gabungan promosi harga bilik serta akses mudah ke lokasi pelancongan berhampiran menjadikan DITC pilihan ideal untuk pengunjung yang mahu menikmati cuti ringkas atau penempatan sementara di Kemaman.

Tempahan boleh dibuat menerusi Masha di 013-974 9770 atau Ain di 011-1164 7565.

DITC menegaskan komitmen mereka untuk terus menjadi penginapan selesa, selamat dan mampu milik sepanjang musim monsun.

Kelantan lulus SOP lesen dulang emas, permohonan dibuka awal tahun depan

Kerajaan Kelantan meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan lesen mendulang emas, dengan proses permohonan dijangka dibuka awal tahun depan selepas musim tengkujuh reda.

Exco berkenaan dilaporkan berkata lesen tersebut akan dikenakan bayaran RM100 setahun, tidak boleh dipindah milik, dan hanya ditawarkan kepada penduduk Kelantan.

Di bawah SOP baharu itu, aktiviti mendulang dibenarkan antara jam 8 pagi hingga 6 petang di kawasan yang akan diwartakan sebagai zon mendulang. Ia turut menetapkan peraturan alam sekitar bagi mengelakkan insiden seperti runtuhan tebing sungai.

Kerajaan negeri juga menetapkan semua emas yang diperoleh mesti dijual kepada pembeli berlesen yang diiktiraf kerajaan. Pembeli terbabit perlu memohon lesen khas melalui Pejabat Tanah dan Galian serta membayar royalti kepada negeri.

Had umur pendulang dan beberapa syarat teknikal lain sedang diteliti semula, manakala aktiviti mendulang di musim tengkujuh kekal tidak dibenarkan.

Menurut kerajaan negeri, SOP baharu itu bertujuan mengawal selia aktiviti mendulang yang selama ini banyak dilakukan tanpa garis panduan jelas, selain memastikan kutipan hasil negeri lebih teratur.


Penagih Dadah Akan Diusir Dari Tanah Kesultanan - Sultan Pahang

PEKAN, 25 Nov 2025 – KDYMM Sultan Pahang menegaskan bahawa tiada tempat bagi penagih dadah untuk menghuni di Tanah Kesultanan, iaitu tanah kurniaan milik baginda.

Baginda bertitah agar ibu bapa memberi perhatian serius terhadap pembentukan jati diri anak-anak serta memastikan mereka menjauhi gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.

“Mana-mana anak yang terlibat dengan dadah akan saya usirkan dari Tanah Kesultanan kerana saya mahu rakyat yang tinggal di sini benar-benar bersih dari segala aspek, termasuk kebersihan rumah dan kebersihan diri,” titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 26 penerima dari Pekan, Kuantan dan Rompin di Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah, Kampung Polo.

Baginda turut menyarankan 3,729 penduduk yang menghuni Tanah Kesultanan agar mengemukakan cadangan dan idea kepada Majlis Kesultanan Pahang bagi memastikan tanah kurniaan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Usaha bersama ini diharap dapat memperkukuhkan kemakmuran Tanah Kesultanan serta menjamin kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan,” titah baginda.

Sumber | Portal Rasmi Istana Pahang 


Dr. Sam Serah 200 Rumah Kepada Rakyat, Pesan Jaga Amanah

KEMAMAN, 20 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati para penerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal Sejahtera 2 agar menjaga amanah, antaranya dengan menyelesaikan bayaran bulanan yang dikenakan.


Beliau turut berharap, komitmen yang ditunjukkan akan menjadikan RMM berkenaan sebagai contoh perumahan yang harmoni dan sejahtera.

"Saya mewakili Kerajaan Negeri, ingin menyeru kepada semua bakal penerima rumah agar menjaga amanah rumah ini sebaik mungkin."Laksanakan tanggungjawab semua dengan penuh disiplin akan amanah rumah ini, jaga kebersihan dan keselamatan persekitaran, serta pupuk semangat kejiranan.

"Jadikan tempat ini satu tempat yang baru, kita datang dari pelbagai tempat dan sekarang kita akan hidup bersama-sama. Tentulah ada perkara yang akan jadi perkara baru, rakan baru, jiran baru, suasana tidak sama tetapi jadikan tempat ini sebagai azam baru untuk kita hidup harmoni, penuh semangat kejiranan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal Sejahtera 2, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan sekaligus merangkap ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.

Dr. Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Perumahan) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) atas komitmen pembinaan projek berkenaan.

"Terima kasih juga kepada semua agensi, pihak berkuasa tempatan dan individu yang terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek hingga akhirnya berjaya disiapkan.

Untuk makluman, pembinaan dan penyerahan 200 buah RMM di kawasan seluas 17.34 ekar itu bermula pada 15 Mac 2020 dan dijangka mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) pada hujung November 2025.

Unit rumah terbabit merupakan 100 peratus terdiri daripada RMM teres satu tingkat untuk sasaran dari golongan berpendapatan rendah di daerah Kemaman.

Kos sebenar pembinaan bagi satu unit rumah adalah sebanyak RM188 Ribu. Namun begitu, kerajaan negeri telah menetapkan harga rumah mampu milik ini adalah sebanyak RM 80,000.00 seunit.

Tempoh pembiayaan yang dipersetujui adalah selama 30 tahun, dengan kadar bayaran sebanyak RM 210.10 sebulan.

RM1.32 Bilion Royalti Petroleum Tak Masuk Akaun Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU, 13 November – Sejumlah RM1.32 bilion dana royalti petroleum milik Terengganu tidak disalur terus ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan 2025. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat 2 November 2025 Terengganu telah direkod menerima RM1.08 bilion hasil royalti daripada anggaran keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion  bersamaan 66.44 peratus bagi tahun ini.

Namun jelas beliau, jumlah itu menunjukkan masih terdapat sebahagian besar royalti yang tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sekali gus menjejaskan autonomi negeri dalam mengurus hasil sendiri.

"Setakat ini, (daripada jumlah yang direkod diterima) hanya RM583.35 juta disalurkan secara terus ke akaun kerajaan negeri, menyebabkan 47 peratus hasil royalti (RM497 juta) masih diuruskan pihak lain.

"Bagi tahun 2024 pula, kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.55 bilion, manakala selebihnya (RM820 juta) tidak dihantar terus kepada kerajaan negeri," katanya dalam Ucapan Penggulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, penyaluran yang tidak konsisten itu turut menjejaskan kemampuan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan program pembangunan serta kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya terhadap amalan semasa yang disifatkan sebagai episod hitam negeri. 
"Penyaluran juga tidak mengikut masa seperti perjanjian asal, iaitu dua kali setahun (ke akaun Kerajaan Negeri).

"Terengganu hanya menuntut apa yang termaktub dan menjadi hak negeri," katanya.

Sumber | TRDI

UMNO Kedah gesa Teresa Kok mohon maaf atas cadangan letak Langkawi di bawah kerajaan pusat

ALOR SETAR — UMNO Kedah mendesak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat permohonan maaf terbuka selepas kenyataannya mencadangkan Pulau Langkawi diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, satu cadangan yang parti itu sifatkan sebagai “mengguris hati rakyat Kedah” dan “menyentuh kedaulatan Sultan Kedah”.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah Teresa itu bukan sekadar satu cadangan pentadbiran, tetapi dilihat sebagai mencabar hak milik tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.

“Cadangan seperti ini bukan boleh disebut sesuka hati. Ia bukan soal pengurusan biasa, tetapi menyentuh martabat Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir turut menegaskan bahawa Ahli Parlimen DAP itu “tidak sensitif” apabila menyentuh hal berkait institusi Raja-Raja, lebih-lebih lagi ketika berucap di Dewan Rakyat yang memberi imuniti.

Kritik prestasi Langkawi di bawah kerajaan negeri

Teresa sebelum ini menyindir kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas atas dakwaan kegagalan membangunkan Langkawi, malah mencadangkan agar pulau pelancongan itu dijadikan Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa untuk membolehkan pentadbiran yang lebih tersusun dan mesra pelabur.

Cadangan itu bagaimanapun mengundang kemarahan UMNO Kedah yang melihatnya sebagai keterlaluan dan menyentuh hak Tuanku Sultan.

Mahdzir menambah bahawa pembangunan Langkawi masih boleh diperkukuh melalui instrumen sedia ada, termasuk peranan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), tanpa perlu menyerahkan pentadbiran pulau itu kepada kerajaan pusat.


FGV didakwa isytihar palsu tanah milik kerajaan Terengganu sebagai aset syarikat

KUALA TERENGGANU, 12 Nov — Kerajaan negeri Terengganu mendakwa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) membuat pengisytiharan palsu kepada Bursa Malaysia apabila menyenaraikan hampir 15,000 hektar tanah milik negeri itu sebagai aset syarikat semasa proses penyenaraian awam pada 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata dakwaan itu bukan bersifat tuduhan rambang, sebaliknya berasaskan dokumen dan data rasmi kerajaan negeri.

“Apabila FGV disenaraikan, mereka mengisytiharkan tanah kita sebagai aset mereka. Sedangkan status tanah itu masih milik kerajaan negeri Terengganu,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Azman, tanah yang dipertikaikan melibatkan 10 ladang komersial Felda di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman, yang sepatutnya memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri tetapi gagal berbuat demikian.

Beliau berkata tiada peneroka ditempatkan di kawasan tersebut, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia sebahagian daripada rancangan penempatan Felda.

“Tanah ini bukan kawasan rancangan peneroka. Tiada penempatan, tiada hasil kepada negeri, tiada perkongsian keuntungan,” katanya.

Azman mendakwa, Felda telah menyerahkan ladang berkenaan kepada FGV pada 2012, namun hak milik kekal di bawah kerajaan negeri, menjadikan pengisytiharan tanah itu sebagai aset FGV tidak sah dan bercanggah dengan peraturan Bursa Malaysia.

Kerajaan negeri kini menuntut bayaran semula 30% daripada keuntungan kasar ladang-ladang terbabit, selain premium dan cukai tanah tertunggak.

“Kita beri tempoh hingga 29 November untuk Felda beri maklum balas rasmi. Jika tiada, kita akan keluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana pencerobohan tanah kerajaan,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan, langkah itu bukan untuk menekan kebajikan peneroka Felda, tetapi bagi mempertahankan hak kerajaan negeri terhadap hasil tanah yang digunakan tanpa penyelesaian sah sejak hampir empat dekad.

“Kita bukan lawan peneroka. Ini soal hak negeri dan hasil rakyat. Nilainya sekitar RM600 juta — bukan jumlah kecil,” tambahnya.


Terengganu beri amaran kepada Felda: Selesaikan isu tanah atau hadapi tindakan rampasan

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran akan menyita sebanyak 14,791 hektar tanah yang diusahakan oleh Felda sekiranya agensi persekutuan itu gagal menyelesaikan isu perkongsian keuntungan sebelum 29 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim, berkata pertikaian berkenaan sudah berlarutan lebih 40 tahun, melibatkan tanah milik kerajaan negeri yang diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian hasil.

“Tanah yang terlibat meliputi 10 ladang milik FGV Holdings Berhad dan tidak membabitkan tanah rancangan peneroka.

“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penyelesaian melalui mekanisme perkongsian keuntungan sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, hari ini.

Dr. Azman turut menjelaskan bahawa Terengganu telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Felda, namun tiada penyelesaian konkrit dicapai setakat ini.

Beliau menambah, kerajaan negeri menuntut keadilan sama seperti yang telah diterima oleh kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Sabah, yang masing-masing sudah memperoleh hasil perkongsian keuntungan daripada tanah milik negeri yang diusahakan Felda.

“Kita tidak menuntut sesuatu yang luar biasa, cuma mahu hak negeri diiktiraf sebagaimana negeri-negeri lain,” tegasnya.

Tindakan menyita tanah hanya akan diambil sekiranya Felda gagal memberikan komitmen jelas sebelum tarikh akhir ditetapkan.

Isu ini dijangka menjadi antara perbincangan utama dalam hubungan antara kerajaan negeri dengan agensi persekutuan menjelang hujung tahun, dengan implikasi besar terhadap operasi Felda di pantai timur.


Penduduk Kampung Papan terkejut, rumah diroboh walau masih berpenghuni

KLANG – Beberapa rumah di Kampung Papan, Pandamaran mula dirobohkan hari ini, termasuk beberapa kediaman yang masih berpenghuni — sekali gus mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk.

Tindakan itu berlaku walaupun kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan hanya rumah kosong akan dirobohkan.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan, berkata tindakan tersebut bertentangan dengan janji kerajaan Madani yang kononnya menekankan nilai kemanusiaan.

“Inikah janji kerajaan Madani? Mereka kata hanya rumah kosong akan diroboh, tapi sekarang rumah yang masih dihuni pun turut musnah. Ada yang tua, ada yang sakit — ke mana mereka mahu pergi selepas ini?” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sekitar 20 rumah dilaporkan sudah dirobohkan pagi tadi menggunakan jentolak, termasuk enam rumah yang masih dihuni. Beberapa penduduk mendakwa mereka tidak diberi masa mencukupi untuk mengeluarkan barang keperluan sebelum operasi dijalankan.

“Kami minta tangguh sekejap, tapi mereka terus roboh. Barang pun banyak tak sempat selamatkan,” kata seorang penduduk yang rumahnya musnah dalam operasi itu.

Kerajaan Selangor sebelum ini memaklumkan rancangan untuk membina rumah baharu bagi 181 keluarga terjejas, menerusi projek oleh anak syarikat kerajaan negeri. Namun, sehingga kini belum ada tarikh rasmi penempatan semula diumumkan.

Arutchelvan turut mendakwa pemaju bertindak angkuh dan enggan berunding dengan wakil penduduk semasa operasi berlangsung.

“Kalau mereka benar-benar adil, bina dulu rumah ganti sebelum roboh. Tapi sekarang rakyat dihalau tanpa jaminan apa-apa,” tegasnya.

Exco Perumahan Selangor, Borhan Aman Shah, belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan bahawa rumah berpenghuni turut dirobohkan.


Penjawat Awam Kedah Terima Bantuan Khas RM2,000 Januari Depan

ALOR SETAR: Kakitangan awam Kerajaan Negeri Kedah bakal menerima Bantuan Khas sebanyak RM2,000 setiap seorang bermula Januari depan.

Perkara itu, dimaklumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor, ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kata beliau, bantuan khas yang akan dibayar pada Januari 2026 iaitu menjelang pembukaan sesi persekolahan dan Mac 2026 sempena Aidilfitri sebagai menghargai usaha keras mereka untuk kemajuan negeri. 

“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan dalam membangunkan negeri Kedah yang dicintai ini,” kata beliau.

Jelasnya, pemberian bantuan khas itu melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada 5,000 kakitangan awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam pada itu, Sanusi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas sokongan, pandangan bernas, komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Komitmen yang diberikan itu katanya, memastikan tadbir urus yang telus di samping menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Penghargaan yang sama juga saya tujukan khas kepada seluruh jentera Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Kedah.

“Gerak kerja cemerlang anda di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi, adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri,” kata beliau lagi.

Berikutan itu, ujarnya, setiap projek pembangunan terlaksana membolehkan Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat untuk mengubah Kedah daripada negeri Jelapang Padi kepada negeri berpendapatan tinggi dan progresif.

“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran juga adalah kunci kejayaan  dalam membangunkan negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penjawat awam di negeri juga akan menikmati kenaikan gaji pada awal 2026 sebanyak tujuh peratus dengan jumlah peruntukan sebanyak RM557.3 juta.

Jelas beliau, sebelum ini kakitangan berkenaan telahpun menikmati kenaikan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember 2024.

Sementara itu ujarnya lagi, sejumlah RM46.65 juta diperuntukkan pada 2026 ini bagi keperluan menyediakan suasana kerja kondusif yang bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja, malah melahirkan budaya kerja sihat serta kolaboratif dalam sesebuah organisasi.

Belanjawan Kedah 2026 juga turut memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi menyediakan kemudahan pejabat kepada para penghulu yang merupakan agen penghubung kerajaan dan rakyat khususnya menyelesaikan isu tempatan.

Katanya juga, sebanyak RM13.84 juta disediakan kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) termasuk tambahan peruntukan baru kepada MKK Kampung Baru dan bayaran elaun kepada Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Baling. 

Sumber | HARAKAHDAILY

Terengganu Perangi Najis Dadah Demi Kesejahteraan Sosial – Dr Riduan

KUALA TERENGGANU, 11 Nov – Kerajaan negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melestarikan kesejahteraan sosial rakyat dengan menjadikan usaha membasmi penyalahgunaan dadah sebagai keutamaan utama dalam agenda pembangunan insan dan sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor, berkata langkah itu selari dengan intipati Ucapan Bajet 2026 oleh Menteri Besar yang menekankan aspek melestarikan keperluan sosial sebagai tunjang kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Isu dadah bukan fenomena baharu. Ia diwarisi sejak zaman kolonial apabila British menghalalkan opium pada tahun 1826. Kini, cabarannya lebih kompleks dengan wujudnya dadah sintetik dan penyalahgunaan vape,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, walaupun Terengganu diiktiraf sebagai negeri paling bahagia dan berbudaya tinggi, ancaman najis dadah terus menular terutama dalam kalangan remaja di kawasan luar bandar, termasuk di daerah Kuala Nerus dan Besut yang mencatat jumlah penagih tertinggi.

Dr Riduan berkata, berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 12,004 penagih dadah direkodkan di Terengganu pada tahun 2024, manakala penggunaan vape kini dikenal pasti sebagai pintu masuk baharu kepada penagihan dadah sintetik.

“Vape yang dicampur dengan bahan seperti ganja sintetik dan ‘magic mushroom’ menyebabkan ketagihan lebih parah. Ia turut dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti sawan, darah beku, kegagalan pernafasan dan kanser,” ujarnya.

Beliau memuji langkah berani kerajaan negeri menghentikan penjualan vape secara berperingkat sejak 2018 meskipun menerima tentangan hebat daripada pengusaha industri berkenaan.

“Keputusan ini dibuat atas dasar menjaga kemaslahatan rakyat dan masa depan generasi muda. Langkah ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesihatan awam dan nilai moral masyarakat,” katanya.

Dr Riduan turut mencadangkan agar kempen antidadah berskala besar dilancarkan pada tahun 2026 dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk PDRM, AADK, PEMADAM, NGO, serta Pejabat Khidmat Masyarakat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan perlu tegas melindungi generasi muda sebagai pewaris bangsa daripada budaya hedonisme dan gaya hidup songsang yang melemahkan jatidiri Muslim. Hanya dengan integriti, iltizam politik yang tinggi, dan kerjasama semua pihak, kita mampu menjadikan Terengganu negeri bebas dadah dan berkat,” tegasnya.

— 1Media.my

Terengganu Kekal Tanpa Defisit, Jana Hasil RM261.61 Juta — Simbol Tadbir Urus Cekap

KUALA TERENGGANU | 10 Nov 2025 - Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh apabila berjaya merekodkan RM261.61 juta hasil negeri setakat 31 Oktober 2025, sekali gus mengekalkan rekod tanpa defisit fiskal untuk tahun ini.

Menurut pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman hari ini, jumlah perbelanjaan negeri dicatatkan sebanyak RM1.416 bilion, lebih rendah daripada hasil keseluruhan yang dianggarkan.

Ahmad Samsuri berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa pentadbiran negeri kekal berdisiplin dalam pengurusan fiskal, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan penyusutan hasil minyak.

“Sehingga 31 Oktober lalu, hasil negeri berjumlah RM261.61 juta.
Manakala perbelanjaan adalah RM1.416 bilion — lebih rendah daripada hasil keseluruhan — sekali gus mengelakkan defisit fiskal,” katanya.

Sasaran RM288.59 juta pada 2026

Beliau turut menyatakan sasaran baharu negeri untuk menjana RM288.59 juta hasil pada 2026, dengan 70% daripadanya dijangka datang daripada hasil bukan cukai, termasuk aktiviti pelaburan, tanah dan sektor pelancongan.

“By unlocking our potential, saya percaya hasil negeri mampu melepasi RM300 juta dengan pertumbuhan ekonomi antara 3.4 hingga 4.2 peratus,” katanya optimis.

Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” memberi tumpuan kepada tiga fokus utama — pengukuhan tadbir urus, penstrukturan semula daya tahan ekonomi dan kelestarian sosial.

“Disiplin fiskal jadi asas”

Menurut penganalisis ekonomi tempatan, kejayaan mengekalkan akaun negeri dalam keadaan “surplus” beberapa tahun berturut-turut menunjukkan Terengganu berjaya mengimbangi pembangunan dan tanggungjawab sosial tanpa bergantung sepenuhnya pada hasil petroleum.

Namun, ada juga pandangan bahawa angka lebihan ini perlu diterjemahkan kepada kesan nyata kepada rakyat — termasuk isu pekerjaan, harga rumah dan infrastruktur luar bandar.

Belanjawan kali ini juga menegaskan keutamaan kepada peningkatan hasil sedia ada melalui pemerkasaan jabatan negeri, GLC dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih efisien serta berdaya saing.

Ahmad Samsuri menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa “Terengganu boleh terus maju tanpa bergantung kepada pinjaman luar”, selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera 2030”.

- 1Media.my

© all rights reserved
made with by templateszoo