NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khairy Teliti Prestasi MB Terengganu, Akui Hasil dan Pelaburan Negeri Meningkat

KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengakui prestasi pentadbiran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, menunjukkan peningkatan ketara berdasarkan penelitian terhadap data rasmi negeri.

Menurut Khairy, beliau terdorong membuat semakan sendiri selepas mendengar dakwaan bahawa Terengganu tidak menunjukkan pembangunan signifikan di bawah kepimpinan semasa.

“Saya pun ‘curious’. Saya nak tahu apa pencapaian Dr Sam sewaktu beliau jadi Menteri Besar Negeri Terengganu, sama ada bagus atau tidak,” katanya dalam program AudioSiar Keluar Sekejap bersama Syahril Hamdan.

Hasil Negeri Naik 60 Peratus

Khairy berkata hasil semakan menunjukkan beberapa indikator utama mencatatkan peningkatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12: 2021–2025).

Antaranya, hasil kerajaan negeri dilaporkan meningkat kira-kira 60 peratus antara 2018 hingga 2025, dengan sebahagian besar peningkatan melibatkan penjanaan hasil negeri sendiri.

“Maknanya pendapatan kerajaan negeri Terengganu meningkat sewaktu tempoh itu,” katanya.

Pelaburan dan Pertumbuhan Ekonomi Bertambah

Dari sudut pelaburan, Khairy membandingkan pencapaian antara dua tempoh rancangan pembangunan negara.

Beliau berkata, jika dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11: 2016–2020) pelaburan sekitar RM9.6 bilion direkodkan, jumlah itu meningkat kepada lebih RM14 bilion dalam RMK12.

Selain itu, kadar pertumbuhan ekonomi negeri turut meningkat kepada 4.1 peratus dalam RMK12 berbanding 1.9 peratus pada tempoh sama dalam RMK11.

Projek Baharu Pacu Pendapatan

Khairy turut merujuk kepada projek solar terapung di Tasik Kenyir Fasa 1 yang dijangka menjana 640 megawatt tenaga elektrik.

Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan tenaga boleh baharu, malah berpotensi meningkatkan pendapatan negeri melalui fi penggunaan permukaan air.

Belanjawan 2026 Catat Lebihan

Mengulas pembentangan Belanjawan Negeri 2026, Khairy berkata beliau mendapati bajet tersebut menunjukkan lebihan (surplus), sekali gus menolak tanggapan bahawa pentadbiran negeri berbelanja secara boros.

“Dia bentangkan belanjawan yang ada sedikit lebihan surplus. Pada masa sama, berjaya belanja untuk projek perumahan, pembasmian kemiskinan dan program sosioekonomi lain,” katanya.

Tambah beliau, antara fokus utama kerajaan negeri termasuk sekuriti makanan dan pembangunan industri halal.

Khairy menegaskan pandangannya dibuat berdasarkan semakan terhadap data dan laporan rasmi, bukan atas kepentingan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya ‘spin’ untuk dia. Saya ‘check’. Ini memang betul,” katanya.


Sumber: TRDI, 2 Mac 2026.
Penulis asal: Husaif Mamat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo