NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label BERSATU. Show all posts
Showing posts with label BERSATU. Show all posts

14 Bahagian Bersatu Perak Desak Muhyiddin Undur

Di Perak, seramai 14 ketua dan kepimpinan bahagian Bersatu hari ini tampil secara bersama mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk berundur daripada jawatan.

Gesaan itu dibuat dalam satu sidang media di Perak yang menghimpunkan ketua bahagian, timbalan serta setiausaha bahagian.
Mereka menyifatkan langkah tersebut perlu bagi membuka laluan kepada proses pembaharuan parti yang dianggap semakin mendesak.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata Muhyiddin perlu bertanggungjawab terhadap kemelut berpanjangan dalam parti, termasuk kekalahan pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini.

Menurutnya, kegagalan menangani isu dalaman serta beberapa isu peribadi yang dikaitkan dengan Pengerusi Perikatan Nasional itu didakwa menjadi liabiliti, sehingga menyumbang kepada penolakan rakyat terhadap Bersatu dan gabungannya.

Dalam masa sama, kumpulan itu turut mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu menggantung dan memecat beberapa pemimpin, termasuk Ketua Bahagian Ipoh Timur, Muhammad Fadhli Ismail, yang dipecat pada 14 Oktober lalu.

Antara bahagian yang terlibat dalam desakan itu termasuk Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut dan Gerik.

Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada kepimpinan tertinggi Bersatu berhubung desakan berkenaan.


BERSATU pecat Ketua Bahagian Sepang, Puchong

Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (kiri) dan Mohd Shukor Mustaffa.
Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (kiri) dan Mohd Shukor Mustaffa.

KUALA LUMPUR: BERSATU memecat keahlian dua Ketua Bahagian, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustaffa (Puchong), berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan, dalam satu notis, semalam, mengesahkan kedua-duanya dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

"Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan serta memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 30 Oktober 2025, dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU," katanya dalam notis berkenaan.

Beliau berkata, responden yang dipecat keahlian terlucut semua jawatan yang disandang dalam parti, dan hendaklah dikeluarkan daripada senarai ahli BERSATU dengan serta-merta.

Sementara itu, notis berkenaan turut memaklumkan bahawa Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis, dibebaskan dengan teguran.

Sebelum ini, Abdul Razak mempertikaikan sikap keras yang didakwa ditunjukkan oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu dalaman BERSATU, dan menganggap Ketua Penerangan parti itu sebagai 'terlalu mentah'.

Pada Oktober lalu, media melaporkan Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, selain menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.

Empat lagi ahli, iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang) turut dipecat. 

Sumber | Bharian

Srikandi Bersatu gesa polis siasat Hannah



KUALA LUMPUR – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera menjalankan siasatan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara.

“Kami juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk segera mengharamkan buku Becoming Hannah. Selain itu, kami turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera memecat Hannah daripada Kabinet atas tindakan yang melanggar prinsip tata kelola Kerajaan Madani,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan serta keharmonian, pihaknya merasa terancam dengan tindakan Hannah yang berpotensi menjejaskan masa depan ummah khususnya golongan belia di bawah portfolio kementerian beliau.

“Tindakan ini juga mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini. Ruang tidak seharusnya dibuka kepada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang dengan melakukan kerja pendakyahan agama bukan Islam kepada orang Islam, apa lagi dengan menggunakan dana awam Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin turut memaklumkan Srikandi Bersatu telah membuat laporan polis secara serentak di seluruh negara pada pukul 10 pagi semalam.

Kes tersebut besar implikasinya kerana kenyataan yang dipertikaikan Hannah menulis bukunya Becoming Hannah yang dikatakan adan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

“Srikandi Bersatu Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha yang mengancam keharmonian dan kestabilan negara.

“Sekiranya gesaan kami ini tidak mendapat maklum balas, kami akan melakukan tindakan selanjutnya demi mempertahankan kesucian Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan masa depan belia Islam di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sayap Bersatu anggap Hannah langgar undang-undang

Ketua Armada Bahagian Tanjong Karang, Muhammad Khairulamirin Mohamad Lizam membuat laporan polis di IPD Tanjung Karang semalam.




KUALA LUMPUR – Sayap Srikandi Muda dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap kenyataan Hannah Yeoh dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey memuatkan unsur dakwah Kristian secara tersirat termasuk kepada masyarakat bukan Kristian. 

Oleh yang demikian, dua sayap berkenaan bertindak membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan berkenaan semalam.

“Kenyataan dalam buku tersebut termasuk misi beliau sebagai duta tuhan dan menggunakan jawatan politik untuk menyampaikan ajaran Kristian secara meluas termasuk kepada golongan muda dan pemimpin dunia dilihat bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Sebagai sebuah negara berbilang agama, tindakan yang mencetuskan ketegangan antara agama perlu dicegah,” kata Ketua Armada Bahagian Tanjong Karang, Muhammad Khairulamirin Mohamad Lizam.

Malah pihaknya turut menganggap Hannah boleh menggunakan jawatan politik untuk menyampaikan ajaran Kristian secara meluas termasuk kepada golongan muda dan pemimpin dunia juga dilihat bertentangan.

“Sebagai sebuah negara berbilang agama, tindakan yang mencetuskan ketegangan antara agama perlu dicegah. 

“Pihak polis diminta menyiasat kandungan buku “Becoming Hannah” atas dakwaan melanggar undang-undang Malaysia berkaitan penyebaran agama serta mengambil tindakan undang-undang terhadap Hannah Yeoh dan pihak penerbit buku tersebut,” kata Muhammad Khairulamirin. 

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Hannah untuk mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai menteri serta Ahli Parlimen Segambut demi memelihara keharmonian antara agama di Malaysia. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

'Tiada parti mampu bergerak tanpa sokongan dana pihak lain'

Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad.- FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Tiada mana-mana parti politik di negara ini yang mampu bergerak dan membiayai parti tanpa ada sokongan dana daripada pihak lain.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan pengalamannya yang sudah lebih 50 tahun dalam politik.

“Mereka (kerajaan) kata kita sahaja buat begitu. Saya sudah lama dalam politik, lebih 50 tahun. Kalau kata dana yang diperoleh itu dicari sendiri dengan berniaga, ok lah.

"Tapi, apabila kata parti mencari duit sendiri, saya yakin ia mendapat sokongan pemberian daripada pihak badan korporat, individu tertentu dan kemungkinan besar sumbangan dari luar negara.

"Jika berani, tunjuklah kerana ketika ini pertuduhan (yang dialami Muhyiddin) seolah-olah kita (Bersatu) sahaja yang lakukan. Kalau ada syarikat untung berbilion ringgit, tak apalah tetapi saya jamin ia tiada.

"UMNO dulu ada syarikat, tetapi sekarang pun entah ke mana. Sebab itu, kalau mahu tahu kedudukan sebenar, siasat dan ia terserah kepada SPRM," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan dasarnya mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, bukan sahaja Bersatu, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kedua-dua pemimpin itu serta sumber kewangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO.


Sumber | Sinar Harian




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Srikandi tubuh UPKS pastikan PN rampas tiga negeri dalam PRN

Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu di Menara PGRM, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sayap wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

"Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan," katanya.

Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung 'hibah abah' dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.


- BERNAMA





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Perhimpunan agung Bersatu 2022 diadakan pada 3 Mac ini

MGF19122022_SIDANG-DEWAN-RAKYAT13-2-681x454
Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2022 akan diadakan pada 3 hingga 5 Mac ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia ditetapkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan semalam dan selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan parti berkenaan.

“MPT juga telah membincangkan laporan pascanilai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Hamzah, Persidangan Cawangan 2023 akan diadakan pada 1 Julai hingga 31 Ogos, Persidangan Sayap-Sayap Bahagian pada 7 Oktober, Persidangan Bahagian pada 21 Oktober dan Perhimpunan Agung Tahunan 2023 dari 23 hingga 25 November tahun ini.

“Sehubungan itu, pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa Cawangan, Bahagian dan Ahli MPT bagi penggal yang baharu akan diadakan pada tarikh-tarikh seperti di atas selaras dengan perlembagaan parti,” katanya. – MalaysiaGazette


Bersatu Sabah akan disusun dan distruktur semula – Wan Saiful

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan disusun dan distruktur semula selepas pemimpin parti itu termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penstrukturan semula itu akan diketuai Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, tindakan pemimpin Bersatu keluar parti itu disifatkan sesuatu yang lumrah yang perlu dilalui mana-mana parti politik khususnya selepas berakhir pilihan raya umum.

Dalam masa sama, beliau yakin parti itu tidak akan terjejas memandangkan pernah melalui pengalaman sama sebelum ini iaitu ketika tokoh besar seperti bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad; anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Marzuki Yahya turut keluar daripada Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.

“Bersatu Sabah tetap kekal dan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), kita ada perancangan dan ada tindakan yang mana Timbalan Presiden akan mengetuai usaha menyusun semula bahagian-bahagian yang akan diisi pimpinan atasan nanti,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Wan Saiful mengulas tindakan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor semalam yang meninggalkan parti itu selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, tindakan Hajiji itu didorong oleh kepentingan jawatan dan kuasa.

“Di Sabah, tak ada sebarang masalah tetapi tiba-tiba mereka nak keluar.

“Saya kata kalau Hajiji nak keluar, tak apa, bawa sama beberapa orang pengikutnya dan kita akan susun balik parti,” katanya.

80% keluar mengundi, Umno akan hanyut dalam sungai Muar, kata Muhyiddin


PAGOH:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin yakin sekiranya 80% pengundi keluar mengundi pada 19 Nov ini, Umno pasti akan hanyut di dalam Sungai Muar.

Beliau berkata sebab utama Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sebab peratusan keluar undi yang rendah dan ramai penyokong Umno turun mengundi.

“Saya minta semua di kampung-kampung ini atau di kampung-kampung lain, pengundi yang sudah ada dalam daftar pemilih, hendaklah keluar mengundi beramai-ramai.

“Macam PRN Johor dulu tak ramai keluar (mengundi kerana) orang Umno totok ada di situ jadi (BN) menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok bersama masyarakat Kampung Tengah, Kampung Naib Piee, Kampung Parit Buaya dan Kampung Sungai Terap, Pagoh.

Pada PRN Johor Mac lalu, BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pilihan raya kali ini amat penting bukan kerana soal beliau, Dr Mahathir Mohamad, Ismail Sabri Yaakob atau Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata ini kerana soal rakyat.

“Ini satu tanggungjawab penting. Tanggungjawab (kita turun) mengundi pada 19 Nov ini.

“Gelombang PN dilihat semakin tinggi misalnya di Perlis dan Kedah baru-baru ini saya pergi ke sana dapat merasainya,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

'Bukan 1,000, hanya empat keluar parti'

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Mohd Zharif Mohd Zohdi pada sidang media berhubung peletakan jawatan Datuk Syed Sobri Syed Hashim sebagai Ketua Bahagian, hari ini. - Foto NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

KUALA NERANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Padang Terap menafikan 1,000 ahlinya bertindak keluar parti, sebaliknya hanya empat ahli berdaftar berbuat demikian.

Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zharif Mohd Zohdi, berkata empat ahli berkenaan bertindak sedemikian bagi mengikuti bekas Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, yang mengumumkan keluar parti, hari ini. 

Beliau berkata, tindakan Syed Sobri meninggalkan parti itu sudah dijangka, selain ia adalah bersifat peribadi serta tidak membabitkan kebanyakan ahli BERSATU lain.

"Semakan rekod yang dilakukan mendapati hanya empat orang saja, yang benar-benar menjadi ahli parti bersama Syed Sobri.

"Keputusan meletak jawatan dan keluar parti itu juga adalah keputusan peribadi beliau sendiri dan tidak mewakili kami Ahli Jawatankuasa BERSATU Padang Terap.

"Keputusan yang dibuat itu juga sudah dijangka berdasarkan tindakannya yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Sobri, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, mengumumkan keluar parti bersama lebih 1,000 ahli BERSATU Padang Terap. 

Meskipun tidak mengumumkan menyertai mana-mana parti, Syed Sobri bersama pengikutnya memaklumkan akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Mohd Zharif berkata, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap pada 15 Oktober lalu.

Katanya, sebaik beliau meletakkan jawatan, pihaknya sudah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan semua 21 AJK kekal bersama BERSATU hingga kini. 

"Jika beliau tak puas hati, sepatutnya suarakan melalui perbincangan dan perjumpaan bulanan. Jadi, alasan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal.

"Kita faham waktu ini adalah ruang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi kerana ini masa yang terbaik untuk dijanjikan sesuatu, mungkin beliau ada dijanjikan sesuatu," katanya.


Sumber I BH Online


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Razali umum tidak bertanding pada PRU-15

Kuala Terengganu: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) negeri, Senator Datuk Razali Idris membayangkan hasrat untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, bayangan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon lain daripada pimpinan Bersatu bertanding di kerusi Parlimen yang akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

"Saya dengan rendah hati ingin memohon ribuan kemaafan kepada penyokong dan ahli Bersatu di seluruh negeri kerana memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-15.

"Saya menyeru kepada semua ahli parti supaya menyokong calon yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti, bagi memastikan calon parti komponen dalam PN menang pada PRU-15," katanya.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merasmikan Jentera Pilihan Raya Bahagian Bersatu bahagian Besut.

Turut hadir, Ketua Bersatu bahagian Besut, Mohd Husaimi Hussin dan Timbalannya, Datuk Wan Mohd Ariff Rashiddin Wan Jusoh.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang berkata, hasrat untuk tidak bertanding bagi memberi peluang kepada pemimpin lain sudah dimaklumkan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai jumlah kerusi Parlimen yang diserahkan kepada Bersatu, beliau berkata perbincangan terakhir sedang dilakukan dan akan diumumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

‘Saya dah nampak pintu keluar’, Latiff sedia beri laluan di Mersing


PETALING JAYA:
Penyandang Parlimen Mersing Abd Latiff Ahmad sedia berundur untuk memberi laluan kepada calon lebih “bertenaga” mewakili Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, dirinya tiada masalah jika tidak dicalonkan dan sedia melabuhkan tirai perkhidmatan sebagai wakil rakyat selama 35 tahun selain memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan persekutuan.

Katanya, tidak timbul isu beliau takut berdepan kekalahan pada PRU15 dan menjelaskan Parlimen Mersing mempunyai ramai bakat baharu.

“Dah lama saya bersedia (untuk) berundur. Tak ada hal kalau tak dicalonkan, saya sudah sampai kepada klimaks.

“Pemimpin ini salah satu sama ada dia sudah nampak ‘exit door’ (pintu keluar), dia pergi atau orang tunjuk ‘exit door’. Biar saya pergi dan nampak ‘exit door,” katanya menurut Berita Harian.

Pada pilihan raya umum 2018, Latiff yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada PAS dan PKR.

Namun, beliau keluar Umno pada Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu pada Februari 2019.

Beliau dilantik menteri pembangunan luar bandar di era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan menteri tugas-tugas khas dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan


SENARAI nama calon Srikandi BERSATU untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

Mereka yang disenaraikan adalah dalam kalangan profesional dan berkaliber, bukan setakat ahli Srikandi yang berusia lebih 35 tahun, malah dalam kalangan pemimpin Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun.

Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau diamanahkan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun untuk melengkapkan senarai nama sebelum dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi sayap berkenaan.

“Kami akan bincang dan bawa kepada Presiden BERSATU antara esok hingga hujung minggu untuk dimuktamadkan. Oleh sebab ada beberapa negeri tidak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi nama itu setakat babit negeri yang bubar DUN, selain peringkat Parlimen,” katanya, lapor Berita Harian.

Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, berkata, calon Srikandi bukan setakat profesional, malah komited untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat sama ada di DUN atau Parlimen, selain sumbangan kepada usaha BERSATU untuk menang PRU-15.

Enggan mendedahkan jumlah nama itu, beliau berkata, meskipun baharu berusia enam tahun, BERSATU komited untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti melalui konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bumiputera.

“Saya yakin calon Srikandi akan turut diberikan keyakinan oleh pengundi untuk mewakili rakyat di DUN dan Parlimen kerana selama ini pun, wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kemampuan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15 tidak lama lagi.

Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, jika diberikan keyakinan untuk memikul tugas berkenaan, beliau sedia menghadapi cabaran calon lawan, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disebut-sebut bakal mewakili BN di kerusi Parlimen itu.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Azmin yakin PN akan pertahan Parlimen Gombak


Peyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yakin Perikatan Nasional (PN) mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri berkata pengundi di Parlimen itu pastinya akan membuat keputusan bijak memilih calon yang layak dan berupaya membawa suara rakyat.

Katanya, penglibatan pengundi baru khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang menerima pelbagai manfaat besar daripada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin diyakini akan mendorong kejayaan PN.

-"Kita cuba sedaya upaya untuk cipta pekerjaan bagi mereka (golongan muda) dan saya yakin dengan penglibatan pengundi-pengundi ini, Insya Allah Gombak akan kekal kerusi PN," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Miti 2022 di Taman Melawati yang terletak dalam kawasan Parlimen Gombak di Selangor.

Pada PRU14, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak mewakili PKR dengan meraih 75,113 undi, menewaskan calon dari Umno yang memperoleh 26,392 undi, manakala PAS sebanyak 17,537 undi.

Pada 2018, Gombak mempunyai sebanyak 141,112 pengundi berdaftar dengan 85.4% atau 120,548 pengundi keluar mengundi.

Dari aspek demografi, 75.8% daripada pengundi berdaftar terdiri daripada Melayu, manakala India merekodkan 10.77% dan Cina 10.67%.

Menjelang PRU15, Gombak disifatkan sebagai antara kerusi "panas" apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi bayangan untuk bertanding di kerusi yang dimenangi bekas ahli partinya termasuk Gombak.

Bagaimanapun, "usikan" itu dialu-alukan Azmin yang turut menjemput isteri dan anak Anwar untuk bertanding di Gombak.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Gombak, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berkata, terpulang kepada kebijaksanaan presiden Bersatu.

Tambah Azmin, beliau turut yakin rekod perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di Parlimen itu juga akan dicerminkan pengundi menjelang PRU15.

"Saya serahkan kepada rakyat Gombak, tetapi saya yakin mereka mengenali saya sekian lama.

"Mereka melihat bagaimana apabila saya diberi tanggungjawab besar," kata Azmin yang juga berasal dari Hulu Klang, Selangor.

Mengulas mengenai persaingan yang dijangka di Gombak, Azmin berkata, PN bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Ini proses demokrasi, mana-mana parti boleh sertai pilihan raya.

"Akhirnya yang menentukan kemenangan adalah rakyat. 

“Kuasa di tangan mereka," kata Azmin yang turut menyeru pengundi membuat keputusan tepat bagi masa depan mereka dan generasi akan datang.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Keputusan PAS suntik semangat PN hadapi PRU15 - Muhyiddin

Saya amat menghargai keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU 15.

Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada Perikatan Nasional untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat.

Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam Perikatan Nasional.

Saya mendoakan semoga Perikatan Nasional mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional

BERJASA sedia hadapi PRU15


BANGI, 21 Zulkaedah 1443H, Selasa – Parti BERJASA sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana persiapan telah lama dilaksanakan daripada pelbagai sudut kekuatan.

Presidennya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, pihaknya aktif bertemu dan berbincang dengan parti-parti yang ingin membina semula negara serta membetulkan kerosakan sistem politik tanah air, menerusi jajaran baharu.

Beliau berkata, jajaran baharu itu akan menghidangkan pengundi dengan pimpinan baharu yang lebih berwibawa. 

“Sudah sampai masanya jajaran baharu mengambil alih pimpinan negara dengan muka baharu, pemain muka lama yang bermasalah integriti mesti direhatkan demi kemajuan negara yang bermaruah.

“BERJASA telah menghimpunkan ramai daripada kalangan pimpinan parti berwibawa, pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh kebangsaan untuk turut bersama pimpin negara ini. 

“Kita telah menyakinkan mereka bahawa kalau kita tidak bertindak sekarang membetulkan dan membina negara, bila lagi dan siapa lagi yang kita nak harapkan kalau bukan kita yang cintakan untuk membina semula negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam usaha memantapkan jajaran baharu, Ustaz Zamani berkata, BERJASA turut bersedia menerima pelawaan mana-mana parti untuk bekerjasama, dengan syarat ia mestilah membersihkan partinya daripada korupsi dan bebas tuduhan rasuah.

Sementara itu, BERJASA dan beberapa parti lagi yakin PRU15 mampu memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Kebencian rakyat kepada parti-parti sedia ada akan memberikan kelebihan kepada jajaran baharu ini. Parti sedia ada gagal dalam menjalankan mandat rakyat bahkan lebih kepada kepentingan kuasa individu semata-mata. 

“PRU15 ini, rakyat akan ada pilihan calon calon terbaik dan berwibawa, saya mengharapkan rakyat mesti cerdik dan bijak untuk memilih. Masa depan dan kemajuan negara adalah terletak kepada kuasa rakyat,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tempoh sehingga Julai tahun depan sebelum mengadakan PRU15.

Namun, desas-desus PRU15 semakin hampir apabila perdana menteri sendiri memberi ‘hint’ bahawa pembubaran Parlimen tidak akan dilewatkan walau sesaat.

Katanya, paling lewat PRU15 boleh diadakan pada Julai 2023, bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal.


Sumber | Ismaweb.net






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

UMNO tegas tolak kerjasama dengan BERSATU

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Soalan (S): Sejak akhir-akhir ini, saudara dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, saling berbalas kenyataan berhubung isu UMNO tolak BERSATU. Apakah tiada ruang kedua-dua parti jalin kerjasama khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Jawapan (J): Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) jelas, tiada kerjasama dengan BERSATU, Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15. Ini keputusan dasar parti yang dibuat pada peringkat tertinggi parti, iaitu PAU.

Soal berbalas kenyataan itu biasalah. Apabila ada parti lawan serang parti kita dan institusi seperti presiden, kita kena jawab dan jelaskan. Cuma kadangkala pelik Ketua Penerangan BERSATU agak obses dengan UMNO dan kurang bercakap mengenai parti sendiri atau apa parti dia nak tawarkan.

S: UMNO kelihatan tegas menolak BERSATU, tapi dalam konteks hubungan dengan PAS, pendekatan lebih 'lunak' ditunjukkan. Ada melihat tindakan ini bersifat dwistandard sedangkan PAS ditubuhkan pada 1950-an dulu jelas bertujuan menggantikan UMNO. Apa membezakan BERSATU dengan PAS?

J: Apa membezakan BERSATU dan PAS elok ditanya kepada mereka berdua (pemimpin kedua-dua parti). Ini kerana hari ini nampak agak akrab dan PAS setakat ini memang nampak lebih memilih BERSATU, misalnya bertanding atas lambang Perikatan Nasional (PN).

Soal dwistandard dalam hubungan UMNO-BERSATU dan UMNO-PAS tidak timbul kerana kita dan PAS lebih awal lagi mewujudkan Muafakat Nasional (MN). Cuma jika PAS berterusan lebih memilih PN sebagai pakatan politiknya, kesannya MN akan kekal sebagai gagasan, bukan wadah politik kepartian.

Jadi pilihan di tangan PAS, apa yang mereka mahu. UMNO sudah jelas dan tegas menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU. Kalau MN tak dapat berkembang mencapai potensinya atau berkubur sekalipun, itu ialah pilihan PAS, bukan UMNO.

S: UMNO selalu tegaskan penolakan kerjasama dengan BERSATU kerana parti itu ditubuhkan untuk menggantikannya. Namun, isu ini tidak pula timbul ketika parti Melayu bergabung dan jatuhkan kerajaan PH? Tidakkah ini dilihat hipokrasi politik?

J: UMNO tak bergabung dengan sesiapa untuk jatuhkan PH, mereka jatuh sendiri. Kita buat apa sekalipun waktu itu, kalau BERSATU tak keluar PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad tak letak jawatan, kerajaan PH akan masih memimpin hari ini. Jadi ini hal BERSATU dan PH. Tak perlu kaitkan UMNO memainkan peranan kita selaku pembangkang pada waktu itu.

Mungkin ada yang lupa, UMNO tegas meminta agar pilihan raya segera diadakan semasa kemelut politik pada 2020. Malah UMNO tegas bersama PAS ketika itu untuk tidak mencalonkan sesiapa sebagai Perdana Menteri (PM) dan meminta agar Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Tuanku Agong menggunakan kebijaksanaannya untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku. Natijahnya, kerajaan campuran ditubuhkan atas semangat kerjasama menstabilkan keadaan dan memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan baik.

Kita bersetuju untuk tubuhkan kerajaan sementara waktu sebelum tiba masa sesuai untuk bubar Parlimen dan kembalikan kuasa memilih kepada rakyat. Kita ingat apabila UMNO berbesar hati mengangkat Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai PM, mungkin pendekatan BERSATU berubah.

Namun jauh sekali. Mereka letak calon lawan kita di Sabah. Mereka tubuh PN dan tarik PAS tanpa persetujuan kita. Mereka buat keputusan darurat dan lain-lain tanpa bincang dengan kepemimpinan UMNO walaupun ada Majlis Presiden satu ketika dahulu. Jadi, okay kalau begitu. Kita bawa haluan masing-masing.

S: Pendedahan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai hal ehwal dalaman parti dilihat sebagai 'pintu perpecahan' dalam kalangan pemimpin UMNO dan boleh memberi kesan besar kepada parti terutama kepercayaan penyokong UMNO?

J: Isu Tajuddin tidak akan memecahkan parti jika kita tak benarkan ia pecahkan parti, tapi kalau dalam kalangan UMNO main politik sate, iaitu cucuk, bakar dan kipas, maka pecahlah. Sebab itu dalam kenyataan saya tempoh hari, saya tegaskan sesiapa yang hadir dalam apa-apa perjumpaan tak bermakna menyokong apa-apa gerakan. Saya tak nak parti pecah.

Walaupun saya tiada dalam apa-apa perjumpaan didakwa itu, saya ambil pendirian letak parti di hadapan. Bukannya kepentingan individu atau mengambil kesempatan, jauh sekali menangguk di air keruh untuk cuba jatuhkan sesiapa atau menghasut presiden untuk sangsi dengan sesiapa sahaja yang ada dalam gambar berkenaan.

Kalau hendak jadi oportunis, boleh saja saya main politik sate. Namun, kita orang parti, kita pertahankan seluruh kepemimpinan demi parti terutama di hujung penggal menjelang PRU.

Sama juga soal dakwaan bahawa presiden UMNO jadi liabiliti atau mengangkat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai PM. Ada seseorang selalu berpesan kepada saya, dalam politik, yang penting kita lihat keputusan. Keputusannya Anwar tak jadi PM, yang jadi PM ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Keputusannya ialah UMNO menang pilihan raya 7-0. Jadi liabiliti macam mana?

Pandangan saya, orang UMNO perlu bertanya diri sendiri, di ambang kemenangan, adakah kita ingin berpecah atau kita hendak menang? Kalau nak menang kita buat cara nak menang. Presiden adalah pemimpin nombor satu parti, menang bertanding dan merangka strategi parti selama ini. Timbalan memimpin jentera. PM ialah wakil dalam kerajaan dan 'poster boy' parti untuk PRU.

Apa masalahnya? Selama ini okay sahaja hingga menang PRN Melaka dan Johor dengan bergaya. Kenapa perlu risikokan perkara ini dengan serang mana-mana antara mereka? Saya percaya ketika ini yang boleh kalahkan UMNO ialah UMNO sendiri. Jadi orang UMNO kena tanya sendiri apa yang kita hendak?

S: PKR mendapat suntikan baharu dengan kemenangan Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden yang membawa slogan 'Masa Untuk Berperang'. Tidakkah UMNO memerlukan kerjasama parti selain PAS bagi mengelak kekalahan seperti dialami pada PRU-14?

J: UMNO tidak pernah tubuh kerajaan sendirian. Paling hampir pun tahun 2004 apabila UMNO menang 109 kerusi, namun masih tidak boleh tubuh kerajaan tanpa rakan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC. Tidak juga dilupakan rakan BN adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pernah menganggotai BN. Siapa pun UMNO pilih untuk bekerjasama dan apa bentuk kerjasama itu, yang pasti UMNO sendiri mesti kekal kuat dan utuh.

S: UMNO dilihat berusaha keras mengetengahkan agenda 'peremajaan' dalam parti. Namun, antara kesukaran adalah menyingkirkan pemimpin senior atau 'warlords'?

J: Presiden UMNO banyak membantu dalam usaha peremajaan parti. Dalam parti sahaja, saya ketua penerangan paling muda dalam sejarah UMNO. Bukan sebab saya selaku individu yang tentunya ada juga kelemahan, tetapi antara lain sebab presiden mahu menonjolkan generasi muda.

Dalam barisan MKT bersama saya, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail; EXCO Melaka, Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Di peringkat kerajaan Persekutuan, kita ada Datuk Mohd Shahar Abdullah yang dinaikkan status kepada Timbalan Menteri Kewangan 1. Ini usaha UMNO dalam meremajakan parti, membuka ruang kepada anak muda memimpin parti dan ada peranan dalam kerajaan. Sebab itu kita tawarkan 80 peratus muka baharu di Melaka dan kita memiliki 13 wakil rakyat daripada Pemuda dan Puteri UMNO.

Jadi tak benar jika dikatakan peremajaan itu tidak berlangsung. Ia usaha berterusan yang akan dipergiatkan dari semasa ke semasa tanpa mengetepikan generasi lebih dewasa yang tentunya ada kelebihan dan kebijaksanaan juga.

S: Ada pemerhati politik melihat UMNO sedang di ambang perpecahan dengan dakwaan ada dua kem dominan ingin menguasai parti?

J: Macam saya sebut tadi, hanya UMNO boleh kalahkan UMNO. Kalau kita pilih bertindak seperti ada dua kem, jadilah dua kem itu. Kalau kita pilih bertindak untuk keharmonian menjelang PRU, tak adalah apa-apa kem. MKT jelas membuat ketetapan. Presiden jaga parti, PM jaga kerajaan. Namun, saya optimis, di sebalik ura-ura, situasinya tidak seperti dilaporkan. Hubungan antara Top 5 UMNO cukup baik, malah mereka juga kerap bertemu. Yang penting jangan ada tukang cucuk dan kipas menabur benih kesangsian, sekali gus merosakkan keharmonian itu.

S: Apakah mungkin MN akan terkubur, melihat pendirian PAS yang tidak jelas berhubung kerjasama dengan BERSATU?

J: Ruang sudah lama dibuka bagi PAS. PRN Melaka dan Johor. Bukan tidak ada usaha untuk buka perbincangan, namun mereka pilih PN dan ada kala kuat juga menghentam UMNO. Kalau mereka tukar pendirian, kita tengok semulalah. Apapun, sebagai saudara dalam MN, kami menghormati keputusan politik PAS selagi PAS juga hormat pendirian UMNO.

Akhirnya politik ini di dunia sementara dan kita semua akan dihisab nanti. Yang penting selagi bernyawa, kita ikhlas untuk berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kita buat kerja dan kemudian serah kepada perancangan Pencipta.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo