NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label ULASAN. Show all posts
Showing posts with label ULASAN. Show all posts

Demokrasi parti politik kita



Baru-baru ini podcast Keluar Sekejap dikendali Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan membincangkan soal keengganan parti parti politik mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan masing-masing.

Rumusan ‘keengganan mempertandingkan’ jawatan tertinggi umum tahu bermakna apabila parti mengadakan pemilihan, ahli parti tidak boleh atau tidak dibolehkan atau tidak perlu atau mungkin juga tidak mahu bertanding untuk merebut jawatan tertinggi parti, sekali gus penyandang terus menyandang jawatan.

Menurut Shahril ini sudah sebati dengan politik Malaysia – “ini dah jadi macam budaya di Malaysia”. Betul kata beliau. Shahril menggunakan istilah ‘budaya’ bukan ‘amalan’. Rasanya ‘budaya’ lebih tepat untuk menggambarkan apa yang diamalkan parti politik kita.

Baiklah kalau ia boleh disifatkan ‘budaya’ maka ia budaya tak bagus. Boleh dilihat sebagai tidak menyuburkan demokrasi walaupun semua parti politik kita mengaku demokratik.

Jadi bagaimana ‘budaya’ ini terjadi? Mengapa dibiar berterusan? Khairy memilih untuk bercakap mengenai Umno. Sewajarnya kerana beliau bekas ketua Pemuda. Kata Khairy ‘ketakutan’ Umno untuk mempertandingkan jawatan tertingginya datang daripada pengalaman lalu yang membawa perpecahan dalam parti.

Beliau merujuk pemilihan Umno 1987. Saya membuat liputan meluas waktu itu. Ringkasnya wujud ‘team A’ yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan ‘team B’ dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertempuran team A dan B bukan sahaja mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden. Ia turut membabitkan jawatan naib presiden dan ahli majlis tertinggi. Cukup sengit. Tuduhan demi tuduhan dilempar antara satu sama lain. Bagi wartawan yang membuat liputan ini adalah perang Umno.

Keputusannya team A menang. Margin undi tipis. Perang tidak habis di situ. Tidak perlu saya menghuraikan, sekadar menyatakan masalah Umno dibawa ke mahkamah yang akhirnya memutuskan Umno diharamkan. Pendek cerita Mahathir tubuh Umno (baru) dan Tengku Razaleigh tubuh Semangat 46.

Lantas perang Umno dan kesannya digunakan Umno khususnya Mahathir untuk tidak ‘mengizinkan’ pertandingan jawatan tertinggi demi perpaduan, keutuhan parti dan segala macam sebab untuk menghalalkan tidak ada pertandingan. Kesimpulannya Mahathir tidak lagi dicabar sejak 1987 sehingga beliau melepaskan jawatan pada 2003.

Untuk berlaku adil saya menegaskan memang ada kewajaran Umno melaksanakan ‘no-contest rule’ kerana perebutan menyaksikan kempen keterlaluan, kutuk-mengutuk, dan maki-memaki. Ini berterusan sehingga keputusan diumum.

Mungkin juga cakap-cakap ‘ayuh rapatkan semula barisan kerana yang menang tidak menang semua yang kalah tidak kalah semua’ sekadar sembang kari? Bagi saya yang menang dan kalah sama bersalah.

Apa pun itu saya simpul orang Umno waktu itu tidak tahu bertanding dengan sihat. Jika istilah ‘dosa’ boleh digunakan itulah ‘dosa besar’ Umno terhadap demokrasi kepartian kerana sejak itu hampir semua parti politik mengikut langkah tidak mempertandingkan jawatan tertinggi atas sebab atau lebih tepat alasan yang Umno guna dulu.

Misalnya PAS yang terkenal dengan wala’ pun terkesan. Pada pemilihan 2023 lima jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Ertinya bukan sahaja jawatan presiden dan timbalannya, jawatan naib presiden juga tidak dipertandingkan. Lebih hebat daripada Umno.

PAS menafikan ada mengeluarkan arahan supaya ‘top 5’ tidak dipertandingkan. Kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden masing-masing hanya ada satu pencalonan. Ertinya Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja yang tercalon lantas mereka tidak dicabar sesiapa.

Bagi pertandingan tiga jawatan naib presiden mulanya ada empat calon yakni tiga penyandang jawatan yang mahu mempertahankan kedudukan dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang mahu mencuba nasib. Pada saat akhir beliau tarik diri maka jawatan naib presiden tidak ada pertandingan. Tiga penyandang dikekalkan.

Persoalan tercetus: Mengapa tiada siapa yang berminat mencabar jawatan nombor satu dan dua? Mengapa tarik diri berlaku untuk jawatan naib presiden? Adakah kerana berlaku pujuk rayu atau ‘ancaman’ atau semua dilakukan demi cinta dan kestabilan parti? Terpulang interpretasi masing-masing.

Namun, perlu diingat ada berlaku pemilihan untuk jawatan tertinggi PAS pada 2015. Sengit yang akhinya menyaksikan Amanah ditubuhkan, mengingatkan peristiwa Umno 1987. Mungkin sembang kari yang disebut tadi berulang?

Amanah pula punya cara pemilihan tersendiri. Mesyuarat khas ahli jawatankuasa pimpinan nasional pada 2023 mengekalkan Mohamad Sabu sebagai presiden buat penggal ketiga. Mujahid Yusof dipilih timbalan presiden menggantikan Salahuddin Ayub.

Bersatu, rakan PAS dalam Perikatan Nasional, juga menuruti ‘budaya’ tidak ada pertandingan jawatan tertinggi. Tahun lalu presidennya Muhyiddin Yassin mengemukakan formula, atau boleh disifatkan pelan damai, untuk mengelak perebutan sengit antara puak. Kompromi berlaku. Hamzah Zainudin diangkat jadi timbalan presiden menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang turun ke jawatan naib presiden. Azmin Ali dijadi setiausaha agung dan Muhyiddin kekal presiden. Aman. Buat masa ini.

Sekarang Setiausaha Politik Perdana Menteri Shamsul Iskandar Akin diberitakan berkata perbincangan sedang dijalankan berhubung langkah tidak ada pertandingan dua jawatan tertinggi PKR, ertinya memastikan Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli kekal presiden dan timbalan presiden.

Pada hemat saya tidak perlu perbincangan kerana ikut logik tidak ada ahli PKR yang mahu masuk gelanggang apabila yang menunggu ialah seorang perdana menteri dan seorang lagi menteri ekonomi, melainkan ada cerita yang tidak diceritakan Shamsul.

Berbalik cerita Umno. Selepas BN yang diterajuinya kalah PRU14, Umno setelah sekian lama mengizinkan pemilihan semua jawatan pada 2018. Lalu 191 bahagian parti seluruh negara memilih pimpinan. KJ sendiri bertanding bersama Tengku Razaleigh menentang Zahid Hamidi untuk jawatan presiden. Zahid menang.

Namun, pada Perhimpunan Agung Umno 2022 diadakan pada 2023, Umno meluluskan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Melihat apa yang dilakukan oleh semua parti ini, mungkinkah ini yang dimaksudkan si Abdul Wahib dalam ‘Tiga Abdul’ apabila berkata beliau kepada abangnya Abdul Wahab “ini demokrasi terpimpin”?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Sumber | FMT Malaysia







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kenapa PAS dan UMNO Tidak Mengkaji DAP

Saya ingin mengajak bijak pandai, pemikir, profesional dan penyelidik di dalam PAS dan Umno untuk merenung sekejap. Ini kerana para pimpinan kedua-dua parti telah mengabaikannya. Iaitu kenapa kedua-dua parti Melayu ini tidak berminat mengkaji secara mendalam dan memahami DAP? Dalam kata lain, sepatutnya PAS dan Umno memberikan perhatian serius untuk mengkaji, mendalami dan memahami seluruh asal-usul, organisasi, dasar, hala tuju, matlamat, kepemimpinan dan pemikiran DAP. Sepatutnya, pusat-pusat penyelidikan kedua-dua parti mempunyai 'School of DAP Studies,' bukan hanya mempunyai unit-unit berkaitan isu politik semasa dan pilihan raya sahaja. Inilah pendekatan yang paling baik jika kita ingin menangani DAP.

Kenapa saya katakan demikian? Mari saya jelaskan...

I. Barat dan orientalismenya

Barat adalah satu bangsa yang bangkit selepas abad ke-13. Mereka mendendami dan memusuhi Islam kerana membuka Andalus pada awal abad kelapan (711). Barat mengatur langkah untuk menjajah negeri Islam di sebelah Timur. Selain menjajah, mereka memulakan 'orientalisme' atau kajian ketimuran. Kemudian mereka menguasai keseluruhan aspek ketimuran, lalu mereka bukan sahaja dapat menguasai tanah, hasil bumi dan pengaruh politik, terapi mereka dapat mengawal pemikiran umat Islam di Timur. Baru dalam tahun 2003, Malaysia menubuhkan Institut Kajian Oksidental (IKON) di UKM untuk mengkaji kebaratan, iaitu lebih 100 tahun terkemudian daripada tertubuhnya School of African and Oriental Studies (SOAS) di University of London yang ditubuhkan pada 1916. Walhal, orientalisme itu bermula ratusan tahun lebih awal. Inilah kefahaman Barat dalam mengkaji musuh mereka, berbanding dengan kita.

II. Kajian-kajian hanya terhenti setakat bahayanya Parti Komunis Malaya (PKM)

Kajian-kajian akademik tentang DAP sangat sedikit dan begitu kabur sekali. Kawan-kawan penyelidik saya memberitahu bahawa pemimpin DAP akan menyembunyikan seluruh maklumat tentang mereka, jika ada sebarang kajian yang dibuat berkait dengan DAP. Sukar untuk mendapatkan kerjasama dalam penyelidikan tentang DAP. Mereka tidak akan membuka rahsia-rahsia pergerakan mereka, terutama penyamaran mereka di atas nama demokrasi, yang membawa agenda sosialisme. Hal ini memerlukan perhatian serius dan kesungguhan para penyelidik untuk memahami 'origin of DAP.'

Kajian-kajian yang dibuat sebelum ini telah terhenti setakat pergerakan, pemikiran dan keganasan komunis sahaja. Beberapa kajian oleh Cheah Boon Kheng, Aloysius Chin dan Ho Hui Ling hanya berlegar tentang PKM, dan kajian mereka tidak sampai kepada DAP. Kita mungkin biasa mendengar nama Dong Zong, Dong Jiao Zong, Suqui, DEMA dan UMANY. Tetapi kita tidak mempunyai data yang jelas tentang hubungan mereka dengan DAP atau kemungkinan mereka adalah metamorfosis DAP.
Kajian Dr Cheah Boon Kheng telah menjelaskan bagaimana pergerakan politik komunis secara bertopeng di pentas demokrasi di negara ini. Pemimpin politik Melayu tidak wajar mengabaikan pattern pergerakan politik ini oleh komunis.

Tulisan Aloysius Chin memperkenalkan kita tentang PKM. Tetapi kita belum tahu dan belum kenal siapakah DAP sebenarnya dan apa hubung kait mereka dengan PKM.

Ho Hui Ling, salah seorang pakar tentang pergerakan komunis PKM. Beliau banyak menulis tentang PKM, keganasannya dan gerakan untuk menghapuskan PKM. Tetapi terhapuskah agenda PKM selama ini?

III. DAP mengkaji politik PAS dan Umno

Ketika PAS dan Umno tidak mempedulikan pergerakan DAP, mereka telah mengatur langkah yang lebih jauh apabila mula memberikan perhatian untuk mengkaji PAS dan Umno, sebagai langkah memahami kedua-dua parti ini sebelum mereka menguasainya. Dalam memahami PAS, Liew Chin Tong adalah pakarnya, khususnya tentang perjuangan negara Islam. Kajian beliau di Australia National University (ANU) pada 2004 bertajuk 'Articulating an Islamic State in Multiethnic Malaysia: The Case of PAS.' Setelah itu, Liew Chin Tong meneruskan kajian-kajiannya tentang PAS di Institute of South-East Asian Studies (ISEAS), Singapura. 

Kedua, tentang Umno. Mereka telah mengkaji tentang pergolakan, persaingan dan perbuatan jawatan dalam Umno pada 1980-an dan 1990-an. Pengkaji DAP, Taresa Kok Suh Sim telah membuat kajian bertajuk 'Perpuakan Umno Dalam Era Mahathir Mohamad' di Universiti Malaya pada 2001. Kedua-dua kajian ini adalah contoh bagaimana DAP tidak mengabaikan kajian tentang PAS dan Umno dalam pergerakan politik mereka. Ia tiada bezanya dengan orientalisme yang dibuat oleh Barat sebelum ini.

Hasilnya, mereka dapat memahami punca-punca pergolakan dalaman PAS di atas isu negara Islam, dan DAP dapat menguasai kelompok 'Islamis Demokrat' yang tidak bersetuju dengan negara Islam yang digagaskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS. DAP juga dapat menguasai dengan baik serpihan Umno yang 'liberal Islamis' pimpinan Anwar Ibrahim. Hari ini, kedua-dua serpihan PAS dan Umno telah menjadi alat kepada pergerakan 'bertopeng' DAP.

Saya akan dedahkan lagi hal ini kemudian. 
PKM pernah mengancam politik Malaysia pada 1970-an dengan beberapa strategi, tetapi dapat ditangani oleh kerajaan. Kertas Putih ini merekodkan pergerakan sulit mereka. Adakah gerakan komunis telah berakhir?

IV. Kajian tentang bahaya dan ancaman komunis belum sampai di penghujung

Kajian-kajian tentang bahaya ancaman komunis telah menarik minat para pengkaji, termasuk di kalangan orang Cina sejak 1970-an. Faktornya, kerana adanya gerakan komunis untuk menguasai Malaysia pada dekad tersebut, termasuk mereka membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974. Siri-siri keganasan politik komunis ini berkaitan dengan rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Ia berlaku kesan penguasaan DAP dan orang Cina terhadap politik Bandar, dan mereka berharap akan menguasai politik Malaysia kemudiannya.

Selain keganasan yang komunis lakukan, mereka juga telah mempengaruhi politik Melayu dua aliran. Pertama, Umno telah diresapi oleh pengaruh mereka sehingga berlakunya penahanan ISA ke atas 'Tiga Abdul' pada 1976, iaitu zaman Hussein Onn. Kedua, komunis telah mengaktifkan sebuah 'parti Islam' bernama Parti Persaudaraan Islam Malaya (PAPERI) yang ditubuhkan pada 1965, untuk menarik sokongan orang Islam kerana PAS berada di dalam kerajaan ketika itu. Sedangkan DAP bergerak sejak 1966 untuk melanjutkan agenda PAP pimpinan Lee Kuan Yew dari Singapura. 

Pengkaji yang paling terkenal dalam mengkaji gerakan politik komunis ini ialah Prof Dr Cheah Boon Kheng dari USM. Beliau telah membuat kajian kedoktorannya di Australia National University (ANU) pada 1974 dan lulus pada 1979. Kajian beliau bertajuk 'The Masked Comrades' atau 'Komrad Bertopeng,' iaitu agen-agen komunis yang bergerak di pentas di demokrasi dalam sejarah Malaysia.

Kajian beliau adalah berkisar tentang pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Barisan Bersatu PKM, iaitu parti-parti politik demokrasi yang mendukung sosialisme, yang ditubuhkan oleh PKM seperti yang terkandung dalam risalah 'Secret Plan For Red Malaya.' Mereka cuba merasap masuk dalam parti Melayu seperti PKMM dan sayap-sayapnya seperti API, AWAS, BATAS dan juga Hizbul Muslimin. Tetapi mereka sebenarnya menguasai Malayan Democratic Union (MDU) yang disertai oleh orang Cina dan bukan Melayu yang lain. Cheah Boon Kheng mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah lanjutan MDU. Pada kesimpulan kajiannya, beliau menjelaskan:

"Seperti MDU (yang menjadi agen PKM), PAP juga menjadi sebuah pertubuhan Barisan Bersatu PKM, Lee Kuan Yew telah mendakwa bahawa, dalam tahun 1957, beliau dan Fang Chuang Pi, yang dipanggil 'Plen' komunis itu, telah bertemu untuk "mewujudkan semula kerjasama ini di dalam sebuah Barisan Bersatu anti penjajahan."

PAP ketika Singapura berada di dalam Malaysia, mereka telah menubuhkan Malaysian Solidarity Convention (MSC) pada Mei 1965 untuk menggabungkan semua parti bukan Melayu bagi menguasai politik Malaysia. Sedar masalah ini, Tunku Abdul Rahman Putra bertindak menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965. Dalam bulan Oktober 1965, cawangan-cawangan PAP di Malaysia telah bertukar menjadi DAP. Hubungan DAP dengan PAP adalah sangat jelas, kerana ia berasal dari cawangan-cawangan PAP. Tidak pelik jika DAP membawa agenda 'Malaysian Malaysia' dan mulai kelihatan berbau komunis dan sangat anti Islam sejak PH berkuasa pada 2018.

Atas sebab ini, saya menyeru supaya PAS dan Umno mengambil langkah mengkaji, mendalami dan memahami DAP. Pemimpin PAS dan Umno jangan sekali-kali mengabaikan hal ini.




........
Komen: Tulisan 4 tahun lepas oleh Dr Fadli Ghani ini masih releven untuk difikirkan dan dilakukan kajian berterusan atau secara bersama sebelum semuanya terlambat


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pendakwaan Terpilih: Kes Rafizi, Faiz Fadzil, dan Percubaan PAN Gunakan Polis Untuk Fitnah Politik

Oleh Hilmi Afendi

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perubahan kerajaan, beberapa kes mahkamah yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya Rafizi Ramli, telah digugurkan atau diringankan. Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai sama ada unsur politik memainkan peranan dalam perjalanan kes tersebut.

Kes Rafizi Ramli yang Digugurkan

  1. Kes Saman Fitnah LTAT
    Selepas PRU14, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menarik balik saman fitnah terhadap Rafizi. Saman itu berkaitan dakwaannya bahawa 1MDB telah menjejaskan bayaran gratuiti pesara.

  2. Kes OSA
    Rafizi telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi atas kesalahan mendedahkan dokumen sulit kerajaan, dihukum penjara 18 bulan. Namun, apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan—peluang terakhir untuk mencabar keputusan tersebut—Rafizi tidak merayu terhadap sabitan bersalah tetapi hanya terhadap hukuman.

Ketika Tommy Thomas menjadi Peguam Negara, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Rafizi, dan hukuman penjara 18 bulan itu diringankan kepada bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 sahaja. Walaupun hukuman diringankan, sabitan bersalah tetap kekal, menjadikan Rafizi seorang pesalah jenayah yang mempunyai rekod di mahkamah.

  1. Kes Fitnah Jenayah Tabung Haji
    Dalam kes fitnah jenayah berkaitan Tabung Haji, Mahkamah Majistret mendapati wujud kes prima facie terhadap Rafizi selepas perbicaraan berbulan-bulan. Mahkamah kemudian mengarahkannya untuk membela diri.

Namun, pada hari pertama perbicaraan pembelaan, pendakwa raya di bawah kerajaan Pakatan Harapan 1.0 secara tiba-tiba memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka mahu menggugurkan kes ini. Akibatnya, Rafizi dilepaskan tanpa perlu membela diri.

Kes Fitnah Jenayah dan Pendakwaan Terpilih

Secara umum, kes fitnah politik biasanya dikendalikan sebagai saman sivil, bukan jenayah. Tuduhan fitnah jenayah sangat jarang berlaku dan biasanya hanya melibatkan institusi penting negara yang ada kepentingan awam.

Sebagai contoh, wartawan Clare Brown pernah didakwa atas fitnah jenayah kerana memfitnah Sultanah Terengganu. Akibatnya, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana gagal hadir ke mahkamah. Rafizi pula menghadapi kes fitnah jenayah terhadap Tabung Haji, tetapi dia dibebaskan selepas kes digugurkan oleh pendakwa raya di bawah kerajaan PH1.0, walaupun hakim telah mengesahkan wujud kes prima facie.

Faiz Fadzil dan Percubaan PAN Gunakan Polis Untuk Fitnah Politik

Tindakan terpilih dalam pendakwaan ini menimbulkan persoalan yang lebih besar apabila pemimpin PAN, Faiz Fadzil, menyeru ahli partinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap PAS, kononnya kerana difitnah.

Persoalannya, sejak bila PAN menjadi institusi penting negara sehingga memerlukan campur tangan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menyelesaikan perbalahan politik mereka? Jika benar PAN yakin mereka difitnah, mengapa tidak memfailkan saman sivil seperti biasa, sebaliknya mahu menggunakan pihak berkuasa untuk mendakwa PAS atas fitnah jenayah?

Lebih menarik, Faiz Fadzil sendiri pernah menghadapi tuduhan jenayah apabila didakwa mencabul seorang jurujual wanita. Namun, seperti Rafizi, kes beliau juga digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara di bawah kerajaan Madani, dan beliau diberikan DNAA (discharge not amounting to acquittal) pada akhir 2023.

Adakah ini bermakna pemimpin PH hanya bebas daripada pendakwaan apabila mereka berada di pihak kerajaan, tetapi segera mahu menggunakan institusi penguatkuasaan terhadap lawan politik mereka?

Jika ini bukan contoh pendakwaan terpilih, apa lagi yang boleh kita panggil?

Rujukan : FB Lim Sian See

- 1Media.my


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

ULASAN | Menjawab tuduhan GRS gagal majukan Sabah




Tuduhan Suhaimi Nasir bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal membawa kemajuan kepada Sabah adalah sebuah kenyataan yang beremosi dan tidak didasari fakta. 

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan Suhaimi berhubung prestasi kerajaan GRS.

Pembangunan infrastruktur yang mampan

Projek-projek infrastruktur yang dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan, bekalan air bersih, dan elektrik, telah mula menunjukkan kemajuan yang positif dan mendapat sambutan yang baik daripada rakyat Sabah. 

Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, terutama kemudahan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik. 

Kerajaan Negeri membuktikan komitmen ini dengan penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 iaitu sebanyak RM2.63 bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan di bawahnya.

Penyelesaian bagi kebanyakan isu memerlukan masa dan perancangan yang teliti. Sepanjang tempoh empat tahun, kerajaan negeri telah mengutamakan infrastruktur yang memiliki prioriti seperti loji-loji rawatan air dan jalan-jalan perhubungan yang penting. Semua usaha-usaha ini penting untuk pembangunan jangka panjang Sabah.

Mengurangkan jurang pembangunan

Kenyataan tentang jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah topik yang kompleks. Menuduh GRS tidak berusaha dalam merapatkan jurang ini adalah satu tuduhan yang terburu-buru, tanpa melihat inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri. 

Beberapa hari lepas, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Sabah akan mendapat tempat utama dalam Belanjawan 2025, terutamanya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim cukup mementingkan usaha untuk membasmi dan jurang kemiskinan di Sabah. Semua ini dapat dicapai hasil daripada hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan. 

Pada masa yang sama, GRS berusaha mengurangkan jurang tersebut melalui pelbagai inisiatif dan program. Pengumuman tentang usaha penghapusan kemiskinan tegar adalah inisiatif yang perlu kita sokong, dan usaha untuk melaksanakan Rumah Sabah Maju Jaya adalah langkah seterusnya untuk menyokong golongan yang memerlukan. 

Selain itu, kutipan hasil negeri menunjukkan peningkatan yang signifikan, dengan kutipan RM5.44 bilion pada tahun 2021, RM6.96 bilion pada tahun 2022, dan RM6.97 bilion pada tahun 2023. Apa unjuran yang digunakan oleh ketua penerangan Umno Sabah untuk menganggap kerajaan ini telah gagal?

Kestabilan politik dan kerjasama strategik

Krisis politik adalah cabaran yang dihadapi oleh semua kerajaan, bukan hanya GRS. Saya percaya GRS telah memainkan peranan yang penting dalam menjaga kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan. Pada peringkat kerajaan negeri pula, GRS berjaya memimpin parti-parti politik untuk bersama-sama membangunkan negeri Sabah. 

Kestabilan politik tidak hanya terletak pada kesatuan parti, tetapi juga pada kemampuan untuk berkolaborasi dan membina hubungan yang produktif dengan parti-parti lain. Ketua menteri telah menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat Sabah.

Pembangunan ekonomi yang terarah

Berkaitan hal pertumbuhan ekonomi, GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merangsang sektor-sektor utama seperti pelancongan dan perikanan. Pertumbuhan ekonomi Sabah menunjukkan pemulihan yang positif, dengan kadar pertumbuhan negatif 7.5% pada tahun 2020 beransur pulih kepada 1.5% (2021), 3.5% (2022), dan 4.0% (2023). 

Seandainya kita melihat kepada KDNK negeri yang meningkat dari RM77.8 bilion pada tahun 2020, kepada RM78.9 bilion pada tahun 2021, dan RM81.9 bilion pada tahun 2023, tidak ada sebab untuk mengatakan kerajaan ini gagal. 

Pada masa ini, kita juga perlu mempertimbangkan bahawa banyak projek dalam fasa pembinaan, seperti loji-loji rawatan air (LRA) dan lebuh raya Pan Borneo, yang akan memberikan impak positif dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Jangan rosakkan semangat kerjasama

Kritikan yang dilontarkan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. GRS komited untuk membawa kemajuan kepada Sabah dan sedang berusaha untuk mengatasi cabaran yang ada. 

Mari kita bersama-sama berusaha untuk memajukan negeri ini dengan cara yang konstruktif, dan bukannya merosakkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk kemajuan Sabah. 

Berkat usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri, kita berada pada landasan yang betul dan semakin berdaya saing mengikut acuan dan hala tuju Sabah Maju Jaya. 


NIZAM ABU BAKAR TITINGAN ialah pembantu menteri kepada ketua menteri Sabah.



Sumber | Malaysiakini










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo