NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label TEMUBUAL. Show all posts
Showing posts with label TEMUBUAL. Show all posts

Annuar ambil masa lama untuk sertai PAS


KUALA LUMPUR —
Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan menyertai parti PAS.

Bercakap kepada SuaraTV, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau memerlukan platform baru untuk meneruskan agenda perjuangan politik.

“Saya telah fikir dengan masak dan mendalam tentang apa peranan yang boleh saya lakukan.
Asas pertimbangan saya adalah apa yang ada dalam hati saya sebagai pejuang politik.

“Jadi samaada terus rehat atau masih terus berjuang aktif dalam politik. Saya ambil masa yang lama bincang dengan kawan-kawan, keluarga dan sebagainya.

“Belum masanya saya bersara dari arena politik, oleh itu saya perlukan landasan,” katanya semasa temubual khas bersama SuaraTV di ibu pejabat Muafakat Nasional, semalam.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu turut menceritakan kronologi pemecatannya sebagai ahli UMNO oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu tahun lalu.

“Waktu saya dihina oleh UMNO, semasa PRU saya masih menjelajah ke seluruh negara menyokong UMNO bukan setakat dengan gigi dan lidah hatta dengan wang ringgit saya membantu calon calon di tempat yang saya pergi dan sebagainya.

“Habis sahaja pilihanraya, ada pilihanraya kecil di Bagan Serai tak ramai orang turun sebab parti baru kalah. Saya turun ke Bagan Serai. Saya bantu tenaga, material, kewangan dan selepas itu saya dipecat tanpa diberitahu sebab.

“Jadi bila dipecat tak boleh buat apa, kita nak berjuang macamana kalau platform itu tidak menjadi milik kita. Muafakat Nasional walaupun mendapat sambutan hangat tetapi ia hanya NGO,” katanya.

Jelas beliau, keinginannya untuk menyertai PAS adalah demi menyumbang bakti dan tenaga pada parti dan bukanlah untuk bertanding apa apa jawatan.

Namun apabila ditanya mengenai adakah beliau mempunyai perancangan untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, beliau memyerahkan perkara itu kepada parti.

“Bila jadi ahli parti, bertanding ini hak parti bukan hak kita. Saya tidak pernah sepanjang karier politik saya minta jadi calon, itu biar parti fikirkan. Seperti sebelum ini 8 penggal saya bertanding parti fikir saya layak bertanding.

“Tapi baru baru ini Zahid fikir saya tak layak bertanding jadi dia letak calon lain yang boleh menang lebih besar akhirnya kalah 23 ribu majoriti. Saya dulu busuk busuk pun menang 5 ribu dikawasan saya bukan kubu umno tapi menang 5 ribu. Tapi itu hak parti lah.

“Saya menjadi ahli pas akan fokus untuk berkhidmat. Soal jadi calon itu soal parti. Perkhidmatan saya kepada rakyat di kampung saya Ketereh.

“Saya pernah diminta sebelum ini diajak bertanding tempat lain saya tak pernah pergi. Kalah menang saya di situ. Saya berpegang kepada prinsip.

Dalam pada itu beliau berkata, keputusan untuk menjadi ahli Pas hanya dilakukan melalui urusetia dan bukanlah melalui pimpinan tertinggi parti tersebut.

“Saya membuat keputusan sendiri untuk menjadi ahli sahaja tanpa ada syarat atau janji. Saya cuma isi borang untuk jadi ahli supaya tenaga yang ada ini saya nak sumbangkan pada parti yang saya menjadi ahli.

“Disitulah ringkasnya saya membuat keputusan. Walaupun keputusan itu dibuat, saya tidak pernah berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin atau Haji Hadi, boleh tanya diorang, saya belum jumpa sampai hari ini.

“Saya cuma berurusan dengan urusetia parti PAS dan maklumkan dengan setiausaha agung PN.

Ditanya mengenai pandangan beliau melihat parti umno pada masa kini, Annuar memetik kata kata timbalan presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan yang menyatakan umno hanyalah parti yang menumpang dalam kerajaan.

“Sekarang saya tak bersependapat dengan Zahid kerana mengangkat parti mirip sosialis, libralis seperti mana hari ini menjadi pemerintah dan hanya menjadikan umno ‘so called king maker’, tetapi duduk mengemis sebagai parti.

“Saya meminjam kata kata tok mat ‘parti (umno) yang menenggek menumpang’ saya menentang dasar itu. Berbeza pendapat dan dibuang, saya berkhidmat dengan PAS.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Koh dan Thed tegaskan PAS parti sederhana, bukan rasis (bersama video)


PAS cuba membersihkan imejnya selepas dianggap sebagai parti perkauman melalui sesi penjelasan yang disiarkan secara langsung melalui platform Facebook.

Melalui program Santai Kopi - Benarkah PAS untuk semua? itu dua tetamu bukan Islam dijemput sebagai panel iaitu Steven Koh dan Cliff Thed.

Koh merupakan pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pulau Pinang, manakala Thed timbalan ketua penerangan Gerakan.

Gerakan adalah satu daripada parti komponen PN yang disertai PAS. 

Bercakap kepada Awangku Alizul Azahari yang menjadi moderator, Koh berkata dia semakin menyukai PAS apabila dibantu oleh ahli parlimen parti berkenaan ketika "ditindas" oleh kuasa politik dalam tugasnya sebagai chef yang memperjuangkan isu makanan halal.

“Apabila saya menang dalam perjuangan saya, saya diberikan platform DHPP, di mana saya sebagai orang bukan Islam boleh bekerjasama dengan PAS.

“Melalui peranan saya dalam DHPP, saya boleh membantu golongan yang kurang bernasib baik, sepertimana PAS pernah membantu saya pada masa yang memerlukan,” katanya.

Dalam PRU ke-15 lalu Koh dicalonkan oleh PAS-PN untuk kerusi parlimen Bukit Mertajam.

Sementara itu Thed pula mengakui ramai orang bukan Islam beranggapan Malaysia akan menjadi negara seperti ditadbir Taliban jika PAS berkuasa sehingga menakutkan ramai orang.

"Perkara sebenar ialah keadaan akan menjadi sebaliknya.

“Saya mempunyai ramai kawan yang beragama Islam, dan tiada seorang pun daripada mereka yang bersikap melampau,” katanya.

Koh pula menambah pihak yang menggambarkan PAS sebagai parti ekstrem adalah "taktik kotor" yang dibuat pihak tertentu untuk menakutkan orang bukan Islam.

Hudud hanya untuk Muslim

Dia juga menyamakan langkah berkenaan seperti naratif Barat terhadap Taliban.

"Islam tidak perlu ditakuti. Undang-undang hudud lebih adil daripada sistem sedia ada," katanya.

Hal itu kerana, tambah Koh, banyak prosedur yang perlu dipatuhi pihak perundangan sebelum sesuatu hukuman dikenakan.

Dia juga mengambil pelaksanaan hukuman Islam di Aceh sebagai contoh.

"Mereka sudah lama mengamalkan hudud, tetapi mereka tidak memotong (tangan) setakat ini," katanya.

Tambahan pula, tambah Koh, undang-undang hudud hanya terpakai kepada orang Islam.

Thed kemudian menceritakan pengalamannya bekerja dengan PAS ketika Gerakan belum menyertai PN serta selepasnya yang tidak menunjukkan banyak perbezaan.

Menurutnya lagi, walaupun bukan beragama Islam dia tetap boleh menikmati makanan yang tidak halal di negeri yang ditadbir PAS dan bukannya seperti tanggapan pihak tertentu.

Dia juga menegaskan bahawa PAS adalah sebuah ""parti yang sempurna" dalam semua aspek kerana ia adil kepada setiap kaum dan agama.

"Walaupun PAS dituduh melarang pengambilan arak, perjudian, dan sebagainya, kita harus ingat bahawa ia adalah tabiat buruk.

"Selain itu, peraturan berkenaan tidak terpakai kepada orang bukan Islam," katanya sambil menggesa moderator mengadakan lebih banyak program serupa bagi menyedarkan rakyat Malaysia tentang sifat-sifat baik PAS.

Boleh tonton di sini...




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Umno conteng piagam Muafakat Nasional


TSUNAMI luar biasa pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bukan lagi parti biasa-biasa. 

Sebelum ini PAS sering digelar sebagai ‘parti pak lebai’, ekstrem dan tidak pandai memerintah. PRU-15 bagaimanapun membuktikan pandangan itu meleset.

Bukan lagi sekadar berupaya mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah, sebaliknya sudah menjalar ke Perlis. Bagi menjengok lebih dekat perkembangan yang berlaku itu ikuti temu bual Wartawan HarakahDaily, NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF bersama Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin di Kompleks PAS Perlis baru-baru ini.

HARAKAHDAILY: Sekarang ini dilihat seperti era kebangkitan semula PAS, jika dahulu orang tidak pandang pun PAS, namun sekarang sudah dibuktikan berjaya mentadbir empat negeri di mana terbaharu Perlis. Apa pandangan Tuan Guru mengenai situasi itu?

Tuan Guru Hashim: Yang pertama selepas PRU-15 kita rasa banyak kejutan yang berlaku dalam politik di negara kita, sebagai contoh di Perlis terutamanya. Kedah, Kelantan dan Terengganu PAS menyapu bersih semua kerusi yang ada. 

Kemenangan di Perlis, saya sendiri pun terkejut apabila kita dapat menang 14 daripada 15 kerusi. Satu kejayaan yang tidak pernah kita jangka kerana sebelum ini kita hanya menyasarkan paling maksimum lapan kerusi sahaja bagi membolehkan kita mentadbir kerajaan negeri.

Kita tidak jangka 14 kerusi, bagi saya kejayaan itu bukan bermula semasa pilihan raya tetapi sudah bermula sejak daripada penubuhan PAS lagi, kerana dasar perjuangan kita ialah Islam.

Islam itu sendiri bersifat suci dan bersih kita pegang sungguh dasar itu. Akhirnya natijah itu kita dapat dalam pilihan raya baru-baru ini.

Sebelum itu pun kita pegang dasar yang sama, tetapi kita belum beroleh kejayaan, kita pernah tidak menang langsung, paling banyak kita menang tahun 1999, tiga daripada 15 kerusi. Lepas itu turun dua, turun satu, kemudian naik semula dua Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kali ini kita jangka banyak boleh menang paling banyak lapan kerusi.

Alhamdulillah, syukur kejayaan ini selain daripada usaha yang kita buat dan istiqamah kita dalam perjuangan sebenarnya kita telah mendapat pertolongan dari Allah. Kalau Allah tidak tolong kita tidak akan dapat. Pertolongan Allah akan datang bila kita menolong Allah.

Apa yang kita buat sedikit sebanyak usaha mendekati masyarakt dengan Allah. Misalnya kita buka Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), jika difikirkan logik, mereka bukannya boleh mengundi tetapi usaha mendekatkan diri anak-anak dengan Islam seperti diajarkan bacaan ayat lazim dan cara sembahyang.

Di samping itu, kita juga buka sekolah rendah dan menengah yang dimulakan dengan solat Dhuha kemudian solat Zohor dan Asar berjemaah. Pelajar-pelajar yang belum matang ini kita dekatkan mereka dengan Allah menerusi solat Dhuha, Zohor dan Asar berjemaah, tinggal lagi tiga waktu sahaja kita serah semula kepada keluarga mereka.

Sambutan yang diterima cukup baik dan masyarakat boleh nampak kejayaan kita.

Begitu juga usaha awalan yang dilakukan termasuk kelas-kelas pengajian agama di markas, surau dan sebagainya. Semua inilah yang membantu untuk melayakkan kita mendapat pertolongan dari Allah.

Adakah Dato’ Seri Shahidan Kassim juga menjadi penyumbang kemenangan besar PAS dan PN? 

Itu lagi satu, kenapa beliau menyebelahi kita, siapa yang ubah hati dia, dahlu kita ajak dia berkawan tetapi beliau tidak mahu, saya pernah beberapa kali kalah dengan beliau dalam PRU.

Kawan baik tapi berlawan, sekarang dia datang menyerah diri bersama dengan kita. Persoalannya apa yang kita bagi kat dia? Kita tidak beri apa-apa kepadanya, Allah jualah yang membuka hatinya untuk memilih kita untuk bersama pada hal dia boleh nak bertanding solo atau berlawan atas tiket Umno, kerana beliau mempunyai kemampuan dan kewangan yang cukup. 

Tetapi tidak, dia memilih kita, jangan kata kita pergi pujuk dia, Allah yang membuka pintu hati dia untuk bersama dengan kita.

Kuasa Allah yang membantu kita mencapai apa yang kita dapat pada hari ini. Saya nak ingatkan pimpinan yang jadi wakil rakyat jangan sesekali kita sombong dengan Allah. Mesti banyak bergantung kepad Allah.

Apa yang kita dapat semuanya atas kehendak Allah. Saya nampak terutamanya orang Perlis, ADUN dan anggota Exco saya nasihati contohi Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau sebelum duduk di kerusi Menteri Besar, beliau sembahyang dua rakaat setiap hari sebelum memulakan tugas. 

Amalan ini hanya lima minit sahaja sudah boleh selesai menandakan kita ada kuasa tetapi Allah mahu kita tidak lupa kepadaNya dengan kita bersujud kepadaNya terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu kerja.

Keberkatan daripada amalan itulah sampai sekarang 32 tahun kita dapat memerintah. Justeru saya memesan kepada wakil rakyat yang menang agar mengamalkan perkara tersebut.

Jangan kita termasuk dalam golongan orang yang dikurniakan nikmat kuasa sebab Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda ”Aku tidak bimbang jika kamu miskin tetapi aku bimbang apabila Allah beri nikmat yang banyak, kamu akan berebut dunia maka Allah akan hancurkan kamu seperti Allah hancurkan kamu seperti kaum terdahulu kerana mereka mengejar dunia.” 

Sebab itu saya pesan, sebelum jadi calon kita tiada apa, sebab kebanyakan calon PAS ini orang miskin, kemudian lepas dapat nikmat kemenangan maka jangan gelojoh untuk mahu tunjukkan kemampuan dan kebendaan. 

Contoh seperti tukar kereta, tunggu dahalu bukan tak boleh tetapi jangan gelojoh dan perkara penting kita wajib bersama rakyat.

Masing-masing perlu kaji kenapa rakyat menolak Umno secara total di Perlis, lalu perkara yang tidak disukai rakyat semasa pemerintahan Umno kita jangan buat.

Contohnya seperti wakil rakyat tidak masuk kampung, tidak mendekati rakyat kita jangan buat begitu. Sakit demam, hidup mati, kenduri kendara rakyat kita perlu terlibat untuk kita menangi hati rakyat. 

Kelantan dapat bertahan hingga kini dalam keadaan Kelantan negeri pembangkang yang kurang peruntukan Pusat, namun dapat bertahan bahkan negeri-negeri lain menjadikan negeri itu sebagai negeri contoh.

Tuan Guru buat sesuatu bukan untuk diri beliau sendiri, bukan untuk keluarga tetapi untuk rakyat dan semua kaum. Misalnya beliau buat majlis buka puasa, puasa kewajiban agama kita tetapi untuk majlis berbuka puasa beliau panggil semua kaum termasuk orang Cina, Siam dan Hindu untuk duduk bersama.

Kerajaan Pusat sekarang dikuasai Pakatan Harapan (PH), ini bermakna Perlis menjadi negeri pembangkang. Mungkinkah kita akan menerima nasib yang sama dengan negeri pembangkang yang lain? 

Perkara ini saya tidak terlalu bimbang sangat kerana jika mereka zalim, kita ada perlembagaan, ada undang-undang jadi memang mereka wajib menunaikan kewajipan mereka sebagai kerajaan pusat.

Jika mereka melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh pemerintah sebelum ini, rakyat pasti akan menilai dan tidak sampai lima tahun mereka pasti akan jatuh.

PAS sudah menawan empat negeri, tidak mustahil satu hari nanti PAS akan jadi kerajaan Persekutuan?

Ya perkara ini bukanlah suatu yang mustahil. Jika sebelum ini kita bermusuh dengan Umno sehingga kesan tersebut kesannya melekat kepada penduduk kampung, tetapi selepas kita menjalin kerjasama dengan Umno sehingga melahirkan piagam Muafakat Nasional, orang Umno dan PAS sudah dapat berbaik semula.

Namun mereka sekali lagi menconteng onar, selepas PRU-15 Umno lebih memilih untuk berkawan dengan PH berbanding Perikatan Nasional (PN). Seperti yang berlaku di Perak dan Pahang.

Namun begitu semua ada hikmahnya, sekarang Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut berbondong-bondong menerima ahli baharu. Perkara ini pernah berlaku ketika PAS berpisah dengan DAP, dalam sebulan kita menerima 18,000 ahli baharu.

Kita lihat sekarang anak muda rata-rata menyokong PAS dan PN, apa pandangan Tuan Guru?

Bagi saya mudah saja, Allah sudah menggerakkan hati mereka untuk menyokong PAS. Justeru pemuda wajar mengambil peluang ini dengan membanyakkan aktiviti kepemudaan.

Nasihat Tuan Guru kepada wakil rakyat PAS dan PN?

Dasar umum pemerintahan kita sudah bincang lama jadi sekarang ini waktu untuk kita mempraktikkan apa yang sudah dibincangkan. Jika kita berbuat baik dengan binatang pun Allah kira, inikan pula jika bertindak adil dengan manusia semuanya.

Insya-Allah saya penuh yakin dan amat mengharapkan usaha yang suci ini tidak boleh dijelmakan dengan masa yang singkat, banyak lagi langkah yang perlu kita buat untuk berjaya di masa akan datang. – HARAKAHDAILY 2/12/2022



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

DUN Tioman: Kita cuba sehabis baik, insya-Allah


Walaupun NOR IDAYU HASHIM merasa berat untuk menerima amanah sebagai calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman pada PRU15, namun optimis untuk melakar kejayaan dengan kekuatan jentera parti yang perlu bekerja dengan lebih gigih lagi. Beliau juga menyeru semua pengundi di DUN Tioman dan pengundi luar agar pulang untuk mengundi pada 7 Disember depan dan mengekalkan kemenangan PERIKATAN NASIONAL sebagaimana dibuktikan semasa pengundian bagi kerusi Parlimen Rompin pada 19 Novermber lalu. Beliau berkongsi pandangan itu semasa ditemu bual ringkas Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF pada satu program di bandar Rompin, hari ini.

Apa perasaan puan dipilih sebagai calon bagi menggantikan Almarhum Md Yunus Ramli dalam waktu yang agak singkat?

Seperti yang sedia maklum, saya dipilih untuk menjadi calon ini tidak sampai beberapa hari. Jadi, normallah bagi yang pengalaman pertama kali dan tidak ada pengalaman untuk menjadi calon, jadi sesuatu yang agak mengejut pada saya. Tetapi disebabkan kita sudah ditarbiah dengan sami’na waato’na, insya-Allah kita cuba sedaya upaya untuk memenangkan jemaah di bawah kepimpinan ulama ini walaupun berat untuk menerima amanah yang memang kita tahu tanggungjawab yang sangat berat. Insya-Allah kita cuba sehabis baik dengan kekuatan jentera kita, insya-Allah, terima juga dengan tabah.

Harakah: Puan dilihat sebagai tulang belakang dalam meneruskan usaha Almarhum Md Yunus membantu penduduk di DUN Tioman. Pilihan puan sebagai calon dikira tepat.

Insya-Allah, saya yakin dengan pilihan jemaah kerana mereka lebih mengetahui siapa calon yang lebih sesuai. Jadi pada saya, insya-Allah pilihan jemaah itu adalah tepat.

Bagaimana penglibatan puan dengan aktiviti dan gerak kerja Dewan Muslimat PAS Kawasan Rompin?

Saya memang sangat aktif memandangkan saya juga AJK Dewan Muslimat PAS Rompin. Walaupun kita tahu bahawa Rompin ini merupakan kawasan yang sangat besar, tetapi alhamdulillah saya komited dengan program yang dianjurkan PAS dalam pelbagai peringkat, daripada cawangan, Dewan Muslimat PAS kawasan sehinggalah pada PAS kawasan.

Puan menghadapi saingan lima penjuru pada PRU15 DUN Tioman ini, hanya puan calon wanita. Adakah ini satu advantage?

Ya, saya lihat ia merupakan satu advantage kepada saya dengan kita lihat bilangan pengundi wanita dan lelaki ini 50-50. Saya juga sebelum ini, banyak mengikut program kebajikan anjuran PAS kawasan dan NGO Rompin Makmur. Jadi ramai yang telah mengenali saya dan saya sangat yakin pada pencalonan kali ini.

Dalam DUN Pahang, Adun BN dan PH ada wanita, jadi apa yang akan dibawa oleh puan sekiranya diberikan kemenangan di DUN Tioman ini, insya-Allah.

Selari dengan tema Pahang Berkat Mahmur Sejahtera, yang prihatin dan kebajikan, saya mahu lebih kerap turun ke lapangan bertemu dengan rakyat di DUN Tioman ini dan cakna kepada kebajikan masyarakat. Bukan setakat cakna, tetapi salurkan dengan sebaiknya serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.

Nor Idayu bersama dengan sekumpulan anak muda yang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Pesanan puan kepada pengundi dan jentera PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman ini.

Saya menyeru kepada semua pengundi yang berada dalam DUN Tioman ini dan pengundi luar agar pulang untuk mengundi dan kekalkan kemenangan kita, PERIKATAN NASIONAL di Rompin.

Kepada jentera-jentera, kemenangan kita yang sebelum ini, saya harap dapat bekerja keras lagi dengan cabaran yang mungkin akan kita hadapi pada pilihan raya kali ini. – HARAKAHDAILY 27/11/2022







........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

BN akan kalah di Perlis


SELAIN Datuk Seri Shahidan Kassim seorang lagi pemimpin veteran di Perlis, DATUK ZAHIDI ZAINUL ABIDIN juga antara yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebagai tanda tidak bersetuju ekoran keputusan pucuk pimpinan memilih calon luar bertanding di Parlimen Padang Besar, Zahidi mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkongsi pandangan terhadap pelbagai isu berbangkit itu selain meramalkan BN akan kalah dalam PRU15 di Perlis.

UTUSAN: Bagaimana per­kembangan kempen me­masuki pusingan kedua?
ZAHIDI: Dari segi pe­ngundi, beberapa hari ber­kempen walaupun tak per­gi ke semua tempat, na­mun, penerimaan pengundi cukup memberansangkan di mana mereka selari de­ngan pendapat saya, kita tidak mahu orang luar da­tang menjadi calon di sini. Saya juga terangkan kepada mereka kalaulah anak Per­lis, Padang Besar, tidak ada masalah.

Peluang Datuk di Padang Besar ?
Saya bertanding bukan un­tuk menang, saya tidak bersetuju orang luar masuk, itu saja. Matlamatnya pi­lihan supaya ada kepada pengundi. Kalau mereka bersetuju tidak ada masalah, cuma saya berjuang sebab tidak bersetuju.

Komen mengenai peng­gu­guran Datuk sebagai ahli UMNO ?
Kita melihat cara Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) meng­urus UMNO ini akan menyebabkan UMNO akan kalah teruk. Ke­na buang pun takda ma­salah dengan ke­pemimpinan Zahid yang ada sekarang ini.

Pandangan Da­tuk melihat kepada gelombang PN di Perlis ketika ini ?
Di Perlis, ini kali ini kita nak guarantee tak mau, tapi BN memang kalah. Orang pun tak minat lagi BN dengan cara Ahmad Zahid ini. Daripada awal sehingga sekarang kita lihat UMNO makin le­mah, makin lemah, makin bu­at kesilapan tidak mahu belajar. Saya rasa di Malaysia rak­yat akan menolak ke­pimpinan Zahid.

Jangkaan keputusan PRU­­15 di Perlis ?
BN dijangka kehilangan se­kurang-kurangnya sem­bilan kerusi DUN termasuk Parlimen Arau selain Padang Besar yang peluangnya masih se­imbang. Ramalan tersebut adalah hasil kajian dan pengalaman melihat si­tuasi semasa selepas pucuk pimpinan parti diketuai Pre­siden, Ahmad Zahid yang menggugurkan calon-calon boleh menang.

Di Arau, empat kerusi su­dah tentunya kalah iaitu Gu­ar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Ka­yangan, Sena dan Bintong. Padang Besar BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi manakala Par­limen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat ti­dak menghadapi masalah menang selain Pa­dang Besar pe­luang 50-50 untuk BN me­nang. –UTUSAN




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


Saya hanya mahu lunas janji kepada pengundi Batu, kata Tian Chua


CHUA Tian Chang, atau lebih dikenali dengan nama Tian Chua, memutuskan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pertandingan 10 penjuru di kerusi Batu kerana janji dibuatnya kepada pengundi kawasan itu empat tahun lalu.

Tian Chua adalah ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2018 tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU14 selepas hilang kelayakan pada hari penamaan calon.

Beliau kemudiannya menawarkan sokongan kepada calon Bebas ketika itu, P. Prabakaran yang menang dan menjadi wakil rakyat termuda.

“Saya berjanji kepada pengundi Batu yang saya akan terus berkhidmat. Saya tak akan tinggalkan Batu. Saya perlu tunaikan janji itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, bukan niatnya untuk menimbulkan kemarahan bekas partinya, PKR, tetapi merasakan ia adalah tindakan yang betul untuk diambil.

Beliau menjelaskan yang keputusannya untuk bertanding dimaklumkan kepada kepimpinan PKR sebelum hari penamaan calon.

“Saya beritahu Anwar (Ibrahim, presiden PKR) yang saya minta maaf tetapi saya putuskan untuk ambil jalan ini,” kata Tian Chua.

“Saya juga beritahu yang ini tidak pernah berniat untuk menjejaskan hubungan kami.”

Katanya lagi, beliau tidak mengharapkan Anwar memahami keputusannya, malah pemimpin PKR lain juga turut memujuknya supaya tidak bertanding di Batu.

“Tetapi saya percaya apa yang saya buat adalah betul,” kata politikus berusia 59 tahun itu.

Kerusi Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru, terbanyak pada PRU15 dengan Tian Chua menggemparkan arena politik dengan bertanding secara bebas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.
Kerusi Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru, terbanyak pada PRU15 dengan Tian Chua menggemparkan arena politik dengan bertanding secara bebas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.

Pertandingan 10 penjuru di Batu adalah yang terbanyak pada PRU15 kali ini.

Daripada 10 calon merebut kerusi Batu, enam adalah daripada pakatan dan parti politik utama, iaitu Prabakaran (Pakatan Harapan (PH)-PKR), A Kohilan Pillay (Barisan Nasional (BN)-MIC), Azhar Yahya (Perikatan Nasional (PN)-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (Gerakan Tanah Air (GTA)-Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Mereka melawan empat calon Bebas - Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan Too Cheng Huat.

Parlimen Batu dianggarkan mempunyai lebih 113,000 pengundi selepas mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun ditambah secara automatik ke dalam senarai daftar pemilih.

Mengikut pecahan kaum, pengundi kawasan itu majoritinya adalah Melayu (43%), Cina (30%), India (20%) dan lain-lain (7%).

Penyokong PH merasakan Tian Chua membuat keputusan salah kerana ia menarik undi daripada Prabakaran seterusnya menyebabkan pakatan itu kehilangan kerusi Batu.  

Berikut adalah wawancara The Malaysian Insight bersama Tian Chua:

Q: Dengan bertanding lagi, apa yang awak harapkan buat lebih baik berbanding apa yang sudah Prabakaran buat?

A: Saya bukan baru di sini. Saya sudah di Parlimen sejak 10 tahun lepas, saya sudah berkhidmat di sini selama 10 tahun. Jadi orang boleh buat perbandingan. 10 tahun saya lawan empat tahun Prabakaran. Biar rakyat putuskan jika saya boleh kerjalebih baik atau Prabakaran lebih baik. Sekarang masanya pengundi buat keputusan. Saya bukan pergi temuduga kerja untuk cakap saya boleh buat lebih baik.

Q: Ada cakap-cakap akar umbi yang awak bermasalah dengan Prabakaran.

A: Bagi saya itu tidak relevan. Rakyat perlu buat penghakiman berdasarkan kemampuan kami. Siapa lebih berkemampuan. Saya tidak ada masalah dengan calon lain juga. Kami hanya mewakili pelbagai lapisan berbeza politik Malaysia.  

Q: Awak ada bercakap dengan Prabakaran sebelum memutuskan untuk bertanding?

A: Keputusan (untuk bertanding) dibuat lama dulu. Dia tahu mengenainya. Parti pun tahu. Prabakaran memutuskan yang dia sudah cukup kuat berseorangan. Dia cabar saya pada pemilihan PKR Cabang Batu dan dia menang. Itu bermakna dia sudah cukup kuat untuk beritahu pengundi Batu yang dia sekarang sudah besar. Dia tak perlukan Tian Chua untuk jadi mentor atau berkempen untuknya. Saya hormati keputusan itu, orang muda ada cita-cita mereka sendiri.

Jadi sekarang, memandangkan dia sudah buat keputusan, biar dia beritahu kepada rakyat dan mereka akan putuskan. Saya bukan di sini untuk melawannya dan saya tidak berkecil hati. Kerana dia rasa pasukan dan jenteranya sudah cukup untuk membantunya, dia boleh teruskan. Dia ada hak untuk berbuat begitu.

Dia sudah besar, dia tak perlukan saya dan jentera cabang di sini, kata Tian Chua.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.
Dia sudah besar, dia tak perlukan saya dan jentera cabang di sini, kata Tian Chua. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.

Q: Di media sosial ramai kata jangan buang masa undi calon Bebas. Apa pandangan awak?

A: Tak kisah. Perlembagaan benarkan ini berlaku (untuk bertanding secara Bebas). Sama ada calon Bebas atau calon parti, di akhirnya, ia adalah keputusan rakyat. Media sosial juga cakap semua benda lain selain daripada Pakatan Harapan sudah tidak relevan. Ada benarnya, jadi biarlah.

Q: Apa pandangan awak tentang jumlah calon yang ramai di Batu?

A: Saya tak tahu mengapa mereka semua datang ke Batu. Tetapi sebagai orang sudah lama di sini, saya mengalu-alukan mereka. Ini bermakna ramai orang berminat untuk berkhidmat di sini. Nasihat saya hanyalah, bila kalah, jangan lari. Teruskan berkhidmat.

Q: Siapa awak rasa pencabar utama? Prabakaran?

A: Bukan, bukan Prabakaran. Saya rasa cabaran terbesar untuk saya datangnya dari BN (Kohilan) dan PN (Azhar Yahya).

Q: Kenapa?

A: Kohilan bukan calon lemah, kerana itu MIC dan MCA berebut hendak kerusi ini. Mereka fikir ini kerusi boleh menang. Dia boleh tarik undi orang India dengan jentera mereka.

Selain itu, dia dapat sokongan Gerakan dan MIC. Kohilan berpengalaman dan calon disukai ramai, dia juga orang sini. Saya tak mahu perlekeh kemampuannya.

Sentimen orang Melayu pula kita tak tahu.  Mereka majoriti di sini. Ia (undi) boleh pergi ke BN jika saya tak bertanding. Saya ada sokongan besar daripada orang Melayu. Saya yakin dapat kekalkan sokongan tradisi di sini.

Q: Bagaimana awak berkempen? Rumah ke rumah? Ceramah?

A: Saya buat semuanya. Saya mampu ubah keadaan dalam empat hari pada pilihan raya lepas (bila PH beri sokongan kepada Prabakaran yang merupakan calon Bebas ketika itu). Kita boleh mendekati rakyat dan dengan jentera, kita mampu ubah fikiran rakyat untuk beri undi kepada Prabakaran.

Itu kekuatan jentera kita ketika itu. Kita ada jentera komuniti yang sangat kuat. Prabakaran tidak mahu guna mereka sekarang. Mereka sekarang bersama saya. Dia ada pasukannya yang membantunya pada PRU14, jadi dia terus bersama mereka. Ini pasukan asal cabang kami dan sudah di sini hampir 20 tahun. Mereka sudah berkhidmat di sini sejak mula-mula saya datang sini. – 13 November, 2022.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Azli (PH) terdiam ‘diserang’ Afif (PN) - Bersama Video Bual Bicara


SHAH ALAM –
Calon Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof dilihat lebih banyak mendiamkan diri ketika menyertai program bual bicara YB Boleh ‘Go’ Ke? anjuran Sinar Harian, petang tadi.

Acara yang memfokuskan kerusi Parlimen Shah Alam itu menggandingkan Azli dengan Dr. Afif Bahardin dari Perikatan Nasional (PN) yang bertalu-talu membuat serangan peribadi terhadap Azli.

Sepanjang lebih 50 minit bersiaran secara langsung, Afif lebih banyak bercakap, meskipun Azli cuba untuk mencelah, namun tidak diendahkan.

Sekadar mampu tersenyum, Azli hanya membuat penafian apabila Hazwan Mokhtar selaku hos memberi peluang kepadanya untuk memberi pendapat.

Walau bagaimanapun, Azli dilihat tidak mahu melayan strategi lapuk Afif dan fokus kepada usaha-usaha yang mahu dilakukannya di Shah Alam.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Kenapa BN tidak mohon maaf isu skandal 1MDB, soal Faizal


PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu membidas Barisan Nasional (BN) dan bekas menteri yang berkhidmat dalam Kabinet Najib Razak kerana gagal membuat permohonan maaf berhubung skandal 1MDB yang melibatkan berbilion ringgit.

Dalam temu bual dengan FMT, Faizal berkata, kerajaan masih membayar faedah ke atas hutang yang ditanggung 1MDB, cabang pelaburan kerajaan.

Faizal, yang merupakan anggota Kabinet, berkata: “Saya ingin bertanya kepada Ismail Sabri Yaakob, bos saya, dan juga pemimpin Umno yang lain, mengapa mereka masih berdiam diri sejak Najib telah disabitkan kesalahan? Mereka tahu mereka berada dalam kabinet ketika 1MDB berlaku.

“Kenapa awak tidak minta maaf kepada rakyat Malaysia? Anda (pada asasnya) mengatakan kes 1MDB sudah tiada, semuanya baik-baik,” kata Faizal.

Bagaimanapun, Faizal berkata, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin adalah satu-satunya pemimpin daripada BN yang menyatakan kekesalan terhadap skandal kewangan itu.

Ya, Tommy Thomas adalah lantikan politik

Faizal bersetuju bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas pada dasarnya adalah lantikan politik semasa Pakatan Harapan mentadbir kerajaan persekutuan.

Ada kumpulan tertentu dalam PH mengesyorkan Thomas untuk jawatan itu walaupun dia bukan ahli politik, kata Faizal, sambil menambah ini “lebih kepada politik”.

Beliau menolak dakwaan Pemuda Umno bahawa Perikatan Nasional membisu mengenai penemuan ahli panel dilantik kerajaan dalam memoir Thomas.

Faizal, yang juga timbalan pengerusi PN, berkata gabungan itu tidak mahu campur tangan dalam siasatan dijalankan pihak berkuasa kerana mereka harus diberi ruang untuk mengambil tindakan terhadap Thomas.

“Jika pihak berkuasa boleh menemui sebarang kesalahan dalam buku itu, mereka harus mengambil tindakan. Biarlah pihak berkuasa melakukan tugasan mereka dan jangan kita gunakan apa sahaja yang ada di sana (buku) terhadap sesiapa pun.”

Memoir Thomas “My Story: Justice In The Wilderness” telah mencetuskan kontroversi dan membawa kepada siasatan polis kerana beberapa kemungkinan kesalahan, termasuk hasutan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Syor bentuk kerajaan campuran, BN sudah hilang kekuatan?


BANGI, 1 Rabiulakhir 1444H, Khamis
– Cadangan supaya Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain – sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan – menunjukkan isyarat parti itu sudah hilang kekuatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyuarakan pandangan tersebut berkata, kerjasama itu mungkin melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan parti-parti lain.

Bagaimanapun, menurut Naib Presiden UMNO itu, sebarang keputusan kerjasama dengan parti lain akan diputuskan Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika 85 kerusi menang dan ini jelas kita tidak mampu membentuk kerajaan kerana ia memerlukan majoriti mudah 112 kerusi, jadi tentu saja kita akan bekerjasama dengan parti-parti lain.

“Sebagai contoh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN dan apa-apa parti sekalipun akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas keputusan.

“Apa-apa pun kita tunggu keputusan dulu kemudian parti akan membuat keputusan (kerjasama),” katanya.

Ismail Sabri dilaporkan berkata demikian mengulas pandangan penganalisis politik, Dr Azmi Hassan yang menjangka BN mampu meraih kemenangan 80 hingga 85 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu.

Dalam isu ini, Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, BN seolah-olah tiada lagi keyakinan untuk menang pilihan raya yang akan datang sekali gus memaksa parti itu membentuk kerajaan campuran seperti PRU 2018 yang lalu.

Jika itu berlaku, beliau yakin keadaan Malaysia tidak akan stabil dan pembangunan negara tidak dibangunkan dengan sebaik mungkin.

“Jadi adalah penting memilih kerajaan yang stabil, bukan Barisan Nasional, bukan Pakatan Harapan tapi kita memilih satu kerajaan yang baharu iaitu Gerakan Tanah Air.

“Ia supaya kita dapat membawa negara ke arah yang lebih cemerlang lagi dengan pimpinan negara yang baru di masa akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Pada masa sama, beliau yakin, saranan itu juga dapat mengelak isu pertukaran perdana Menteri seperti yang berlaku sebelum ini.

“Jadi kita semua keluar mengundi beramai-ramai dan pilihlah kerajaan yang boleh membuat pembaharuan kepada negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

'Perkahwinan' Bersatu, PAS boleh gegar kubu kuat Umno - Armada


Tidak dinafikan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Bersatu banyak bergantung kepada populariti presiden partinya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad di seluruh negara.

Selain penampilan istimewa bekas perdana menteri itu, penggantinya Muhyiddin Yassin juga menyumbang sokongan terhadap parti itu - terutamanya di Johor.

Ini walaupun popularitinya kelihatan semakin malap berikutan kekalahan besar Bersatu dan parti komponennya kepada Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor yang diadakan pada tahun ini.

Pada masa sama, anggota berprofil tinggi Bersatu seperti bekas menteri Maszlee Malik dan Syed Saddiq Abdul Rahman pula meninggalkan parti itu susulan Langkah Sheraton pada hujung Februari.

Ditambah pula dengan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin keluar parti itu selepas menyertainya ekoran Langkah Sheraton.

Kini, ramai tertanya-tanya apakah daya tarikan Bersatu yang masih ada untuk berdepan dengan PRU15 bagi menentang parti-parti pesaing yang merebut demografi pengundi yang sama.

Dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) diminta mengulas mengenai tahap sokongan terhadap parti itu pada PRU15.

Exco Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid, 30, mengakui pada PRU14 parti itu mendapat banyak kelebihan daripada kepimpinan Mahathir, dengan menyifatkan pemimpin politik berusia 97 tahun itu sebagai "tokoh besar" dalam negara.

Namun, Harris (gambar, atas) bersikap optimistik meyakini Bersatu turut mampu meraih sokongan pengundi Melayu.

“Kami akan menawarkan pilihan yang sangat bagus untuk orang Melayu kerana kami bersama PAS. PAS dikenali dengan mempunyai pengundi tegarnya dan (memimpin) beberapa negeri kubu kuat.

"Saya fikir ‘perkahwinan’ (kerjasama) antara Bersatu dan PAS mewujudkan pilihan hibrid untuk orang Melayu kerana terdapat pelbagai jenis orang Melayu di luar sana - ada yang sangat Islamik, ada yang lebih liberal dan ada yang berada di tengah-tengah kedua jenis itu," katanya yang merujuk kepada kawasan pengundi kuat PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Bersatu menarik minat masyarakat yang berbeza. Mereka yang dahulunya menyokong Umno, yang agak tidak Islamik, mereka kini mempunyai pilihan (dengan Bersatu).

"Saya fikir dengan Bersatu akan menyertai pilihan raya bersama PAS, kita benar-benar boleh menggegarkan kubu kuat Melayu Umno," katanya.

Semalam, laporan mendedahkan calon PN di Kelantan akan menggunakan logo PAS untuk pilihan raya akan datang.

Ini akan melibatkan dua ahli Bersatu, Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Khir Toyo akui PH tak akan tumbang tanpa undi Cina, India ke BN


Umno Selangor perlu membantu mengukuhkan parti-parti komponen dalam BN untuk meraih semula sokongan undi di Selangor pada pilihan raya umum yang akan datang, kata bekas menteri besar Dr Mohamad Khir Toyo.

Mengakui Pakatan Harapan (PH) masih kuat di negeri itu, Khir berkata BN Selangor perlu kerja lebih keras untuk menarik semula sokongan bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga daripada pengundi bukan Melayu.

Ini katanya, kerana impian BN untuk menawan semula Selangor sukar dicapai tanpa penambahan sokongan pengundi bukan Melayu.

“Di Selangor ni kita lihat Pakatan Harapan masih bertapak kuat. Kita tak dapat nafikan.

“Sebab itulah BN Selangor kena kerja lebih kuat untuk menarik balik bukan saja undi orang Melayu tetapi juga undi orang bukan Melayu kerana tanpa sokongan orang bukan Melayu, Selangor takkan dapat (semula) kepada kepaa Barisan Nasional.

“Ramuan yang paling baik, kita kena kuatkan BN di Selangor dengan cara menggerakkan parti-parti komponen.

“Kalau hari ni Umno berasa selesa di kalangan pengundi Melayu, tetapi pengundi Cina, India masih tidak bersama dengan BN.

“Jadi Umno kena bantu MCA dan MIC untuk bergerak ke bawah, menyelusup ke dalam kalangan masyarakat kaum Cina dan kaum India - adakan lebih banyak public engagement dengan mereka dan saya rasa ini dapat menarik sedikit sebanyak persepsi yang berbeza kepada orang Cina dan orang India terhadap BN,” katanya ketika temubual bersama Malaysiakini semalam.

Pada PRU14, BN Selangor hanya meraih dua kerusi parlimen (Sabak Bernam dan Tanjong Karang) di samping empat kerusi DUN (Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong).

Ketika ditanya mengenai punca utama yang membuatkan Umno Selangor gagal mengalahkan PH sejak 2008, Khir yang merupakan menteri besar dari 2000 hingga 2008 berkata kesilapan parti itu adalah mementingkan kekuatan Umno di kawasan Melayu dan menidakkan kehadiran MCA dan MIC.

Silap pentingkan kawasan Melayu

“Mungkin orang Umno akan marah dengan saya kerana sikap saya yang suka mengatakan perkara yang benar.

“Kesilapan kita (Umno) pada dua pilihan raya yang lepas (PRU13 dan PRU14), sama dengan saya lakukan dulu (pada PRU12), kita mementingkan kekuatan Umno di kawasan orang Melayu dan kita cuba menidakkan kehadiran MCA dan MIC.

“Sikap ini masih lagi ada… sebab itu kita kena kuatkan BN,” katanya.

Khir menggantikan menteri besar Selangor Abu Hassan Omar mulai 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008, apabila BN negeri pimpinannya tewas kepada Pakatan Rakyat.

Sejak itu, Khir menjadi ketua pembangkang DUN Selangor sebelum meletak jawatan akibat dakwaan rasuah pada Disember 2010.

Dia menjalani hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan rasuah oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2015.

Khir dibebaskan pada Mei 2016 selepas menghabiskan perintah parol bermula Mac 2016 setelah menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Gambar fail.

Dalam pada itu, Khir mengakui dia turut melakukan kesilapan sewaktu pentadbirannya, sehingga BN kecundang di tangan parti pembangkang ketika itu.

“Jadi isunya bagaimana kita nak memastikan rakyat Selangor yakin bahawa BN ni mewakili semua kaum,” katanya.

Untuk rekod, Khir pernah mengundang kontroversi pada 2007 sehingga dikecam apabila menyampaikan sebatang penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Selangor kerana gagal mengutip cukai taksiran melepasi sasaran 50 peratus seperti yang telah ditetapkan bagi 2006.

Susulan kejadian itu, Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana tindakan itu dilihat mengaibkan penjawat awam.

Menceritakan pengalamannya ketika berdepan PRU12 pada 2008, Khir berkata dia diarahkan oleh pimpinan ketika itu supaya hanya menjaga Umno.

“Soal MCA, MIC tu terletak kepada presiden masing-masing dan mendapat arahan sebagai pemimpin bawahan, saya ikutlah,” katanya.

Khir menjadi menteri besar pada usianya 35 tahun ketika menjadi Adun Sungai Panjang pertama kali dalam pilihan raya umum 1999.

Pada 2008, BN Selangor tumbang dengan hanya menang 20 kerusi DUN daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Rakyat yang ketika itu terdiri daripada PKR, DAP dan PAS meraih 36 kerusi.

Mengulas lanjut, bekas Adun Sungai Panjang itu berkata aliran pengundian di Selangor agak berbeza dengan negeri-negeri lain,.

Jelasnya, ia dipengaruhi oleh peratusan antara pengundi Melayu dan bukan Melayu yang agak seimbang, tahap pendidikan yang tinggi dan kesedaran politik yang lebih matang.

“Maka di Malaysia ni… kalau nak berlaku transition of politic, akan berlaku di Selangor dulu,” katanya.

Untuk rekod, DUN Sungai Panjang terletak dalam Parlimen Sungai Besar, berserta DUN Sekinchan. Pada PRU14 lalu, Parlimen Sungai Besar dimenangi calon gabungan PH ketika itu dari Bersatu, Muslimin Yahaya.

Ini sebelum Bersatu keluar PH untuk menyertai PN membentuk kerajaan baru dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Calon Umno, Mohd Imran Tamrin menang DUN Sungai Panjang manakala DUN Sekinchan diwakili Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Tonjolkan pemimpin, jangan tanam dalam tanah

Menurut Khir lagi, BN perlu berusaha menonjolkan kepimpinan mereka sama ada daripada parti umno, MCA mahupun MIC di Selangor.

“Saya maksudkan bukan ketandusan pemimpin… sebenarnya tidak ada pemimpin yang ditonjolkan.

“Kalaulah Tan Sri Noh Omar kata ramai pemimpin Selangor diketengahkan, ada MT muda, saya rasa kita kena ada usaha tonjolkan mereka supaya mereka dapat buat engagement dengan public.

“Ini yang tak adil saya rasa… kenapa tidak ditonjolkan,” katanya ketika ditanya mengenai pemimpin di kalangan BN yang sesuai untuk menyandang jawatan menteri besar, jika diberikan peluang.”

Jelasnya lagi, mereka sewajarnya didedahkan kepada orang ramai dengan menyentuh isu-isu berkaitan negeri yang sering menjadi topik perbualan dan masih tiada penyelesaian seperti isu bekalan air, banjir sewaktu tiba musim tengkujuh, peluang pekerjaan dan perumahan mampu milik.

“Kalau (Ketua Umno Selangor) Tan Sri Noh Omar nak jadi menteri besar, dia kena tonjolkan diri dia.

“Bagaimana nak tonjolkan pemimpin kita ni di peringkat negeri? Ini persoalannya.

"Mudah saja. Pemimpin ni kena bercakap soal state issue. So many state issues in Selangor yang tak diselesaikan berbanding isu-isu kerajaan persekutuan,” katanya.

“Kalau kita ada pemimpin, kita kena tonjolkan. Jangan kita ada pemimpin, kita tanam dalam tanah, simpan dalam bilik.

“Kita kena bawa mereka, tonjolkan. We need to organise a public engagement. Let them talk, let them show their capability,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

Apabila bercakap dengan rasional, berbukti dan berfakta (video)

Kepentingan rakyat perlulah diutamakan



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo