NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Perkahwinan' Bersatu, PAS boleh gegar kubu kuat Umno - Armada


Tidak dinafikan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Bersatu banyak bergantung kepada populariti presiden partinya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad di seluruh negara.

Selain penampilan istimewa bekas perdana menteri itu, penggantinya Muhyiddin Yassin juga menyumbang sokongan terhadap parti itu - terutamanya di Johor.

Ini walaupun popularitinya kelihatan semakin malap berikutan kekalahan besar Bersatu dan parti komponennya kepada Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor yang diadakan pada tahun ini.

Pada masa sama, anggota berprofil tinggi Bersatu seperti bekas menteri Maszlee Malik dan Syed Saddiq Abdul Rahman pula meninggalkan parti itu susulan Langkah Sheraton pada hujung Februari.

Ditambah pula dengan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin keluar parti itu selepas menyertainya ekoran Langkah Sheraton.

Kini, ramai tertanya-tanya apakah daya tarikan Bersatu yang masih ada untuk berdepan dengan PRU15 bagi menentang parti-parti pesaing yang merebut demografi pengundi yang sama.

Dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) diminta mengulas mengenai tahap sokongan terhadap parti itu pada PRU15.

Exco Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid, 30, mengakui pada PRU14 parti itu mendapat banyak kelebihan daripada kepimpinan Mahathir, dengan menyifatkan pemimpin politik berusia 97 tahun itu sebagai "tokoh besar" dalam negara.

Namun, Harris (gambar, atas) bersikap optimistik meyakini Bersatu turut mampu meraih sokongan pengundi Melayu.

“Kami akan menawarkan pilihan yang sangat bagus untuk orang Melayu kerana kami bersama PAS. PAS dikenali dengan mempunyai pengundi tegarnya dan (memimpin) beberapa negeri kubu kuat.

"Saya fikir ‘perkahwinan’ (kerjasama) antara Bersatu dan PAS mewujudkan pilihan hibrid untuk orang Melayu kerana terdapat pelbagai jenis orang Melayu di luar sana - ada yang sangat Islamik, ada yang lebih liberal dan ada yang berada di tengah-tengah kedua jenis itu," katanya yang merujuk kepada kawasan pengundi kuat PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Bersatu menarik minat masyarakat yang berbeza. Mereka yang dahulunya menyokong Umno, yang agak tidak Islamik, mereka kini mempunyai pilihan (dengan Bersatu).

"Saya fikir dengan Bersatu akan menyertai pilihan raya bersama PAS, kita benar-benar boleh menggegarkan kubu kuat Melayu Umno," katanya.

Semalam, laporan mendedahkan calon PN di Kelantan akan menggunakan logo PAS untuk pilihan raya akan datang.

Ini akan melibatkan dua ahli Bersatu, Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo