Jika dilihat dalam sejarah tahaluf siyasi, belum pernah lagi PAS meninggalkan bukan Islam dalam gabungan mereka. 1973, dengan BN, MCA dan MIC ada bersama. CCC pada tahun 1985. Dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pula, DAP dan PBS sebagai wakil. Semasa membentuk Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR), DAP sebagai tunjang bukan Islam. Terkini dalam Perikatan Nasional (PN), ada GERAKAN dan MIPP.
Dalam semua hubungan politik ini, akan ada sahaja bantahan dari kalangan ahli-ahli. Pada 1973, ahli PAS ada yang sanggup melukis lambang kepala lembu, walaupun wajah lembu itu banyak yang herot dari yang sempurna iaitu logo Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), kerana marah dengan keputusan pimpinan PAS bergabung dengan Umno, musuh tradisi PAS.
Tidak sedikit yang keluar PAS apabila PAS memilih Semangat 46, sebuah parti serpihan Umno pada tahun 1987 sebagai rakan baharu, bersama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah Pairin Kitingan membentuk APU. Namun dalam BA dan PR, semangat ahli-ahli PAS agak berbeza. Mereka mahukan Umno dijatuhkan dan DAP diterima baik, sehinggakan ada pula yang rela menjadi pak turut DAP, keluar PAS.
PAS tidak tamak
Apa yang ramai pengkritik tertinggal dalam isu ADUN lantikan ini ialah, perbezaan hubungan antara GERAKAN dan DHPP. Dalam ruang lingkup nasional, GERAKAN adalah rakan tahaluf PAS dalam PN. Sementara DHPP ialah salah satu komponen dalam PAS. Jika kita bercakap mengenai hubungan mana yang lebih utama dijaga, ya, semestinya DHPP yang perlu diutamakan dan PAS kasihi.
Tetapi bukan isu kasih sayang dalam hal ini. Ini adalah hubungan antara rakan PN. Maka jika PAS meletakkan DHPP sebagai ADUN lantikan, maka jelaslah PAS mahu membolot jawatan itu. Ia akan kelihatan sama seperti PAS melantik wakil Dewan Pemuda, Ulamak atau Muslimat. Ia bukan masalah PAS tidak meyakini DHPP, tetapi kerana PAS tidak tamak kepada kedudukan dan tidak patut berbuat demikian dalam konteks hubungan dengan rakan PN.
Bagaimana pula dengan YB Zuraida Mohd Nor yang pertama kali dilantik sebagai ADUN lantikan kepada kaum wanita penggal lalu? Lihat sejarah kembali. PAS pada tahun 2018, bergerak secara solo dan YB Zuraida dilantik pada November 2018. PN terbentuk pada Ogos 2020, dua tahun selepas itu. Dan GERAKAN hanya menyertai PN pada Februari 2021.
Jelas, PAS Terengganu tiada komitmen apa-apa dengan mereka. Sedangkan dalam tahaluf yang dahulu, waktu PKR rakan yang paling miskin dan menyusahkan PASpun kita sanggup serahkan kerusi Dungun dengan calonnya pula orang luar Terengganu. Apalah sangat dengan lantikan yang PAS tidak kehilangan kerusi atas nama tahaluf?
PAS untung dalam tahaluf
Sejarah dalam tahaluf yang dibuat oleh PAS, ada untung dan ruginya. Akan tetapi sehingga kini, secara kolektif, ia jelas menguntungkan PAS yang mempunyai kerusi terbanyak, sehingga rekod PAS yang bersih itu, dicemburui oleh semua parti. Bacalah kembali sejarah Perjanjian Hudaibiyyah yang sering diulang-ulang bagi melihat strategi politik Rasulullah. Atau kisah Perang Hunain yang membekas itu.
Berapa ramai ahli-ahli PAS yang merajuk dahulu, akhirnya akur dan kembali menyertai PAS? Ini kerana merajuk mereka diasaskan dalam kumpulan yang kecil dan banyak menurut perasaan. Sementara keputusan syura PAS pula dibuat selepas lumat berbincang menggunakan akal dari berbagai sumber, disertai doa dan solat istikharah. Ramai pemerhati politik sekarang telah memberikan pujian kepada PAS setelah banyak keputusan bijak PAS lakukan.
PAS ada ramai ahli yang berbeza latar belakang. PAS menerima perbezaan mereka itu dengan syarat mesti mengikut cara PAS. Dan juga, jika ada pandangan luar yang mengkritik PAS, PAS juga bersedia mendengar, tetapi tidak menjadi kewajipan kepada PAS untuk sama ada menerima atau menerangkan kepada mereka apa strategi yang PAS mahu lakukan.
Ringkasnya pandangan orang luar bagaikan mata wang asing. Ia bernilai digunakan di negara mereka sendiri. Namun tidak laku digunakan di negara lain, kecuali ditukarkan dahulu untuk berbelanja. Oleh itu, kepada ahli-ahli PAS yang sedang mengkritik patut sedar yang ‘mata wang’ yang mana sedang mereka gunakan sekarang.
DHPP sebagai ‘benchmark’
Kita tidak perlu tanya apa sumbangan GERAKAN, tetapi kita menyokong komponen dalam PN untuk menyumbang kepada masyarakat bukan-Melayu, Islam di Terengganu.
Baca komen yang adil dari Dr Bala, Ketua DHPP Terengganu yang juga sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam, mewakili MB Terengganu. Sepatutnya beliaulah yang paling terasa hati, tetapi orang lain yang kelihatannya melebihi beliau.
Kritikan dan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan-keputusan yang dibuat pimpinan adalah perkara biasa. Yang membezakannya ialah apabila pimpinan membuat keputusan, mereka wajib melaksanakannya ke tahap paling maksima.
Dan mereka mesti bersedia menerima segala kritikan dan kecaman, malah kutukan yang tidak sedikit datangnya dari ahli sendiri, selain pihak musuh.
Inilah yang membezakan kita, peringkat bawah dengan pimpinan di peringkat atas. Kita hanya goyang kaki di depan telefon atau komputer, sambil ‘memutuskan’, itu tidak kena dan itu tidak betul. Ironinya semua keputusan pimpinan terdahulu majoritinya tepat dan ‘keputusan’ pengkritik melawan keputusan pimpinan, hampir semuanya tersasar.
Presiden PAS menegaskan bahawa PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan-Islam yang tidak ekstrem terhadap Melayu Islam. Maksudnya dahulu DAP, PBS kita anggap tidak ekstrem, sehingga dibuktikan, maka PAS mufaraqah. Sekarang GERAKAN, PAS tidak menganggapnya ekstrem, maka kita terima mereka dalam PN. Dan cara kerja GERAKAN akan diperhatikan dan dibandingkan dengan DHPP yang sudah terbukti itu.
MOHD NASIR ABDULLAH
11 November 2027 – HARAKAHDAILY11/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment