NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label MAHKAMAH. Show all posts
Showing posts with label MAHKAMAH. Show all posts

Najib diperintah jalani baki hukuman penjara kes SRC di rumah



  • Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
  • Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.
  • Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.

“Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara. –BERNAMA







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

AGC akan fail semakan keputusan bebas Da’i Syed



PETALING JAYA:
 Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan semalam yang membebaskan Da’i Syed atau nama Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan merogol.

Dalam kenyataan, AGC berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti alasan penghakiman Mahkamah Rayuan.

“AGC mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Nov 2026 menerusi keputusan majoriti yang telah melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Setelah meneliti alasan-alasan penghakiman oleh panel hakim Mahkamah Rayuan, pendakwa raya memutuskan bahawa satu permohonan semakan akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan permohonan itu akan berlandaskan prinsip perundangan dan kriteria serta ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan seperti yang digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd.

“Sehubungan dengan itu, hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan tersebut bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.”

Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya mencapai keputusan majoriti 2-1 itu dibuat Hakim Azman Abdullah, yang mengetuai panel tiga hakim dengan Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal.

Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid pula menentang keputusan itu.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Aliff Daniel diperintah jalani pemulihan akidah tiga bulan, bertaubat



  • Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini hari ini memerintahkan seorang pemuda yang tular susulan tindakannya menyertai ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak, menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam.
  • “Mahkamah menasihatkan kamu bertaubat kerana ini satu kesalahan berat, membabitkan perbuatan syirik. Taubat yang sebenar-benarnya yang disebut sebagai Taubat Nasuha, yang mana hak kamu dengan Allah sahaja. Taubat itu antara kamu dengan Allah,” kata Hakim Syarie Mohd Faizal Habib.

RAWANG — Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini hari ini memerintahkan seorang pemuda yang tular susulan tindakannya menyertai ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak, menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam.

Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengeluarkan perintah itu terhadap Aliff Daniel Adli, 21, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves, dua tahun lepas.

Mahkamah turut menasihati tertuduh supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan yang benar, kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan berat yang merosakkan tauhid.

“Hukuman mahkamah ini bukan sekadar hukuman kerana melibatkan akidah kamu, tetapi sejauh mana hukuman itu memberi kesan dan pengajaran kepada kamu. Adakah mencukupi untuk mahkamah memerintahkan RM3,000 sebagai bentuk pengajaran dalam kes yang melibatkan akidah dan adakah mencukupi untuk mahkamah menghantar kamu ke penjara dua tahun sebagai satu bentuk pengajaran? Tidak pasti. 

“Mahkamah tidak pasti sejauh mana itu boleh membantu kamu dalam menjadikan kamu manusia yang lebih baik. Namun, mahkamah melihat cadangan (pihak pendakwaan) yang dikemukakan di bawah Seksyen 54 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang mahkamah boleh pertimbangkan sebagai bentuk pengajaran.

“Mahkamah menasihatkan kamu bertaubat kerana ini satu kesalahan berat, membabitkan perbuatan syirik. Taubat yang sebenar-benarnya yang disebut sebagai Taubat Nasuha, yang mana hak kamu dengan Allah sahaja. Taubat itu antara kamu dengan Allah,” kata hakim syarie itu.

Mengikut pertuduhan, Aliff Daniel didakwa melakukan pemujaan salah dengan cara menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua belah tangan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves, antara 9 malam hingga 11 malam pada 24 Jan 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Faizal dalam penghakimannya mengingatkan tertuduh agar tidak mensia-siakan usia mudanya dengan perkara yang merugikan, sebaliknya melakukan perkara lebih bermanfaat demi masa depan diri dan keluarga.

“Kesalahan yang kamu lakukan ini, bukan sekadar kesalahan lazim yang dilakukan dalam kesalahan jenayah, kerana ini melibatkan akidah dan tauhid kamu sebagai seorang Islam, kamu dilahirkan Islam sejak kecil dan bukan seorang mualaf yang baharu mengenali Islam.

“Betul, mungkin kamu cuba meneroka perkara-perkara lain di usia kamu 18 tahun ketika itu, tetapi kamu perlu sedar dan faham batasan-batasannya. Pada usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang kamu perlu lihat daripada perkara tidak sewajarnya dalam konteks kamu sebagai seorang beragama Islam,” katanya.

Terdahulu, Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor Zamniazura Mohd Sarin memohon mahkamah mengguna pakai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) enakmen sama, untuk menggantikan hukuman penjara dan denda kepada perintah pemulihan di pusat pemurnian akidah.

“Seksyen ini membolehkan individu yang disabitkan bersalah kepada perintah pemulihan atau kaunseling di pusat pemulihan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya yang mengendalikan kes bersama dengan Pendakwa Syarie Siti Nor Hashibah Jamhari dan Husaini Roslin.

Sementara itu, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan dia kini menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan serta telah insaf, selain menjelaskan gambar tular di Facebook berkenaan merupakan foto lama iaitu pada 2024 ketika dia berusia 18 tahun.

“Kenapa (gambar-gambar) itu tidak dimuat naik pada 2024 dan kenapa sekarang? Saya sudah tidak buat lagi perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan syirik. Saya sudah berubah dan bertaubat. Oleh itu, saya mohon dibenarkan menjalani bimbingan kelas (agama),” katanya dalam nada sebak.

Bagaimanapun, Zamniazura menegaskan kesalahan tetap satu kesalahan biarpun telah lama berlaku dan hukuman berbentuk pemulihan wajar dikenakan, agar tertuduh tidak mengulanginya.

Sejurus prosiding selesai, Aliff Daniel yang memakai baju putih dan berkopiah dibawa oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pusat pemurnian akidah berkenaan, untuk memulakan perintah pemulihan berkuat kuasa hari ini.

— BERNAMA





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Haniff persoal tindakan kerajaan ‘diam diri’ isu kes rasuah pengerusi Perda



PETALING JAYA:
 Seorang bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mempersoalkan ketiadaan tindakan terhadap pengerusi agensi persekutuan itu, Shaik Hussein Mydin, hampir dua minggu selepas dia didakwa atas tuduhan rasuah.

Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan yang berulang kali berikrar memerangi rasuah, paling tidak perlu ‘merehatkan’ Shaik Hussein daripada tugasnya sepanjang prosiding kesnya berlangsung di mahkamah.

“(Setakat ini) tidak ada satu kenyataan pun daripada pihak kerajaan ataupun pihak yang mewakili Perda mengatakan ada atau tidak tindakan diambil untuk menggantung kepengerusian beliau, ataupun untuk membuang (daripada jawatan),” katanya dalam satu wawancara.

Haniff yang mempengerusikan Perda dari Januari 2019 hingga Februari 2020 mengingatkan bahawa sudah 11 hari berlalu sejak Shaik Hussein didakwa, justeru menggesa Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang mana kementeriannya menyelia agensi itu, agar mengesyorkan Shaik Hussein direhatkan, ‘sekurang-kurangnya buat sementara waktu’.

Tambahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar campur tangan jika Zahid gagal bertindak, bukannya menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada timbalannya.

Haniff berkata, walaupun Shaik Hussein dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, langkah membiarkan seorang pengerusi yang berdepan tuduhan rasuah terus menerajui agensi tersebut boleh menjejaskan keyakinan orang awam serta moral kakitangan.

“Kerusi pengerusi Perda itu sudah tercalar,” katanya menambah, timbalan pengerusi agensi tersebut boleh memangku jawatan itu buat sementara waktu sepanjang kes berjalan.

Pada 15 Okt, Shaik Hussein, 53, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town terhadap 15 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61.

Tuduhan tersebut melibatkan bayaran yang didakwa diterimanya sebagai balasan melantik sebuah syarikat sebagai subkontraktor bagi projek bernilai RM23.27 juta untuk menyiapkan asrama dan kemudahan lain di Perda-Tech, Seberang Perai Selatan.

Haniff turut menggesa agar diwujudkan garis panduan yang jelas bagi mewajibkan kerajaan mempertimbangkan tindakan merehatkan ketua-ketua agensi serta lantikan politik lain jika mereka berdepan tuduhan jenayah berat.

FMT sedang berusaha mendapatkan respons daripada Shaik Hussein dan peguamnya mengenai perkara ini.


Sumber | FMT Malaysia











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pendakwaan tutup kes rasuah Guan Eng, hujahan mula 26 Jan depan



KUALA LUMPUR:
 Selepas lebih lima tahun dibicarakan dan 38 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-38, Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli yang juga pegawai penyiasat kes itu, selesai memberi keterangan.

“Alhamdulillah, pertama kali kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada puan (Hakim Azura) kerana sabar mendengar perbicaraan kes ini lebih lima tahun,” katanya.

“Jadi, saya dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan Datuk Bandar Pulau Pinang Rajendran P Anthony kepada pihak pembelaan sekiranya pembelaan dipanggil.”

Azura kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 13 Jan dan menetapkan 26 serta 27 Jan tahun depan untuk pihak-pihak berhujah secara lisan.

Kes itu mula dibicarakan pada 13 Julai 2021 dan antara yang memberi keterangan termasuk bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Zulkifli, bekas exco Pulau Pinang Lim Hock Seng, bekas setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang Farizan Darus, bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz serta ahli perniagaan G Gnanaraja.

Kes tersebut mendapat perhatian kerana melibatkan beberapa peristiwa penting, antaranya kematian bekas pengarah urusan Kumpulan Ewein Bhd Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5.37 pagi, 5 Okt 2021.

Ewe, 53, merupakan saksi pendakwaan ke-15 yang sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut.

Namun, pada 16 Dis 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan Ewe diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim.

Pada prosiding hari ini, Wan Shaharuddin turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Khairunnisa Hazwani Omar, Farah Yasmin Salleh dan Julaila Jamaludin manakala peguam Ramkarpal Singh, RSN Rayer, Mohd Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah mewakili Lim.

Bagi tuduhan pertama, Lim, 65, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk memperoleh suapan berjumlah RM3.3 juta bagi dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan membantu syarikat milik Zarul, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu dituduh meminta suapan sebanyak 10% keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk melaksanakan projek sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Wan Azri bebas tuduhan dakwa kerajaan ‘pro-Israel, pro-Barat



KLANG:
 Pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap kerajaan.

Hakim Siti Aminah Ghazali dalam keputusan ringkasnya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap Azri mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminannya berjumlah RM7,000 dikembalikan.


Wan Azri didakwa membuat kenyataan bahawa kerajaan ‘pro-Israel dan pro-Barat’ menerusi akaun Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ kira-kira 1 tengah hari pada 8 Nov 2023.

Wan Azri diwakili peguam Rafique Rashid Ali, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar hadir bagi pihak pendakwaan.

Dia pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu, namun Mahkamah Tinggi mengarahkannya membela diri tahun ini susulan rayuan pihak pendakwaan.


Sumber FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Permohonan pengampunan Najib: Pandangan Peguam Negara mesti dipertimbang



PETALING JAYA:
 Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) mesti mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara (AG) dalam mempertimbangkan permohonan pengampunan kedua bekas Perdana Menteri Najib Razak, kata mantan Peguam Negara Abu Talib Othman.

Abu Talib berkata, Yang di-Pertuan Agong yang mengetuai lembaga berkenaan, tidak boleh melaksanakan kuasa pengampunan “sesuka hatinya”.

“Mengikut Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu,” katanya kepada FMT.

Abu Talib yang memegang jawatan Peguam Negara dari 1980 hingga 1993 berkata, perkataan “hendaklah” dalam Perkara 42(9) bererti LPWP wajib mempertimbangkan pendapat AG.

Katanya, setiap ahli Lembaga akan menerima pendapat bertulis itu sebelum mesyuarat berkenaan.

“Pada mesyuarat itu, ahli Lembaga lain juga boleh memberi pandangan mereka,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh mengesahkan LPWP akan bermesyuarat pada pagi esok.

Ini susulan sumber memberitahu FMT bahawa permohonan pengampunan kedua Najib dijangka menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat LPWP minggu ini. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada mesyuarat itu akan membuat keputusan atau hanya akan membincangkan permohonan itu.

Satu lagi sumber berkata Najib mungkin dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, walaupun masih tidak jelas sama ada ia akan dipertimbangkan dalam mesyuarat tersebut.

Agong mempengerusikan LPWP manakala ahli lain termasuk Yeoh dalam kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan, Peguam Negara dan tiga yang lain.

Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja, atau Yang di-Pertua Negeri untuk memberi ampun, menunda, atau meringankan hukuman dalam keadaan tertentu. Perkara 42(9) pula menyatakan Lembaga terbabit mesti mempertimbangkan sebarang pendapat bertulis oleh Peguam Negara sebelum memberikan nasihat dalam sebarang perkara.

Pada 28 Julai 2020, Najib, 72, disabitkan kesalahan di Mahkamah Tinggi kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya di Penjara Kajang sejak Ogos 2022.

Pada Februari 2024, LPWP memutuskan pengurangan hukuman penjara Najib Razak dalam kes SRC kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo