NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AGC akan fail semakan keputusan bebas Da’i Syed



PETALING JAYA:
 Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan semalam yang membebaskan Da’i Syed atau nama Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan merogol.

Dalam kenyataan, AGC berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti alasan penghakiman Mahkamah Rayuan.

“AGC mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Nov 2026 menerusi keputusan majoriti yang telah melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Setelah meneliti alasan-alasan penghakiman oleh panel hakim Mahkamah Rayuan, pendakwa raya memutuskan bahawa satu permohonan semakan akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan permohonan itu akan berlandaskan prinsip perundangan dan kriteria serta ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan seperti yang digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd.

“Sehubungan dengan itu, hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan tersebut bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.”

Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya mencapai keputusan majoriti 2-1 itu dibuat Hakim Azman Abdullah, yang mengetuai panel tiga hakim dengan Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal.

Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid pula menentang keputusan itu.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri.


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo