NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label NASIONAL. Show all posts
Showing posts with label NASIONAL. Show all posts

Najib Tidak Dibenarkan Terima Tetamu Tanpa Kebenaran Bertulis – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR, 12 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak dibenarkan menerima sebarang tetamu sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Najib hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga yang ditetapkan, iaitu isteri, anak-anak, menantu dan cucu.

Beliau menjelaskan bahawa sekatan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang terkandung dalam Perintah Pengampunan Bersyarat Lembaga Pengampunan, selain arahan serta tatacara kawalan yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Menurutnya, Najib juga tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain selain ahli keluarga berkenaan tanpa kebenaran bertulis.

Selain kawalan terhadap pergaulan dan lawatan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut tertakluk kepada larangan menghadiri majlis keramaian serta terbabit dalam sebarang aktiviti politik.

Saifuddin berkata, syarat tahanan rumah itu merangkumi empat aspek utama, iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan serta lawatan, sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi, serta kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.

Najib juga hanya dibenarkan menggunakan peranti telekomunikasi yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi tujuan pemantauan dan pengesahan keberadaannya di kediaman.

Dalam pada itu, beliau tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau ulasan melalui media mahupun mendedahkan diri dalam liputan media dan platform media sosial.

Saifuddin menegaskan bahawa sebarang pelanggaran terhadap syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan Najib dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan pihak berkuasa.

Najib kini menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, sehingga 23 Ogos 2028. - 1Media.my

Takiyuddin Persoal Kelewatan AGC Selesaikan Kekeliruan Perintah Najib

KUALA LUMPUR, 12 November – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengambil masa sehingga empat hari untuk menyelesaikan kekeliruan berkaitan perintah pelepasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persoalan itu dibangkitkan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu, khususnya mengenai kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib selepas beliau menjelaskan pembayaran denda RM50 juta pada 6 November lalu.

Takiyuddin turut membangkitkan isu ketidakselarasan tindakan antara jabatan kerajaan serta keperluan menambah baik prosedur bagi mengelakkan kekeliruan sama berulang pada masa hadapan.

Menjawab persoalan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa Jabatan Penjara perlu mendapatkan nasihat AGC kerana agensi berkenaan bertanggungjawab melaksanakan arahan, bukannya mentafsir undang-undang.

Menurut Saifuddin, kekeliruan berpunca daripada penggunaan istilah Order of Discharge dalam dokumen Mahkamah Tinggi yang boleh ditafsirkan sebagai pembebasan serta-merta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa Jabatan Penjara terhadap Najib.

Beliau menjelaskan bahawa istilah discharge berbeza daripada release kerana kedua-duanya membawa implikasi undang-undang yang berlainan, khususnya berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib atau parol.

Saifuddin turut mempertahankan tindakan AGC mendapatkan penjelasan undang-undang sebelum pelaksanaan perintah diteruskan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi kemudiannya membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu yang lebih jelas bagi membolehkan baki hukuman Najib dalam kes SRC International dijalani melalui tahanan rumah.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah berniat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau mengetepikan hak yang diberikan kepada Najib melalui pengampunan bersyarat.

Sebaliknya, tindakan kementerian adalah bagi memastikan setiap keputusan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan mempunyai asas perundangan yang jelas.

Saifuddin menegaskan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu bergerak seiring dalam sistem demokrasi beraja berperlembagaan.

Isu kelewatan pelaksanaan tahanan rumah Najib terus menjadi perhatian selepas beliau akhirnya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada malam 10 November lalu untuk menjalani baki hukuman kes SRC International sehingga 23 Ogos 2028. - 1Media.my

Takiyuddin Persoal Kelewatan AGC Selesaikan Kekeliruan Perintah Najib

KUALA LUMPUR, 12 November – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengambil masa sehingga empat hari untuk menyelesaikan kekeliruan berkaitan perintah pelepasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persoalan itu dibangkitkan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu, khususnya mengenai kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib selepas beliau menjelaskan pembayaran denda RM50 juta pada 6 November lalu.

Takiyuddin turut membangkitkan isu ketidakselarasan tindakan antara jabatan kerajaan serta keperluan menambah baik prosedur bagi mengelakkan kekeliruan sama berulang pada masa hadapan.

Menjawab persoalan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa Jabatan Penjara perlu mendapatkan nasihat AGC kerana agensi berkenaan bertanggungjawab melaksanakan arahan, bukannya mentafsir undang-undang.

Menurut Saifuddin, kekeliruan berpunca daripada penggunaan istilah Order of Discharge dalam dokumen Mahkamah Tinggi yang boleh ditafsirkan sebagai pembebasan serta-merta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa Jabatan Penjara terhadap Najib.

Beliau menjelaskan bahawa istilah discharge berbeza daripada release kerana kedua-duanya membawa implikasi undang-undang yang berlainan, khususnya berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib atau parol.

Saifuddin turut mempertahankan tindakan AGC mendapatkan penjelasan undang-undang sebelum pelaksanaan perintah diteruskan.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi kemudiannya membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu yang lebih jelas bagi membolehkan baki hukuman Najib dalam kes SRC International dijalani melalui tahanan rumah.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah berniat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau mengetepikan hak yang diberikan kepada Najib melalui pengampunan bersyarat.

Sebaliknya, tindakan kementerian adalah bagi memastikan setiap keputusan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan mempunyai asas perundangan yang jelas.

Saifuddin menegaskan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu bergerak seiring dalam sistem demokrasi beraja berperlembagaan.

Isu kelewatan pelaksanaan tahanan rumah Najib terus menjadi perhatian selepas beliau akhirnya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada malam 10 November lalu untuk menjalani baki hukuman kes SRC International sehingga 23 Ogos 2028. - 1Media.my

Perkukuh suara JAKIM dalam kelulusan konsert




KUALA LUMPUR:
 Kerajaan Madani digesa memperkukuh peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam proses kelulusan konsert artis luar negara supaya pandangan agama diberikan pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat, Nushi Mahfodz berkata, kontroversi konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetus pelbagai reaksi.

Menurut beliau, isu itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana pandangan JAKIM mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL versi 6.0, JAKIM hanya merupakan salah satu daripada 13 ahli tetap jawatankuasa berkenaan, manakala kehadirannya tidak diwajibkan bagi mencukupkan kuorum mesyuarat.

Katanya, keputusan dibuat berdasarkan majoriti, sekali gus membolehkan sesuatu persembahan diluluskan walaupun mendapat bantahan JAKIM atas alasan sensitiviti agama.

“Ini bermakna, walaupun JAKIM membantah sesuatu persembahan atas alasan sensitiviti agama, kelulusan masih boleh diberikan.

“Pandangan agama berisiko menjadi sekadar nasihat yang tidak menentukan keputusan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Cadang panel pakar agama nilai konsert

Sehubungan itu, Nushi mencadangkan supaya Kerajaan Madani mewajibkan setiap permohonan konsert langsung mendapatkan penilaian daripada panel pakar khusus dalam bidang media dan kandungan Islam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih menjelaskan, penilaian itu perlu diselaraskan oleh JAKIM dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), serta direkodkan secara rasmi sebelum keputusan kelulusan dimuktamadkan.

Menurutnya, sekiranya terdapat bantahan berasas daripada panel pakar agama, permohonan berkenaan wajar melalui proses semakan lanjut sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Katanya, kerajaan juga perlu memastikan penilaian kandungan persembahan mengambil kira aspek keselamatan, kesesuaian umur dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Mengulas kontroversi konsert The Weeknd, Nushi menyambut baik tindakan JAKIM dan PUSPAL yang menyemak isu berkaitan unsur pemujaan dalam persembahan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan isu lebih mendasar yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana pandangan JAKIM sebenarnya mempengaruhi keputusan kelulusan sesuatu persembahan.

Menurut Nushi, konsep pentas konsert The Weeknd yang menggambarkan sebuah tamadun rekaan memuja mesin sebagai tuhan telah dijelaskan secara terbuka oleh pereka pentasnya sebelum konsert itu berlangsung di Malaysia.

Namun, katanya, masih belum diketahui sama ada JAKIM telah mengemukakan bantahan terhadap konsep persembahan tersebut sebelum kelulusan diberikan.

“Justeru, wajar dijelaskan apakah penilaian yang dibuat dan bagaimana pandangan agama diambil kira sebelum kelulusan diberikan,” tegasnya.

Pengaruh hiburan terhadap masyarakat

Dalam pada itu, Nushi menegaskan kebimbangan terhadap pengaruh kandungan hiburan bukan hanya melibatkan umat Islam, sebaliknya merangkumi kesejahteraan seluruh masyarakat tanpa mengira agama.

Beliau merujuk kajian diterbitkan dalam jurnal ‘Pediatrics’ pada 2006 melibatkan 1,461 remaja yang menemukan hubungan antara pendedahan kepada lirik tidak bermoral dan merendahkan maruah dengan perkembangan tingkah laku seksual lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, kajian berkenaan tidak membuktikan kesan khusus konsert The Weeknd, sebaliknya memberikan peringatan bahawa pengaruh budaya terhadap pembentukan generasi tidak boleh dipandang ringan.

Mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa kritikan terhadap penganjuran konsert antarabangsa boleh menjejaskan imej Malaysia dan perkembangan industri kreatif, beliau menyatakan pandangan tersebut perlu dihormati.

Namun, katanya, usaha mempertahankan nilai agama dan kesejahteraan masyarakat secara berhemah tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan mencemarkan imej negara.

Beliau yakin Malaysia mampu membangunkan industri hiburan ~yang~ maju tanpa mengabaikan prinsip, jati diri dan peraturan yang jelas.

Nushi turut mengingatkan bahawa dalam Islam, pemerintah memikul amanah menjaga kemaslahatan rakyat yang menuntut kebijaksanaan membuat keputusan sebelum berlakunya kemudaratan.

“Kerajaan Madani perlu memastikan JAKIM mempunyai suara yang lebih signifikan dalam JK-PUSPAL.

“Kepakaran agama hendaklah diberikan tempat yang sewajarnya ketika keputusan dibuat, bukan hanya dirujuk apabila kontroversi sudah tercetus,” tegasnya.

JAKIM teliti isu unsur pemujaan

Terdahulu, konsert jelajah ‘After Hours Til Dawn Tour’ oleh penyanyi Kanada, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetuskan kontroversi susulan gimik patung robot wanita gergasi berwarna emas di tengah pentas.

Patung setinggi 12 meter rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama itu mencetuskan kontroversi apabila konsert turut menampilkan penari berjubah merah dengan hud yang disifatkan sesetengah pihak menyerupai ritual pemujaan.

Beberapa elemen visual dan persembahan pentas berkenaan menjadi perdebatan di media sosial, khususnya mengenai sensitiviti agama serta kesesuaian kandungan persembahan artis antarabangsa di negara ini.

Pada 9 November, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan Bahagian Penyelidikan JAKIM kini meneliti kesahihan isu serta pematuhan syarat persembahan bersama Urus Setia Garis Panduan JK-PUSPAL.

Beliau menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT dan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak serta sensitiviti agama di Malaysia.

Menurutnya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta yang sahih akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran bagi memastikan persembahan artis tempatan termasuk dari luar negara menghormati sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil turut bimbang dengan elemen ritual dalam persembahan tersebut, lalu mengingatkan umat Islam supaya menilai hiburan berdasarkan prinsip akidah, syariah dan akhlak. – HARAKAHDAILY 11/11/2026







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kerajaan Madani jangan berpeluk tubuh isu hiburan melampau


KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa tidak berpeluk tubuh terhadap penganjuran konsert artis luar negara yang semakin melampaui batas, termasuk persembahan dikhuatiri mengandungi unsur pemujaan sehingga boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya melahirkan kekesalan terhadap penganjuran konsert yang memaparkan patung emas bertubuh wanita serta penari berjubah merah dengan pakaian menutup seluruh tubuh.

Menurut beliau, paparan tersebut seolah-olah menggambarkan unsur pemujaan terhadap entiti tertentu dan menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruhnya kepada penonton, khususnya umat Islam.

“Penganjuran konsert melampaui batas wajar diperhati dengan serius, ditambah lagi paparan entiti yang menggambarkan pemujaan sangatlah membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, semalam.

Beliau turut mempersoalkan kepekaan pihak berkuasa terhadap elemen persembahan sedemikian yang dikhuatiri boleh menggugat pegangan agama, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Apakah kita tidak lagi sensitif dengan elemen-elemen yang boleh meretakkan keutuhan akidah anak-anak muda serta pengunjung beragama Islam?” soalnya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kesal kerana Kerajaan Madani, khususnya Kementerian Komunikasi dan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), yang disifatkan kurang memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut.

Katanya, pentas persembahan artis luar negara sering menjadi ruang untuk menyampaikan mesej yang bertentangan dengan nilai budaya dan adat masyarakat tempatan.

Tambah beliau, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan terhadap penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini.

Dalam pada itu, DUPP turut menyatakan kebimbangan terhadap penganjuran konsert artis luar negara yang disifatkan semakin keterlaluan tanpa mengambil kira batas hiburan sepatutnya. 

Ahmad menegaskan, pihaknya tidak menolak hak masyarakat untuk berhibur, namun setiap bentuk hiburan perlu mempunyai batas dan sempadan yang jelas.

“Asasnya bukan soal menghalang kepada seseorang untuk berhibur, tetapi setiap perkara ada batas sempadan yang harus dijadikan pedoman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa para mufti dan asatizah supaya tampil menyuarakan pendirian terhadap perkara yang disifatkannya sebagai kemungkaran terbuka.

“Jangan sampai kita hanya nampak buruknya orang yang memperjuangkan agama dalam politik, tetapi menutup mata langsung terhadap pihak terang-terangan merosakkan agama dengan tindak-tanduk mereka,” tegasnya.

Terdahulu, konsert jelajah ‘After Hours Til Dawn Tour’ oleh penyanyi Kanada, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetuskan kontroversi susulan gimik patung robot wanita gergasi berwarna emas di tengah pentas.

Patung setinggi 12 meter rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama itu mencetuskan kontroversi apabila konsert turut menampilkan penari berjubah merah dengan hud yang disifatkan sesetengah pihak menyerupai ritual pemujaan.

Susulan kontroversi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan pada 9 November bahawa Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang berhubung dengan urus setia PUSPAL bagi meneliti isu serta pematuhan syarat persembahan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan berlandaskan undang-undang dan fakta yang sahih akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran terhadap syarat ditetapkan.

Setakat ini, kebimbangan mengenai kewujudan unsur pemujaan dalam persembahan tersebut masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 11/11/2026









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Taiwan tangguh rundingan pelaburan susulan kenyataan Anwar



  • Taiwan mengesahkan penangguhan sementara rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.
  • Menurut laporan United Daily News, jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei berkata, keputusan itu dibuat bagi mengambil kira isu kedaulatan, keselamatan ekonomi serta melindungi kepentingan pelabur Taiwan.

KUALA LUMPUR — Taiwan mengesahkan penangguhan sementara rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.

Menurut laporan United Daily News, jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei berkata, keputusan itu dibuat bagi mengambil kira isu kedaulatan, keselamatan ekonomi serta melindungi kepentingan pelabur Taiwan.

Beliau berkata, kementerian berkenaan memandang serius kenyataan Anwar yang disifatkan sebagai ‘tidak mesra’ kerana dikhuatiri menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.

Bagaimanapun, Taiwan masih mengekalkan hubungan dengan Kuala Lumpur dengan harapan keadaan sesuai dapat diwujudkan bagi menyambung semula rundingan berkenaan.

Terdahulu, Nikkei Asia melaporkan rundingan bagi memperluas kerjasama perdagangan dua hala yang dijadualkan berlangsung pada akhir Oktober ditangguhkan susulan kenyataan Anwar.

Dalam wawancara bersama Al Jazeera, Anwar menyatakan sokongan terhadap dasar Satu China dan berpandangan Taiwan merupakan sebahagian daripada China, sambil menegaskan faktor sejarah perlu diambil kira.

Kenyataan itu mendapat bantahan Kementerian Luar Taiwan yang menuduh Anwar membuat kenyataan tidak benar serta memberikan justifikasi terhadap pendirian Beijing berhubung penyatuan semula.

Sementara itu, Nikkei Asia melaporkan ketegangan diplomatik tersebut berpotensi menjejaskan pelaburan Taiwan di Malaysia, khususnya dalam sektor semikonduktor.

Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Taiwan di Malaysia, Lin Kai-min berkata, operasi syarikat Taiwan sedia ada dijangka tidak terjejas dalam masa terdekat berikutan komitmen modal yang besar.

Namun, beliau berkata, pelabur semakin berhati-hati dalam mempertimbangkan projek baharu dan rancangan pengembangan perniagaan.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng pula memberi amaran bahawa pelaburan baharu berpotensi beralih ke Vietnam atau Thailand sekiranya persepsi terhadap pendirian berkecuali Malaysia berubah.-The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Produk Gardenia selamat dimakan, Ujian makmal sahkan patuh piawaian keselamatan



  • “Berdasarkan ujian yang dijalankan oleh makmal bebas yang bertauliah, keputusan ujian mengesahkan bahawa produk-produk berkenaan mematuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan serta keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan yang berkaitan.
  • “Pihak KKM berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan   keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh pihak kami. Kami ingin memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kualiti produk serta kesejahteraan pengguna     sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.” – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd

KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd tampil memberikan penjelasan terbaharu berhubung kebimbangan pengguna terhadap beberapa produknya apabila memaklumkan keputusan ujian makmal bebas mengesahkan produk berkenaan mematuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan ujian yang dijalankan oleh makmal bebas bertauliah turut mengesahkan produk berkenaan memenuhi keperluan di bawah Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan berkaitan.

Perkembangan itu menyusul selepas pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan, mengadakan pemeriksaan di fasiliti pengeluaran Gardenia pada 10 November lalu.

Menurut syarikat itu, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang pemeriksaan berkenaan dan KKM berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas tular dakwaan seorang pengguna di media sosial bahawa dua anak lelakinya mengalami muntah selepas makan produk Gardenia.

Dakwaan itu turut mencetuskan kebimbangan pengguna apabila beberapa individu lain dilaporkan berkongsi pengalaman yang didakwa serupa di media sosial.

Susulan aduan berkenaan, KKM dilaporkan menjalankan siasatan awal termasuk mendapatkan sampel produk dan bungkusan daripada pengadu untuk tujuan analisis makmal.

Bagaimanapun, maklumat mengenai nombor kelompok pengeluaran (batch) dan tarikh luput yang tidak lengkap dilaporkan menjadi antara kekangan dalam proses pengesanan produk yang dikaitkan dengan aduan tersebut.

Dalam pada itu, Gardenia menegaskan keselamatan makanan, kualiti produk serta kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat.

Syarikat itu turut menghargai kesabaran, pemahaman dan kepercayaan berterusan pengguna, rakan niaga serta pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Gardenia tidak memperincikan produk dan kelompok pengeluaran yang diuji, parameter ujian makmal mahupun sama ada sampel berkenaan melibatkan produk daripada kelompok yang dikaitkan dengan aduan pengguna.

Keputusan ujian makmal bebas itu juga perlu dibezakan daripada hasil siasatan rasmi KKM berhubung aduan yang dibangkitkan. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Hanya Selangor, Kedah Pinda Umur Minimum Perkahwinan Islam Kepada 18 Tahun – Nancy



  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan menerusi kementeriannya akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.
  • Beliau berkata usaha itu memerlukan libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri, agensi berkaitan dan pemegang taruh memandangkan hal ehwal undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.
  • “Kita cuba nak selaraskan seluruh negara, tetapi oleh kerana hal perkahwinan ini di bawah kuasa kerajaan negeri, kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua negeri akan bersama dengan Persekutuan dan bersetuju cara yang kita nak menyelesaikannya (perkahwinan bawah umur).

KUALA LUMPUR — Hanya dua negeri iaitu Selangor dan Kedah, telah meminda peruntukan undang-undang berkaitan umur minimum perkahwinan orang Islam kepada 18 tahun, manakala negeri lain masih tertakluk kepada pertimbangan dan proses perundangan masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan menerusi kementeriannya akan terus berusaha menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di seluruh negara secara berperingkat melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata usaha itu memerlukan libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri, agensi berkaitan dan pemegang taruh memandangkan hal ehwal undang-undang keluarga Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Kita cuba nak selaraskan seluruh negara, tetapi oleh kerana hal perkahwinan ini di bawah kuasa kerajaan negeri, kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan semua negeri akan bersama dengan Persekutuan dan bersetuju cara yang kita nak menyelesaikannya (perkahwinan bawah umur).

“KPWKM mengetengahkan maklumat mengenai risiko perkahwinan bawah umur terhadap kesinambungan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan peluang masa depan kanak-kanak dalam sesi libat urus dengan kerajaan negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai pencapaian Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025 serta usaha kerajaan menyeragamkan had umur minimum perkahwinan.

Nancy berkata sebanyak 1,361 kes perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun direkodkan pada 2024 berbanding 923 kes pada 2023 dan 1,467 kes pada 2019, merangkumi perkahwinan yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil, syariah dan adat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah kes yang direkodkan pada 2024 antara lain dipengaruhi ketersediaan data yang lebih teratur di Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata dua kajian mengenai keberkesanan pelaksanaan pelan strategik kebangsaan serta faktor risiko dan strategi pencegahan perkahwinan bawah umur dijangka selesai pada awal 2027.

Katanya dapatan kedua-dua kajian itu akan digunakan untuk mengenal pasti jurang pelaksanaan dan menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus serta berasaskan bukti. — BERNAMA






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Najib diperintah jalani baki hukuman penjara kes SRC di rumah



  • Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.
  • Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.
  • Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.

“Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara. –BERNAMA







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

“Bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan” – Ahmad Zahid



BANGI, 30 JAMADILAWAL — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.

“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet, walaupun ada seorang yang mungkin telah komited untuk meletakkan jawatan ketika sampainya Datuk Seri Najib ke rumah beliau bagi menjalani baki hukuman.

“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet. Sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan, iaitu kita berikan mandat semula kepada rakyat. Dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu,” katanya selepas ditemui pada program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi, di Tangga Batu, hari ini.

Mengikut laporan Astro Awani, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet.

Ia susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

Sementara itu, pada 6 November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.

Pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. 


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Anwar: Masih Terlalu Awal Rombak Kabinet, Susulan Anthony Loke Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan rombakan Kabinet meskipun Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan perubahan barisan Jemaah Menteri susulan perkembangan terbaharu itu serta spekulasi mengenai kedudukan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Awal lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Mengulas mengenai tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara yang bakal berakhir pada 11 Disember ini, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau belum menerima sebarang perkembangan berkaitan perkara tersebut.

“Yakah? Beliau belum beritahu saya,” katanya.

Peletakan jawatan Anthony Loke diumumkan beberapa jam sebelum itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah.

Loke dalam kenyataannya berkata keputusan tersebut selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu dan dibuat atas prinsip yang telah dijelaskan sebelum ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan dan mandat yang diberikan untuk menganggotai Jemaah Menteri sejak Disember 2022, selain mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Pengangkutan.

Loke juga memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar.

Dalam perkembangan berkaitan, kedudukan Amir Hamzah turut menjadi perhatian memandangkan tempoh tiga tahun pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara dijadualkan berakhir pada 11 Disember 2026.

Beliau dilantik sebagai senator pada 12 Disember 2023 sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II.

Sekiranya mahu dikekalkan dalam Kabinet, pelantikan semula sebagai Ahli Dewan Negara perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan beliau terus memegang jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat berbanding melakukan rombakan Kabinet.

Bagaimanapun, kenyataan Anwar hari ini menunjukkan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai penyusunan semula barisan Jemaah Menteri, termasuk pengisian portfolio Menteri Pengangkutan yang kini dikosongkan susulan peletakan jawatan Anthony Loke. - 1Media.my

Anthony Loke Umum Letak Jawatan Menteri Susulan Keputusan Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.

Keputusan tersebut sekali gus merealisasikan pendirian yang telah dinyatakan Loke sebelum ini bahawa beliau akan melepaskan jawatan sekiranya Najib dibenarkan pulang ke kediamannya untuk menjalani hukuman tahanan rumah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Loke menegaskan bahawa peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan prinsip dan pendirian yang telah dijelaskannya sebelum ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan untuk menerajui Kementerian Pengangkutan sejak Disember 2022.

Loke turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga kementerian atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar, selain memastikan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah perintah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.

Selepas tempoh tersebut, Najib dijadualkan kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peletakan jawatan Loke ini dilihat sebagai perkembangan politik penting dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya melibatkan pendirian DAP berhubung keputusan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.- 1Media.my

Mahkamah Muktamadkan Tahanan Rumah Najib Hingga 23 Ogos 2028

KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan yang dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan kepada enam tahun di bawah Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.

Mahkamah turut menetapkan tempoh tahanan rumah itu berakhir pada 23 Ogos 2028. Najib kemudiannya perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman penjara berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam prosiding tersebut, mahkamah mengetepikan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang memperincikan pelaksanaan baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.

Perkembangan itu menyusul selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan semakan bagi memastikan perintah pelepasan terdahulu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara bagi membolehkan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran perintah mahkamah susulan pembayaran penuh denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri itu.

Pada 7 November lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan perlu dihormati dan dilaksanakan sebagaimana yang telah diperkenankan, selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Dengan keputusan terbaharu ini, persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman Najib bagi kes SRC International akhirnya mendapat penyelesaian melalui perintah baharu Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, perintah tahanan rumah tersebut hanya melibatkan hukuman bagi kes SRC International dan tidak merangkumi hukuman berasingan yang dikenakan terhadap Najib dalam kes 1MDB. - 1Media.my

RM388,814 diperuntuk kepada kuil, NGO masyarakat India di Parlimen Kulai sejak 2022



  • Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemberian peruntukan itu merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti masyarakat India di kawasannya.
  • Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata peruntukan itu termasuk sumbangan wang tunai dan bakul makanan berjumlah RM100,000 kepada masyarakat India B40 bersempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.
  • “Seiring dengan perayaan Deepavali, peruntukan RM10,000 turut diberikan kepada Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, Bandar Putra bagi tujuan pembelian sistem siar raya,” katanya dalam kenyataan.

KULAI — Sebanyak RM388,814 diperuntukkan kepada kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di kawasan Parlimen Kulai sejak 2022 hingga kini.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemberian peruntukan itu merupakan komitmen berterusan dalam menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti masyarakat India di kawasannya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata peruntukan itu termasuk sumbangan wang tunai dan bakul makanan berjumlah RM100,000 kepada masyarakat India B40 bersempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.

“Seiring dengan perayaan Deepavali, peruntukan RM10,000 turut diberikan kepada Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, Bandar Putra bagi tujuan pembelian sistem siar raya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM546,687 peruntukan turut disalurkan kepada empat buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kulai sejak 2022.

Teo berkata peruntukan itu diberikan kepada SJKT Ladang Kulai Besar, SJKT Ladang Kulai Oil Palm, SJKT Ladang Kelan dan SJKT Ladang Sedenak untuk pembangunan serta penambahbaikan kemudahan sekolah.

Beliau berkata Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 terus memberikan komitmen dalam memperkasakan kebajikan masyarakat India.

Menurut beliau, dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut ditingkatkan kepada 150 Juta selain peruntukan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan India melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sementara RM50 juta disediakan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan SJKT daif serta peruntukan RM80 juta bagi tujuan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam Berdaftar,” katanya.

— BERNAMA






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Roti Gardenia ‘penyelamat’ orang kapal, Jadi bekalan hingga sebulan di laut



  • Ketika jenama roti Gardenia menjadi perbualan di media sosial susulan dakwaan produknya menyebabkan cirit-birit, seorang individu berkongsi pengalaman mengenai kepentingan roti berkenaan sebagai bekalan makanan kru kapal sepanjang pelayaran.
  •  “Sejak belayar antarabangsa hinggalah ke pelayaran pesisir pantai memang Roti Gardenia ni jadi rutin setiap kali beli bekalan makanan,” katanya.
  • Jelasnya, roti yang dibekukan sehingga keras akan dinyahbekukan semula oleh petugas dapur kapal sebelum dihidangkan kepada kru.

KUALA LUMPUR — Ketika jenama roti Gardenia menjadi perbualan di media sosial susulan dakwaan produknya menyebabkan cirit-birit, seorang individu berkongsi pengalaman mengenai kepentingan roti berkenaan sebagai bekalan makanan kru kapal sepanjang pelayaran.

Menerusi hantaran di Facebook Quality Dominic, individu itu menyifatkan Gardenia sebagai ‘rakan karib’ orang kapal kerana sering menjadi pilihan ketika mendapatkan bekalan makanan sebelum belayar.

Menurutnya, roti berkenaan lazimnya disimpan di dalam bilik sejuk beku atau cold room bagi membolehkan ia digunakan sepanjang tempoh pelayaran.

“Sejak belayar antarabangsa hinggalah ke pelayaran pesisir pantai memang Roti Gardenia ni jadi rutin setiap kali beli bekalan makanan,” katanya.

Jelasnya, roti yang dibekukan sehingga keras akan dinyahbekukan semula oleh petugas dapur kapal sebelum dihidangkan kepada kru.

Beliau turut mendakwa tarikh luput bukan perkara yang sering menjadi keutamaan dalam pengalamannya, memandangkan sesetengah kapal berada di laut sehingga sebulan.

Menurutnya, bekalan roti biasanya diperoleh apabila kapal singgah di pelabuhan yang membolehkan bekalan makanan halal dibeli, termasuk di Malaysia dan Singapura.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mengimbas pengalaman membantu membekalkan roti Gardenia kepada kapal pesisir di Kemaman ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

Katanya, bantuan itu dilakukan ketika kedai dan pasar raya ditutup sehingga menyebabkan kru kapal berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

“Walaupun bukan produk yang aku jual, tapi orang kapal masa tu putus bekalan makanan sebab PKP. Jadi kita bantulah setakat mana mampu,” katanya.

Perkongsian itu menggambarkan hubungan rapat sebahagian kru kapal dengan jenama Gardenia yang menurut penulis hantaran sudah sebati dengan rutin kehidupan mereka di laut.-The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo