KUALA LUMPUR, 12 November – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengambil masa sehingga empat hari untuk menyelesaikan kekeliruan berkaitan perintah pelepasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Persoalan itu dibangkitkan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu, khususnya mengenai kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib selepas beliau menjelaskan pembayaran denda RM50 juta pada 6 November lalu.
Takiyuddin turut membangkitkan isu ketidakselarasan tindakan antara jabatan kerajaan serta keperluan menambah baik prosedur bagi mengelakkan kekeliruan sama berulang pada masa hadapan.
Menjawab persoalan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa Jabatan Penjara perlu mendapatkan nasihat AGC kerana agensi berkenaan bertanggungjawab melaksanakan arahan, bukannya mentafsir undang-undang.
Menurut Saifuddin, kekeliruan berpunca daripada penggunaan istilah Order of Discharge dalam dokumen Mahkamah Tinggi yang boleh ditafsirkan sebagai pembebasan serta-merta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa Jabatan Penjara terhadap Najib.
Beliau menjelaskan bahawa istilah discharge berbeza daripada release kerana kedua-duanya membawa implikasi undang-undang yang berlainan, khususnya berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib atau parol.
Saifuddin turut mempertahankan tindakan AGC mendapatkan penjelasan undang-undang sebelum pelaksanaan perintah diteruskan.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi kemudiannya membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu yang lebih jelas bagi membolehkan baki hukuman Najib dalam kes SRC International dijalani melalui tahanan rumah.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah berniat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau mengetepikan hak yang diberikan kepada Najib melalui pengampunan bersyarat.
Sebaliknya, tindakan kementerian adalah bagi memastikan setiap keputusan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang dan mempunyai asas perundangan yang jelas.
Saifuddin menegaskan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu bergerak seiring dalam sistem demokrasi beraja berperlembagaan.
Isu kelewatan pelaksanaan tahanan rumah Najib terus menjadi perhatian selepas beliau akhirnya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta pada malam 10 November lalu untuk menjalani baki hukuman kes SRC International sehingga 23 Ogos 2028. - 1Media.my

No comments
Post a Comment