NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label SURAT PEMBACA. Show all posts
Showing posts with label SURAT PEMBACA. Show all posts

Ibu Bapa Punca Kesihatan Mental Kanak-Kanak?


Masalah Kesihatan mental sering berlaku dalam kalangan peringkat yang lebih dewasa. Namun adakah masyarakat sedar bahawa masalah kesihatan mental  juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak.Hal ini dikatakan kerana kesihatan mental sering diabaikan dan dipandang sinis oleh masyarakat kita.Itu kerana kesihatan mental dianggap sebagai salah satu penyakit gila (WHO,2014).Dengan kata lain,kesihatan mental adalah asas kesejahteraan individu dan keupayaan  masyarakat untuk berfungsi dengan berkesan.Kajian terdahulu dan terkini oleh penyelidik mendapati masalah kesihatan mental semakin meningkat merentasi peringkat umur dan orang dewasa yang berbeza persekitaran dan kesihatan yang tidak dijaga .Realitinya,kesihatan mental tidak mengenal usia.Jika masalah ini tidak disedari pada peringkat awal kanak-kanak,hal ini boleh mendatangkan banyak kesan pada masa hadapan .

      Kurang interaksi dalam keluarga menjadi salah satu punca tekanan ke atas kanak-kanak Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab dan tugas hakiki mereka untuk menyara keluarga.Namun begitu,sikap ibu bapa boleh mengakibatkan simptom kemurungan atau tekanan yang teruk ke atas diri kanak-kanak itu.Sememangnya menjadi cabaran kepada ibu bapa untuk  membahagikan masa antara keperluan kerja dan anak-anak.Faktor kekangan masa telah menyebabkan ibu bapa semakin kurang peka akan peranan mereka dan lebih kepada membiarkan anak mereka belajar di rumah tanpa bimbingan dan pemantauan.Lama-kelamaan anak akan merasakan kesunyian,tersisih dan diabaikan oleh ibu bapa sendiri.Oleh yang demikian,keupayaan ibu bapa dalam menguruskan emosi dengan baik sangat penting bagi membentuk persekitaran dan suasana rumah yang seterusnya menjurus kepada pembentukan tingkah laku dan keperibadian anak-anak.

     Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh(2019) berkata sikap ibu bapa ketika ini lebih mementingkan gajet harus dibendung dalam mewujudkan suasana kekeluargaan yang lebih harmoni dan selamat.Apa yang kita hendak diuar-uarkan pada masyarakat adalah beri perhatian kepada simptom kemurungan dimana anak tidak mahu bercakap, anak selalu mengasingkan diri di dalam bilik dan bila makan masing-masing bermain telefon sahaja.Ini adalah simptom awal dimana kekurangan pertalian keluarga, persaudaraan juga, apa yang kita lihat sekarang adalah orang ramai sudah tidak meluangkan masa seperti dulu untuk bersama keluarga. Sekarang ini semua ada “break down”keluarga dan masing-masing ada gajet menyebabkan kurang interaksi secara realiti.

      Realiti kisah benar yang berlaku pada tiga tahun lalu iaitu kanak-kanak perempuan sembilan tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam kejadian di Flat Temenggung,Kulai Johor.Menurut siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan itu berbuat demikian dipercayai kerana perselisihan faham antara keluarga .Situasi ini memberi gambaran bahawa di peringkat kanak-kanak mereka juga mengalami kecelaruan emosi dan perlu diberi perhatian sewajarya oleh ibu bapa.Ini bukanlah kali pertama kes menyayat hati sebegini terjadi. Beberapa kes cubaan bunuh diri oleh kanak-kanak pernah berlaku kebelakangan ini, Ingat lagikah anda akan kes kanak-kanak perempuan yang cuba untuk terjun daripada tingkat 19 selepas bertengkar dengan ibunya? Apakah yang telah terjadi? Adakah kita terlalu memberikan tumpuan kepada risiko untuk orang dewasa membunuh diri walhal anak-anak juga mengalami kemurungan dek tekanan hidup? Peristiwa sebeginilah yang menjadi bukti bahawasanya jiwa anak-anak muda sedang bergolak.

      Dapat dikatakan bahawa kesihatan fizikal dan mental mempengaruhi cara kanak-kanak berfikir,berkelakuan,secara luaran mahupun dalaman.Kanak-kanak yang mempunyai kesihatan mental yang sihat lebih bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.Kesihatan mental yang baik membantu kanak-kanak menikmati dan mendapat manfaat daripada pengalaman seharian ,membina hubungan positif dengan orang di sekeliling mereka,termasuk keluarga,rakan dan guru.Secara tidak langsung menyumbang kepada komuniti  dengan cara yang sesuai dengan umur mereka.

     Dipetik dari akhbar sinar harian setahun yang lalu ,Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental,Tan Sri Lee Lam Thye berkata ,dengan data empirikal yan dijalankan,kerajaan akan lebih mampu untuk membentuk dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan serta pendedahan itu perlu diambil berat kerana kanak-kanak merupakan tonggak negara.Berdasarkan kenyataan tersebut kerajaan dicadang melakukan kajian mendalam mengenai kesihatan mental kanak-kanak supaya orang ramai memahami faktor yang menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan tersebut .Tambah Lam Thye,ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan kesejahteraan mental anak-anak,jadi mereka perlu mempunyai kesedaran tentang perkara tersebut.Jelasnya,kesihatan mental adalah tanggungjawab semua orang dan ia bukan sahaja penting untuk ibu bapa,namun harus menjadi penekanan kepada masyarakat setiap hari .

Contoh perkara bermakna yang boleh dilakukan, menurut Profesor Alvarado adalah:

Mengadakan masa berkomunikasi atau 'connect time'. Ini sebaiknya dilakukan secara fizikal, walau untuk lima, 10 minit sehari. Tapi ibu bapa boleh juga meletakkan nota dalam beg anaknya dari masa ke masa sebagai cara berkomunikasi.Kedua,tetapkan sesuatu yang diamalkan setiap hari, seperti membaca untuk 15 minit bersama.Ketiga,sentiasa beritahu anak anda bahawa anda menyayangi mereka. Sebagai bapa jangan segan melafazkan kata "I love you".Keempat,gunakan masa makan bersama sebagai wadah untuk bersembang-sembang.Jangan selalu serius. Okey kalau bapa jadi 'badut' dari masa ke masa.Kelima,bermain bersama anak-anak, walaupun sekejap sahaja. Contohnya, bagi ibu bapa yang menghantar anak- anak ke tadika, bermain dengan mereka selama 10 minit sebelum meninggalkan pusat tersebut.

      Tuntasnya,fokus utama ibu bapa terhadap anak-anak adalah tanggungjawab sepenuhnya terhadap kehidupan dan tumbesaran mereka.Penglibatan ibu bapa khususnya dalam memberikan kasih sayang dan sokongan psikologi, memainkan peranan penting terhadap tahap tumbesaran kanak-kanak kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Desakan hidup yang dialami oleh kebanyakan keluarga menyebabkan ibu dan ayah terpaksa bekerja untuk membiayai kos sara hidup keluarga. Perjumpaan bersama anak hanyalah apabila selepas mereka pulang dari bekerja dan berada di dalam rumah jika tiada hal yang perlu diuruskan lagi diluar . Ibu bapa perlu menyedari tentang kepentingan waktu yang hanya sebentar yang boleh diluangkan bersama anak-anak. Masa yang ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin supaya wujudnya interaksi yang baik di antara mereka. Interaksi ini mampu untuk mengubah persepsi anak-anak pada hari-hari yang mendatang.

MADHIHAH MAT NUDDIN
UPSI, TANJONG MALIM


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Wukuf Di Arafah Saksi Penyatuan Jiwa Jemaah Haji Seantero Dunia

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mengikut kepada kouta kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi berlepas ke Tanah Suci bermula 9 Mei hingga 9 Jun 2024.

Umum mengetahui, rukun Islam mempunyai lima perkara utama merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Didirikan Islam atas 5 (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan". Diantara lima rukun tersebut, terdapat satu rukun yang dikhaskan tempat pelaksanaannya iaitu menunaikan haji di Baitullah yakni Kota Suci Mekah yang berada di Jeddah, Arab Saudi pada bulan Zulhijjah.

Terdapat satu rukun yang melihatkan perbezaan antara ibadah haji dan umrah iaitu wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah bermula daripada waktu Zohor sehingga matahari terbenam. Kesemua jemaah haji akan berada di Padang Arafah, sebuah lembah yang berada di kawasan sekitar Mekah menadah tangan memohon doa dengan penuh kesungguhan kerana waktu itu merupakan salah satu masa yang mustajab untuk doa dimakbulkan. Nabi S.A.W bersabda: Doa yang paling utama adalah di hari Arafah, dan sebaik-baik apa aku dan para nabi sebelum ku pada hari itu adalah: “Tiada Tuhan yang disembah selain Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan dan pujian. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Pengumpulan jemaah haji dari serata dunia dengan budaya dan latar belakang yang berbeza juga memperlihatkan perpaduan umat Islam mempunyai satu matlamat ketika wukuf iaitu mencari keredhaan Allah. Meskipun mempunyai perbezaan gaya hidup ianya bukanlah satu halangan kepada para jemaah untuk mereka bersatu memiliki keimanan yang tinggi menghadirkan diri di hadapan Allah dengan kesungguhan hati yang sama. Dan ini juga merupakan perhimpunan orang Islam terbesar yang menyaksikan jutaan jiwa jagatraya sebagai perlambangan kepentingan bersatu demi mencapai kebaikan dan meraih kesejahteraan bersama.

Dari segi individu seorang jemaah haji, waktu wukuf dikira peluang keemasan dijadikan detik muhasabah diri merenung perjalanan hidup, menginsafi segala perbuatan dan kesilapan yang pernah dilakukan dan berusaha tekad dalam diri untuk berubah kearah yang lebih baik dalam memperbaiki kehidupan. Hal ini dapat dikaitkan dengan hadis daripada sahabat Uqbah Bin ‘Amr Bin Tsa’labah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” (Hadis Riwayat Muslim). Hadis ini membawa kepada gambaran sebarlah kebaikan dengan pelbagai cara sekalipun bahkan tanpa mengeluarkan sebarang kata kelak dipandang oleh orang lain justeru memberi inspirasi kepada mereka mencontohi akhlak baik yang dipamerkan.

Di sinilah jemaah haji memahami betapa pentingnya untuk membantu orang lain dan memberikan penjagaan kepada mereka yang memerlukan. Pada ketika ini, jemaah diingatkan tentang tanggungjawab sosial dan moral mereka, yang bukan sahaja terhad kepada sesama Islam, tetapi juga kepada seluruh umat manusia. Nilai-nilai ini mendorong setiap individu untuk lebih peka terhadap penderitaan orang lain dan cuba meringankan beban mereka. Dengan demikian, wukuf di Arafah menjadi pelajaran hidup yang berharga tentang kepentingan kemanusiaan dalam kehidupan sehari-hari.

Dalam pada itu, jemaah haji boleh mengambil pengajaran mengenali nilai simpati dan solidariti antara manusia. Melalui himpunan jutaan manusia ketika wukuf di Arafah, di sinilah jemaah haji bakal diuji dengan sikap sabar dan bertolak ansur. Dengan menghadapi suasana yang penuh sesak dan cabaran yang didepani semasa wukuf memerlukan jemaah untuk saling memahami dan membantu antara satu sama lain tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri. Oleh hal yang demikian, para jemaah dinasihatkan supaya memupuk perilaku mengutamakan keperluan orang lain dan berkorban demi kebaikan bersama. Sikap ini jelas mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi malahan membuat keadaan sekeliling merasa senang untuk meminta bantuan apabila diperlukan. Kesempatan ini juga dapat mengajari mereka supaya sentiasa merasa rendah hati dan bersabar dalam menghadapi pelbagai situasi pada masa akan datang.

Sebagai penutup wacana, perhimpunan jemaah haji dalam keadaan berihram di Arafah menunjukkan penyatuan yang kukuh melambangkan kekuatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Hanya satu perkara menjadi tujuan dalam jutaan jiwa ketika berada di sana iaitu mencari redha Allah S.W.T. Dalam suasana penuh keinsafan dan kesucian, setiap langkah jemaah merupakan tanda pengabdian kepada Sang Pencipta. Semoga pengalaman wukuf kepada semua jemaah haji mendatangkan manfaat dalam mengeratkan ikatan ukhuwah  serta membawa rahmat dan berkat kepada seluruh umat setelah pulang ke tanah air.

Iman Wafiah Thoiyibah Mohd Ali
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan)
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia



........
Nota:

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...


Fenomena MTHQK 2024 Cetus Semangat Masyarakat Menghayati Al-Quran


Qari Negeri Sembilan, Muhammad Husaini Mahmur mempersembahkan alunan ayat suci Al-Quran setelah dinobatkan Johan Qari MTHQK kali ke-66 pada tahun 2024. - Sumber gambar: Instagram/ @myjakim

Usai berlabuh tirai Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-66 yang berlangsung di Kuantan, Pahang selama 6 hari bermula dari 23 hingga 28 Mei 2024 berakhir dengan kemenangan keseluruhan berpihak kepada Negeri Sembilan. Sebanyak 110 penyertaan peserta pada majlis tahun ini melibatkan wakil 14 negeri. Pemenang tempat pertama acara tilawah Al-Quran bagi kategori qari jatuh kepada Muhammad Husaini Mahmur wakil Negeri Sembilan manakala bagi kategori qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman (Johan Menunggu) mewakili negeri Terengganu.

Majlis yang penuh gemilang itu juga dihadiri ramai penonton dari keseluruhan negeri bagi merasai suasana dikelilingi oleh Ahlul Qurra' yang mempersembahkan bacaan Al-Quran dengan seni tilawah dan tidak dilupakan juga mengambil aura semangat huffaz Quran dalam acara hafazan yang dijalankan pada waktu pagi. Acara yang dikira menjadi adat setiap tahun ini sentiasa ditunggu oleh kebanyakan orang tidak kira untuk menonton secara langsung atau tidak langsung begitu juga sama ada generasi muda mahupun tua turut berminat dengan pertandingan yang dijalankan sepanjang MTHQK iaitu kategori hafazan yang mempunyai 3 peringkat bermula dengan hafazan 1 hingga 10 juzuk, hafazan 1 hingga 20 juzuk dan hafazan 1 hingga 30 juzuk. Bagi pertandingan tilawah Al-Quran pula terbahagi kepada dua iaitu kategori qari dan qariah.

Sering juga kelihatan melalui lensa kamera yang dipaparkan menerusi layar kaca televisyen pada bahagian penonton memperlihatkan di tangan mereka sentiasa memegang Al-Quran, mengikuti dan menyemak bacaan bersama sementara mendengar persembahan peserta. Hal ini dapat dapat diakui bahawa penghayatan kitab suci Al-Quran dapat dihayati bersama seiring dengan bacaan yang menusuk jiwa.  Oleh itu amatlah beruntung kepada mereka kerana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah  akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”. (Hadis Riwayat Abu Hurairah R.A). Sesungguhnya setiap orang yang mencintai  Al-Quran dan mengamalkannya kelak mendapat ganjaran syafaat Al-Quran.

Acara MTHQK juga mendapat liputan meluas dari pelbagai media seperti televisyen, radio mahupun platform digital. Ini membuktikan bahawa teknologi dijadikan medium untuk memperluas penghayatan dan kecintaan terhadap Al-Quran, memudahkan penyebaran kebaikan dan ilmu pengetahuan hingga ke pelosok-pelosok negeri. Selain itu, fenomena ini mendorong masyarakat untuk terus memperbaiki bacaan dan mentadabbur Al-Quran supaya dapat memahami kisah 114 surah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Menelusuri peredaran zaman dalam kemenjadian manusia, Al-Quran adalah sumber utama dijadikan panduan dalam bimbingan menuju kearah kebenaran. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Malik yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi S.A.W)”. Melalui hadis ini antara perkara yang ditekankan ialah kepentingan bagi umat Islam supaya berpegang teguh dua peninggalan daripada Rasulullah S.A.W iaitu Al-Quran dan sunnah. Melalui pengamalan dua perkara tersebut, umat Islam jelas dapat menghadapi segala rintangan dengan baik serta perjalanan hidup mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Oleh itu, usaha dalam penghayatan Al-Quran perlu dikekalkan agar manusia tidak terpesong dari ajaran agama.

Tuntasnya, MTHQK 2024 telah membuktikan bahawa penghayatan Al-Quran mampu menyatukan umat Islam dalam semangat cinta dan syukur terhadap kitab suci ini. Dengan persembahan dan prestasi cemerlang kesemua peserta dari pelbagai negeri, acara ini dapat menegaskan bahawa Al-Quran adalah sumber inspirasi dan petunjuk yang tiada tandingannya. Semoga MTHQK terus menjadi medium yang menggerakkan hati dan jiwa umat Islam untuk lebih mencintai, memahami, dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Iman Wafiah Thoiyibah Mohd Ali
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan)
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia



........
Komen:


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...


© all rights reserved
made with by templateszoo