KUALA LUMPUR, 12 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak dibenarkan menerima sebarang tetamu sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Najib hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga yang ditetapkan, iaitu isteri, anak-anak, menantu dan cucu.
Beliau menjelaskan bahawa sekatan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang terkandung dalam Perintah Pengampunan Bersyarat Lembaga Pengampunan, selain arahan serta tatacara kawalan yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.
Menurutnya, Najib juga tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain selain ahli keluarga berkenaan tanpa kebenaran bertulis.
Selain kawalan terhadap pergaulan dan lawatan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut tertakluk kepada larangan menghadiri majlis keramaian serta terbabit dalam sebarang aktiviti politik.
Saifuddin berkata, syarat tahanan rumah itu merangkumi empat aspek utama, iaitu sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan serta lawatan, sekatan penggunaan telefon dan alat telekomunikasi, serta kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
Najib juga hanya dibenarkan menggunakan peranti telekomunikasi yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi tujuan pemantauan dan pengesahan keberadaannya di kediaman.
Dalam pada itu, beliau tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau ulasan melalui media mahupun mendedahkan diri dalam liputan media dan platform media sosial.
Saifuddin menegaskan bahawa sebarang pelanggaran terhadap syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan Najib dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan pihak berkuasa.
Najib kini menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, sehingga 23 Ogos 2028. - 1Media.my

No comments
Post a Comment