Menurutnya, menerusi rancangan itu, dua tasik lombong sedia ada iaitu di Shah Alam dan Kuala Langat turut dirancang sebagai pengimbang paras air yang mana jika paras air laut surut, air yang terkumpul akan mengalir ke laut.
Di samping itu, kata beliau, turut dirancang di kawasan sekitar terusan itu adalah pembinaan kediaman berkonsep rumah yang di kelilingi oleh sungai atau terusan kecil.
Dakwanya, projek itu diberi nama projek tebatan banjir Canal City yang mana kajian terperinci telah dibuat dan jika dilaksanakan, mampu menampung jumlah beratus ribu liter air, sekali gus boleh mengelakkan Shah Alam daripada dilanda banjir besar untuk tempoh 100 tahun.
“Malangnya ia telah dibatalkan oleh kerajaan PKR (Pakatan Rakyat). Lebih malang lagi tanahnya telah dijual kepada pihak pemaju,” dakwanya menerusi Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, selagi kerajaan tidak menyediakan jalan keluar air selain sungai sedia ada Shah Alam akan terus dilanda banjir dan kekerapannya akan bertambah pada masa hadapan.
“Penduduk Shah Alam mulalah fikir bagaimana utk mendapat faedah dari banjir ini kerana kerajaan negeri, kerajaan madani ini tidak ambil pusing pun utk selesai masalah ini,” tambahnya.
Terdahulu, Mohamad Khir berkata, Shah Alam adalah kawasan lembah kepada kawasan sekitarnya atau dengan kata lain, adalah kawasan rendah dibandingkan kawasan sekitarnya seperti Sungai Buloh; Rawang dan Petaling Jaya.
Menurutnya, banjir besar akan melanda apabila hujan berlaku pada waktu yang sama dengan air laut pasang besar.
Jelasnya, paras air laut yang lebih tinggi daripada paras air sungai, menyebabkan air hujan yang memenuhi sungai tidak ada jalan keluar, lalu terkumpul dan bertakung di kawasan rendah iaitu Shah Alam.
Jelasnya, pembangunan pesat di Kuala Selangor; Sungai Buloh, Rawang dan Petaling Jaya memburukkan lagi keadaan apabila air mengalir ke kawasan rendah seperti di Shah Alam terutama di Kampung Melayu Subang; Batu Tiga dan Sri Muda.
“Selagi kerajaan tidak menyediakan outlet utk air hujan ini keluar seperti kolam takungan air, lebih baik sungai takungan air yg boleh menyimpan beratus juta liter air, sementara menunggu air laut surut, Shah Alam akan menerima padah banjir besar walaupun di Shah Alam tidak ada hujan lebat,” katanya.
Sumber | MalaysiaGazette

No comments
Post a Comment