Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat, Nushi Mahfodz berkata, kontroversi konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetus pelbagai reaksi.
Menurut beliau, isu itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana pandangan JAKIM mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).
Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL versi 6.0, JAKIM hanya merupakan salah satu daripada 13 ahli tetap jawatankuasa berkenaan, manakala kehadirannya tidak diwajibkan bagi mencukupkan kuorum mesyuarat.
Katanya, keputusan dibuat berdasarkan majoriti, sekali gus membolehkan sesuatu persembahan diluluskan walaupun mendapat bantahan JAKIM atas alasan sensitiviti agama.
“Ini bermakna, walaupun JAKIM membantah sesuatu persembahan atas alasan sensitiviti agama, kelulusan masih boleh diberikan.
“Pandangan agama berisiko menjadi sekadar nasihat yang tidak menentukan keputusan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Cadang panel pakar agama nilai konsert
Sehubungan itu, Nushi mencadangkan supaya Kerajaan Madani mewajibkan setiap permohonan konsert langsung mendapatkan penilaian daripada panel pakar khusus dalam bidang media dan kandungan Islam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih menjelaskan, penilaian itu perlu diselaraskan oleh JAKIM dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), serta direkodkan secara rasmi sebelum keputusan kelulusan dimuktamadkan.
Menurutnya, sekiranya terdapat bantahan berasas daripada panel pakar agama, permohonan berkenaan wajar melalui proses semakan lanjut sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Katanya, kerajaan juga perlu memastikan penilaian kandungan persembahan mengambil kira aspek keselamatan, kesesuaian umur dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Mengulas kontroversi konsert The Weeknd, Nushi menyambut baik tindakan JAKIM dan PUSPAL yang menyemak isu berkaitan unsur pemujaan dalam persembahan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan isu lebih mendasar yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana pandangan JAKIM sebenarnya mempengaruhi keputusan kelulusan sesuatu persembahan.
Menurut Nushi, konsep pentas konsert The Weeknd yang menggambarkan sebuah tamadun rekaan memuja mesin sebagai tuhan telah dijelaskan secara terbuka oleh pereka pentasnya sebelum konsert itu berlangsung di Malaysia.
Namun, katanya, masih belum diketahui sama ada JAKIM telah mengemukakan bantahan terhadap konsep persembahan tersebut sebelum kelulusan diberikan.
“Justeru, wajar dijelaskan apakah penilaian yang dibuat dan bagaimana pandangan agama diambil kira sebelum kelulusan diberikan,” tegasnya.
Pengaruh hiburan terhadap masyarakat
Dalam pada itu, Nushi menegaskan kebimbangan terhadap pengaruh kandungan hiburan bukan hanya melibatkan umat Islam, sebaliknya merangkumi kesejahteraan seluruh masyarakat tanpa mengira agama.
Beliau merujuk kajian diterbitkan dalam jurnal ‘Pediatrics’ pada 2006 melibatkan 1,461 remaja yang menemukan hubungan antara pendedahan kepada lirik tidak bermoral dan merendahkan maruah dengan perkembangan tingkah laku seksual lebih awal.
Bagaimanapun, katanya, kajian berkenaan tidak membuktikan kesan khusus konsert The Weeknd, sebaliknya memberikan peringatan bahawa pengaruh budaya terhadap pembentukan generasi tidak boleh dipandang ringan.
Mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa kritikan terhadap penganjuran konsert antarabangsa boleh menjejaskan imej Malaysia dan perkembangan industri kreatif, beliau menyatakan pandangan tersebut perlu dihormati.
Namun, katanya, usaha mempertahankan nilai agama dan kesejahteraan masyarakat secara berhemah tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan mencemarkan imej negara.
Beliau yakin Malaysia mampu membangunkan industri hiburan ~yang~ maju tanpa mengabaikan prinsip, jati diri dan peraturan yang jelas.
Nushi turut mengingatkan bahawa dalam Islam, pemerintah memikul amanah menjaga kemaslahatan rakyat yang menuntut kebijaksanaan membuat keputusan sebelum berlakunya kemudaratan.
“Kerajaan Madani perlu memastikan JAKIM mempunyai suara yang lebih signifikan dalam JK-PUSPAL.
“Kepakaran agama hendaklah diberikan tempat yang sewajarnya ketika keputusan dibuat, bukan hanya dirujuk apabila kontroversi sudah tercetus,” tegasnya.
JAKIM teliti isu unsur pemujaan
Terdahulu, konsert jelajah ‘After Hours Til Dawn Tour’ oleh penyanyi Kanada, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetuskan kontroversi susulan gimik patung robot wanita gergasi berwarna emas di tengah pentas.
Patung setinggi 12 meter rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama itu mencetuskan kontroversi apabila konsert turut menampilkan penari berjubah merah dengan hud yang disifatkan sesetengah pihak menyerupai ritual pemujaan.
Beberapa elemen visual dan persembahan pentas berkenaan menjadi perdebatan di media sosial, khususnya mengenai sensitiviti agama serta kesesuaian kandungan persembahan artis antarabangsa di negara ini.
Pada 9 November, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan Bahagian Penyelidikan JAKIM kini meneliti kesahihan isu serta pematuhan syarat persembahan bersama Urus Setia Garis Panduan JK-PUSPAL.
Beliau menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT dan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak serta sensitiviti agama di Malaysia.
Menurutnya, tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta yang sahih akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran bagi memastikan persembahan artis tempatan termasuk dari luar negara menghormati sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil turut bimbang dengan elemen ritual dalam persembahan tersebut, lalu mengingatkan umat Islam supaya menilai hiburan berdasarkan prinsip akidah, syariah dan akhlak. – HARAKAHDAILY 11/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment