KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa tidak berpeluk tubuh terhadap penganjuran konsert artis luar negara yang semakin melampaui batas, termasuk persembahan dikhuatiri mengandungi unsur pemujaan sehingga boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya melahirkan kekesalan terhadap penganjuran konsert yang memaparkan patung emas bertubuh wanita serta penari berjubah merah dengan pakaian menutup seluruh tubuh.
Menurut beliau, paparan tersebut seolah-olah menggambarkan unsur pemujaan terhadap entiti tertentu dan menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruhnya kepada penonton, khususnya umat Islam.
“Penganjuran konsert melampaui batas wajar diperhati dengan serius, ditambah lagi paparan entiti yang menggambarkan pemujaan sangatlah membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, semalam.
Beliau turut mempersoalkan kepekaan pihak berkuasa terhadap elemen persembahan sedemikian yang dikhuatiri boleh menggugat pegangan agama, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Apakah kita tidak lagi sensitif dengan elemen-elemen yang boleh meretakkan keutuhan akidah anak-anak muda serta pengunjung beragama Islam?” soalnya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kesal kerana Kerajaan Madani, khususnya Kementerian Komunikasi dan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), yang disifatkan kurang memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut.
Katanya, pentas persembahan artis luar negara sering menjadi ruang untuk menyampaikan mesej yang bertentangan dengan nilai budaya dan adat masyarakat tempatan.
Tambah beliau, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan terhadap penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini.
Dalam pada itu, DUPP turut menyatakan kebimbangan terhadap penganjuran konsert artis luar negara yang disifatkan semakin keterlaluan tanpa mengambil kira batas hiburan sepatutnya.
Ahmad menegaskan, pihaknya tidak menolak hak masyarakat untuk berhibur, namun setiap bentuk hiburan perlu mempunyai batas dan sempadan yang jelas.
“Asasnya bukan soal menghalang kepada seseorang untuk berhibur, tetapi setiap perkara ada batas sempadan yang harus dijadikan pedoman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa para mufti dan asatizah supaya tampil menyuarakan pendirian terhadap perkara yang disifatkannya sebagai kemungkaran terbuka.
“Jangan sampai kita hanya nampak buruknya orang yang memperjuangkan agama dalam politik, tetapi menutup mata langsung terhadap pihak terang-terangan merosakkan agama dengan tindak-tanduk mereka,” tegasnya.
Terdahulu, konsert jelajah ‘After Hours Til Dawn Tour’ oleh penyanyi Kanada, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mencetuskan kontroversi susulan gimik patung robot wanita gergasi berwarna emas di tengah pentas.
Patung setinggi 12 meter rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama itu mencetuskan kontroversi apabila konsert turut menampilkan penari berjubah merah dengan hud yang disifatkan sesetengah pihak menyerupai ritual pemujaan.
Susulan kontroversi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan pada 9 November bahawa Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang berhubung dengan urus setia PUSPAL bagi meneliti isu serta pematuhan syarat persembahan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan berlandaskan undang-undang dan fakta yang sahih akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran terhadap syarat ditetapkan.
Setakat ini, kebimbangan mengenai kewujudan unsur pemujaan dalam persembahan tersebut masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 11/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment