Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkembangan tersebut sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu geopolitik yang sensitif.
Menurut beliau, kenyataan menyentuh kemungkinan penggunaan tindakan ketenteraan dalam konflik yang tidak melibatkan Malaysia secara langsung tidak sepatutnya dibuat tanpa mempertimbangkan kesannya terhadap hubungan diplomatik dan kepentingan ekonomi negara.
“Inilah akibat apabila seorang Perdana Menteri kurang berhati-hati dalam mengulas isu geopolitik yang sensitif. Tidak ada keperluan untuk menggunakan istilah berkaitan tindakan ketenteraan dalam konflik yang tidak melibatkan Malaysia secara langsung,” katanya.
Teguran pembangkang sejak Ogos
Ahmad Fadhli berkata, pembangkang menerusi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memberikan teguran sejak Ogos lalu berhubung kemungkinan implikasi diplomatik daripada kenyataan Anwar mengenai Taiwan.
Bagaimanapun beliau berpandangan, kerajaan tidak mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan pembangkang khususnya PAS ketika itu sehingga hubungan pelaburan antara Malaysia dengan Taiwan kini menerima kesannya.
Menurutnya, kerajaan mempunyai ruang untuk memperjelas atau menarik balik ungkapan yang menimbulkan kontroversi, selain mengambil langkah diplomatik segera bagi mengurangkan kesan terhadap hubungan kedua-dua pihak.
“Malangnya, kerajaan dilihat tidak mengambil serius kebimbangan berkenaan,” kesali beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Taiwan pelabur kesembilan terbesar
Mengulas kepentingan hubungan ekonomi kedua-dua pihak, Ahmad Fadhli berkata, berdasarkan rekod rasmi Kementerian Luar Malaysia, Taiwan merupakan pelabur kesembilan terbesar di Malaysia bagi tempoh 1980 hingga Mac 2026.
Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,719 projek perkilangan dari Taiwan diluluskan dengan nilai pelaburan AS16.7 bilion atau kira-kira RM70 bilion, selain berpotensi mewujudkan lebih 407,000 peluang pekerjaan.
“Malah, bagi enam bulan pertama 2026 sahaja, sebanyak RM3.34 bilion pelaburan perkilangan dari Taiwan telah diluluskan,” ujarnya.
Beliau berkata, angka berkenaan menggambarkan kepentingan hubungan pelaburan antara Malaysia dengan Taiwan, khususnya dalam sektor perkilangan, semikonduktor dan teknologi tinggi.
Ahmad Fadhli turut menyuarakan kebimbangan sekiranya ketegangan diplomatik yang berlaku akhirnya menjejaskan keyakinan pelabur Taiwan untuk meneruskan atau menambah pelaburan mereka di Malaysia.
Menurut beliau, sebarang perubahan terhadap keputusan pelaburan syarikat Taiwan berpotensi memberikan kesan terhadap perkembangan industri semikonduktor dan teknologi tinggi negara.
Taiwan tangguh rundingan pelaburan
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Taiwan pada 10 November mengesahkan keputusan menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia yang dibuat pada Oktober lalu susulan kenyataan Anwar mengenai Taiwan.
Jurucakap kementerian itu, Hsiao Kuang-wei menjelaskan keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira aspek kedaulatan, keselamatan ekonomi serta perlindungan hak dan kepentingan pelabur Taiwan.
Bagaimanapun, Taiwan masih meneruskan komunikasi dengan Malaysia dan berharap hubungan pelaburan yang erat serta kepercayaan bersama dibina selama ini dapat membuka ruang kepada penyambungan semula rundingan berkenaan.
Kontroversi itu tercetus selepas Anwar dalam wawancara bersama _Al-Jazeera_ pada Ogos lalu menegaskan pendirian Malaysia terhadap dasar Satu China.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan oleh China terhadap Taiwan, beliau membuat perbandingan dengan keadaan sekiranya sebuah negeri di Malaysia cuba memisahkan diri daripada Persekutuan.
Kenyataan tersebut menerima bantahan daripada Taiwan yang menganggap perbandingan itu sebagai memberikan justifikasi terhadap kemungkinan penggunaan kekerasan oleh China.
Anwar bagaimanapun kemudiannya mempertahankan dasar Satu China yang diamalkan Malaysia sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sambil menegaskan bahawa penyelesaian isu Taiwan seharusnya dilakukan secara aman.
Dasar luar memerlukan kebijaksanaan
Mengulas keputusan penangguhan itu, Ahmad Fadhli berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan kebimbangan pembangkang yang dibangkitkan sebelum ini tidak boleh dipandang ringan.
“Hari ini, kebimbangan yang pernah dibangkitkan pembangkang mula menunjukkan asasnya apabila rundingan pelaburan dua hala ditangguhkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa setakat ini belum terdapat laporan mengenai pembatalan pelaburan sedia ada dari Taiwan di Malaysia.
Namun katanya, penangguhan rundingan tersebut tetap merupakan satu amaran mengenai kemungkinan kesan ekonomi sekiranya ketegangan diplomatik berterusan.
“Walaupun pelaburan sedia ada belum dilaporkan dibatalkan, perkembangan ini tetap merupakan amaran yang tidak boleh dipandang ringan.
“Dasar luar negara memerlukan kebijaksanaan dan ketelitian, bukannya kenyataan spontan yang akhirnya boleh mengundang kesan ekonomi kepada Malaysia,” tegasnya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam mengendalikan isu berkenaan, khususnya selepas pembangkang memberikan peringatan lebih awal mengenai risiko yang mungkin timbul.
“Nah sekarang, di mana cerdiknya Perdana Menteri yang penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) agung-agungkan?” soalnya menempelak. – HARAKAHDAILY 11/11/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment