DUYONG – Pengalaman berkampung lebih dua minggu di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan DUN Telok Mas memberi gambaran kepada Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bahawa pengundi kini semakin mengutamakan prestasi serta khidmat wakil rakyat berbanding latar belakang kaum dan agama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, sepanjang berada di kawasan berkenaan, beliau menyaksikan sendiri kehadiran masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India yang menunjukkan penerimaan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurutnya, pengalaman turun padang dan bertemu penduduk sepanjang tempoh itu cukup mengujakan, malah menjadi satu penanda aras terhadap perubahan cara pengundi menilai seseorang wakil rakyat.
Beliau berkata, sokongan yang dilihat tidak lagi semata-mata berdasarkan kaum, agama, keturunan atau latar belakang seseorang calon, sebaliknya lebih tertumpu kepada rekod prestasi dan khidmat yang telah diberikan kepada masyarakat.
“Pada saya, ini satu penanda aras. Pengundi sekarang melihat kepada prestasi, kecemerlangan dan khidmat bakti wakil rakyat. Mereka mengenang apa yang telah dilakukan untuk mereka.
“Itu yang lebih penting, bukan lagi soal kaum atau agama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini petang ini.
Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berkata, sepanjang tempoh berkempen, beliau turut menyaksikan reaksi emosi penduduk ketika menceritakan pengalaman dan bantuan yang pernah diterima daripada wakil rakyat berkenaan.
Tambah beliau, ada dalam kalangan penduduk yang begitu terharu sehingga mengalirkan air mata apabila mengenang khidmat serta perhatian yang diberikan kepada mereka.
Mengulas keyakinan terhadap peluang BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini, Rosnah berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman beliau bertemu penduduk sepanjang tempoh berkempen di Duyong dan Telok Mas.
“Saya tidak mahu mendahului ketentuan Allah tetapi berdasarkan apa yang saya lihat dan rasakan sepanjang bersama masyarakat di sini, saya yakin,” ujarnya.
Beliau berkata, mandat baharu diperlukan bagi membolehkan segala usaha yang masih belum selesai diteruskan, selain memastikan kebajikan penduduk dan agenda pembangunan di DUN Duyong tidak terhenti.
Menurutnya, kesinambungan khidmat itu penting supaya perkara yang telah dirancang dapat diselesaikan dan keperluan masyarakat terus diberi perhatian. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment