DURIAN TUNGGAL – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan khususnya apabila menggunakan istilah agama untuk menghukum pendirian atau kumpulan tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai seorang tokoh agama, pemimpin itu perlu lebih terkawal untuk memberikan pandangan termasuk berhubung Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dikaitkan dengan istilah ‘Dajjal’.
“Tan Sri Hadi itu orang alim…Sepatutnya kenyataan dia (Abdul Hadi) itu lebih terkawal. Mereka cuba jawab, dia bukan tuju pada saya, tak apa tapi untuk hukum orang atau kumpulan atau pendirian Dajjal, itu tak kena, itu pertama.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan cadangan memeterai memorandum persefahaman itu asalnya dikemukakan Perikatan Nasional (PN) yang ketika itu dianggotai Pas dan Bersatu bersama Barisan Nasional (BN).
“Keduanya, yang kemukakan dulu itu parti dia (Pas). Datuk Seri Takiyuddin (Setiasusaha Agung Pas) sekarang pertikai yang cadang itu dia bersama masa itu Hamzah Zainudin dan beberapa yang lain daripada kerajaan pada ketika itu.
“Kita guna draf yang sama untuk mengemukakan. Jadi aneh betul kalau dalam kalangan ahli tak baca, tak fikir, jadi masalah.
“Sekali lagi saya sebut, siapa yang kemukakan kertas cadangan memorandum persefahaman ini adalah Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Pas juga ketika itu dan Bersatu dan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH), kemudian kita meterai.
“Jadi, macam mana sekarang bila dia berbuat, tak Dajjal? Bila orang buat, jadi Dajjal? Ini masalahnya, saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti itu,” jelasnya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilapor menyifatkan pemeteraian CSA sebagai satu ‘pendekatan Dajjal’ kerana dianggap mengkhianati amanah.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, negara seluruh dunia menerima amalan segala hasil negara menjadi hak rakyat, sama ada diperoleh secara langsung atau tidak.
Kerajaan MADANI pada minggu lalu memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen mewakili BERSATU dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat parti itu pada 2024.
Menerusi perjanjian itu, semua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment