NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO tegas tolak kerjasama dengan BERSATU

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Soalan (S): Sejak akhir-akhir ini, saudara dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, saling berbalas kenyataan berhubung isu UMNO tolak BERSATU. Apakah tiada ruang kedua-dua parti jalin kerjasama khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Jawapan (J): Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) jelas, tiada kerjasama dengan BERSATU, Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15. Ini keputusan dasar parti yang dibuat pada peringkat tertinggi parti, iaitu PAU.

Soal berbalas kenyataan itu biasalah. Apabila ada parti lawan serang parti kita dan institusi seperti presiden, kita kena jawab dan jelaskan. Cuma kadangkala pelik Ketua Penerangan BERSATU agak obses dengan UMNO dan kurang bercakap mengenai parti sendiri atau apa parti dia nak tawarkan.

S: UMNO kelihatan tegas menolak BERSATU, tapi dalam konteks hubungan dengan PAS, pendekatan lebih 'lunak' ditunjukkan. Ada melihat tindakan ini bersifat dwistandard sedangkan PAS ditubuhkan pada 1950-an dulu jelas bertujuan menggantikan UMNO. Apa membezakan BERSATU dengan PAS?

J: Apa membezakan BERSATU dan PAS elok ditanya kepada mereka berdua (pemimpin kedua-dua parti). Ini kerana hari ini nampak agak akrab dan PAS setakat ini memang nampak lebih memilih BERSATU, misalnya bertanding atas lambang Perikatan Nasional (PN).

Soal dwistandard dalam hubungan UMNO-BERSATU dan UMNO-PAS tidak timbul kerana kita dan PAS lebih awal lagi mewujudkan Muafakat Nasional (MN). Cuma jika PAS berterusan lebih memilih PN sebagai pakatan politiknya, kesannya MN akan kekal sebagai gagasan, bukan wadah politik kepartian.

Jadi pilihan di tangan PAS, apa yang mereka mahu. UMNO sudah jelas dan tegas menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU. Kalau MN tak dapat berkembang mencapai potensinya atau berkubur sekalipun, itu ialah pilihan PAS, bukan UMNO.

S: UMNO selalu tegaskan penolakan kerjasama dengan BERSATU kerana parti itu ditubuhkan untuk menggantikannya. Namun, isu ini tidak pula timbul ketika parti Melayu bergabung dan jatuhkan kerajaan PH? Tidakkah ini dilihat hipokrasi politik?

J: UMNO tak bergabung dengan sesiapa untuk jatuhkan PH, mereka jatuh sendiri. Kita buat apa sekalipun waktu itu, kalau BERSATU tak keluar PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad tak letak jawatan, kerajaan PH akan masih memimpin hari ini. Jadi ini hal BERSATU dan PH. Tak perlu kaitkan UMNO memainkan peranan kita selaku pembangkang pada waktu itu.

Mungkin ada yang lupa, UMNO tegas meminta agar pilihan raya segera diadakan semasa kemelut politik pada 2020. Malah UMNO tegas bersama PAS ketika itu untuk tidak mencalonkan sesiapa sebagai Perdana Menteri (PM) dan meminta agar Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Tuanku Agong menggunakan kebijaksanaannya untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku. Natijahnya, kerajaan campuran ditubuhkan atas semangat kerjasama menstabilkan keadaan dan memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan baik.

Kita bersetuju untuk tubuhkan kerajaan sementara waktu sebelum tiba masa sesuai untuk bubar Parlimen dan kembalikan kuasa memilih kepada rakyat. Kita ingat apabila UMNO berbesar hati mengangkat Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai PM, mungkin pendekatan BERSATU berubah.

Namun jauh sekali. Mereka letak calon lawan kita di Sabah. Mereka tubuh PN dan tarik PAS tanpa persetujuan kita. Mereka buat keputusan darurat dan lain-lain tanpa bincang dengan kepemimpinan UMNO walaupun ada Majlis Presiden satu ketika dahulu. Jadi, okay kalau begitu. Kita bawa haluan masing-masing.

S: Pendedahan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai hal ehwal dalaman parti dilihat sebagai 'pintu perpecahan' dalam kalangan pemimpin UMNO dan boleh memberi kesan besar kepada parti terutama kepercayaan penyokong UMNO?

J: Isu Tajuddin tidak akan memecahkan parti jika kita tak benarkan ia pecahkan parti, tapi kalau dalam kalangan UMNO main politik sate, iaitu cucuk, bakar dan kipas, maka pecahlah. Sebab itu dalam kenyataan saya tempoh hari, saya tegaskan sesiapa yang hadir dalam apa-apa perjumpaan tak bermakna menyokong apa-apa gerakan. Saya tak nak parti pecah.

Walaupun saya tiada dalam apa-apa perjumpaan didakwa itu, saya ambil pendirian letak parti di hadapan. Bukannya kepentingan individu atau mengambil kesempatan, jauh sekali menangguk di air keruh untuk cuba jatuhkan sesiapa atau menghasut presiden untuk sangsi dengan sesiapa sahaja yang ada dalam gambar berkenaan.

Kalau hendak jadi oportunis, boleh saja saya main politik sate. Namun, kita orang parti, kita pertahankan seluruh kepemimpinan demi parti terutama di hujung penggal menjelang PRU.

Sama juga soal dakwaan bahawa presiden UMNO jadi liabiliti atau mengangkat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai PM. Ada seseorang selalu berpesan kepada saya, dalam politik, yang penting kita lihat keputusan. Keputusannya Anwar tak jadi PM, yang jadi PM ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Keputusannya ialah UMNO menang pilihan raya 7-0. Jadi liabiliti macam mana?

Pandangan saya, orang UMNO perlu bertanya diri sendiri, di ambang kemenangan, adakah kita ingin berpecah atau kita hendak menang? Kalau nak menang kita buat cara nak menang. Presiden adalah pemimpin nombor satu parti, menang bertanding dan merangka strategi parti selama ini. Timbalan memimpin jentera. PM ialah wakil dalam kerajaan dan 'poster boy' parti untuk PRU.

Apa masalahnya? Selama ini okay sahaja hingga menang PRN Melaka dan Johor dengan bergaya. Kenapa perlu risikokan perkara ini dengan serang mana-mana antara mereka? Saya percaya ketika ini yang boleh kalahkan UMNO ialah UMNO sendiri. Jadi orang UMNO kena tanya sendiri apa yang kita hendak?

S: PKR mendapat suntikan baharu dengan kemenangan Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden yang membawa slogan 'Masa Untuk Berperang'. Tidakkah UMNO memerlukan kerjasama parti selain PAS bagi mengelak kekalahan seperti dialami pada PRU-14?

J: UMNO tidak pernah tubuh kerajaan sendirian. Paling hampir pun tahun 2004 apabila UMNO menang 109 kerusi, namun masih tidak boleh tubuh kerajaan tanpa rakan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC. Tidak juga dilupakan rakan BN adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang pernah menganggotai BN. Siapa pun UMNO pilih untuk bekerjasama dan apa bentuk kerjasama itu, yang pasti UMNO sendiri mesti kekal kuat dan utuh.

S: UMNO dilihat berusaha keras mengetengahkan agenda 'peremajaan' dalam parti. Namun, antara kesukaran adalah menyingkirkan pemimpin senior atau 'warlords'?

J: Presiden UMNO banyak membantu dalam usaha peremajaan parti. Dalam parti sahaja, saya ketua penerangan paling muda dalam sejarah UMNO. Bukan sebab saya selaku individu yang tentunya ada juga kelemahan, tetapi antara lain sebab presiden mahu menonjolkan generasi muda.

Dalam barisan MKT bersama saya, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail; EXCO Melaka, Datuk Rais Yasin; Timbalan Speaker Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Di peringkat kerajaan Persekutuan, kita ada Datuk Mohd Shahar Abdullah yang dinaikkan status kepada Timbalan Menteri Kewangan 1. Ini usaha UMNO dalam meremajakan parti, membuka ruang kepada anak muda memimpin parti dan ada peranan dalam kerajaan. Sebab itu kita tawarkan 80 peratus muka baharu di Melaka dan kita memiliki 13 wakil rakyat daripada Pemuda dan Puteri UMNO.

Jadi tak benar jika dikatakan peremajaan itu tidak berlangsung. Ia usaha berterusan yang akan dipergiatkan dari semasa ke semasa tanpa mengetepikan generasi lebih dewasa yang tentunya ada kelebihan dan kebijaksanaan juga.

S: Ada pemerhati politik melihat UMNO sedang di ambang perpecahan dengan dakwaan ada dua kem dominan ingin menguasai parti?

J: Macam saya sebut tadi, hanya UMNO boleh kalahkan UMNO. Kalau kita pilih bertindak seperti ada dua kem, jadilah dua kem itu. Kalau kita pilih bertindak untuk keharmonian menjelang PRU, tak adalah apa-apa kem. MKT jelas membuat ketetapan. Presiden jaga parti, PM jaga kerajaan. Namun, saya optimis, di sebalik ura-ura, situasinya tidak seperti dilaporkan. Hubungan antara Top 5 UMNO cukup baik, malah mereka juga kerap bertemu. Yang penting jangan ada tukang cucuk dan kipas menabur benih kesangsian, sekali gus merosakkan keharmonian itu.

S: Apakah mungkin MN akan terkubur, melihat pendirian PAS yang tidak jelas berhubung kerjasama dengan BERSATU?

J: Ruang sudah lama dibuka bagi PAS. PRN Melaka dan Johor. Bukan tidak ada usaha untuk buka perbincangan, namun mereka pilih PN dan ada kala kuat juga menghentam UMNO. Kalau mereka tukar pendirian, kita tengok semulalah. Apapun, sebagai saudara dalam MN, kami menghormati keputusan politik PAS selagi PAS juga hormat pendirian UMNO.

Akhirnya politik ini di dunia sementara dan kita semua akan dihisab nanti. Yang penting selagi bernyawa, kita ikhlas untuk berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kita buat kerja dan kemudian serah kepada perancangan Pencipta.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo