NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rain Rave: Respon lewat Zahid cuma ‘damage control’




KUALA LUMPUR
: Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap respon kerajaan yang disifatkan lewat berhubung penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026.

Beliau berkata, meskipun menyokong kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegur penganjuran tersebut, tetapi tindakan tersebut sepatutnya dilaksanakan lebih awal.

Ahmad Zahid dalam kenyataannya telah menegaskan supaya setiap program hiburan perlu menghormati nilai agama, adab, sensitiviti serta norma masyarakat tempatan.

“Secara prinsipnya, saya bersetuju dan menyokong penuh pendirian beliau tersebut. Malaysia sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kaya dengan budaya ketimuran.

“(Oleh itu) penganjuran acara yang bersifat provokatif serta meminggirkan sensitiviti agama seperti Festival Muzik Air Rain Rave 2026 seharusnya tidak dibenarkan berlaku sejak awal lagi.

“Walau bagaimanapun, kesal dan kecewa terhadap respon yang diberikan oleh pihak kerajaan di mana hanya bersuara setelah festival bermula.

“Mengapa teguran dan arahan untuk meneliti semula program ini hanya dikeluarkan di saat-saat akhir ketika acara sudah hampir melabuhkan tirainya?” katanya.

Menurut beliau, kelewatan respon itu menimbulkan persoalan berhubung kecekapan pemantauan serta proses kelulusan penganjuran acara oleh pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, situasi berkenaan juga dilihat sebagai bersifat ‘damage control’ dan tidak memberi kesan praktikal dalam menghalang kebimbangan disuarakan oleh pelbagai pihak.

Antaranya terhadap aspek akhlak yang telah dibangkitkan lebih awal oleh pihak berkuasa agama, termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Jika benar kita ingin menjaga keharmonian dan identiti negara, mekanisme penapisan dan kelulusan penganjuran acara antarabangsa perlu diperketatkan di peringkat akar umbi, bukannya hanya bersuara selepas isu tersebut tular dan menimbulkan keresahan rakyat.

“Saya mendesak agar Kerajaan Persekutuan tidak lagi bersikap reaktif dalam isu-isu sensitiviti agama dan moral,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperketat mekanisme penapisan serta kelulusan penganjuran acara, khususnya yang melibatkan program berskala besar atau antarabangsa.

“Pihak berkuasa tempatan serta kementerian berkaitan mestilah lebih peka dan selaras dengan pandangan pihak berkuasa agama sebelum memberikan sebarang kelulusan permit pada masa hadapan. 

“Janganlah kita membiarkan nilai moral masyarakat tergadai hanya kerana ingin mengejar label ‘kemajuan’ atau ‘liberalisasi hiburan’ yang tidak terkawal,” katanya.

Rain Rave Water Music Festival 2026 telah menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa yang berlangsung di Bukit Bintang bermula 30 April dan berakhir semalam, 2 Mei.

Acara yang menggabungkan elemen air, visual memukau dan muzik bertenaga tinggi itu menjadi antara tarikan hiburan paling ‘panas’ di Ibu Negara, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung.

Bagaimanapun festival tersebut mendapat bantahan dari ramai pihak termasuk barisan pembangkang, artis dan badan bukan kerajaan (NGO). – HARAKAHDAILY 3/5/2026


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo