NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UAE umum keluar OPEC, cetus tekanan baharu pasaran minyak dunia

DUBAI – United Arab Emirates (UAE) mengumumkan keputusan untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+, satu langkah yang dilihat mampu menggugat kestabilan blok pengeluar minyak global ketika dunia masih berdepan krisis tenaga susulan perang melibatkan Iran.

Keputusan itu dianggap tamparan besar kepada OPEC serta Saudi Arabia yang selama ini menjadi peneraju utama organisasi berkenaan.

Menteri Tenaga UAE, Suhail Mohamed al-Mazrouei berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan meneliti semula strategi tenaga negara itu secara menyeluruh.

Menurut beliau, UAE tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana negara lain termasuk Arab Saudi sebelum keputusan tersebut diumumkan.

“Ini adalah keputusan dasar yang dibuat selepas penelitian mendalam terhadap hala tuju semasa dan masa depan berkaitan tahap pengeluaran minyak negara,” katanya.

Langkah UAE keluar daripada OPEC dijangka meningkatkan ketidaktentuan pasaran global, selain berpotensi melemahkan kesatuan dalam kalangan negara pengeksport minyak yang sebelum ini sering menampilkan pendirian bersama walaupun berdepan perbezaan geopolitik.

Situasi itu berlaku ketika negara-negara Teluk turut berdepan cabaran mengeksport minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang menyalurkan hampir satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair dunia.

Laluan tersebut sebelum ini terjejas susulan ancaman dan serangan terhadap kapal dagang ketika konflik serantau semakin memuncak.

Dalam perkembangan sama, keputusan UAE itu turut dilihat memberi kelebihan politik kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sebelum ini berulang kali mengkritik OPEC kerana didakwa mempengaruhi harga minyak dunia.

Trump sebelum ini mendakwa negara anggota OPEC mengambil kesempatan terhadap perlindungan ketenteraan Amerika Syarikat dengan mengekalkan harga minyak pada paras tinggi.

Sementara itu, Penasihat Diplomatik Presiden UAE, Anwar Gargash turut mengkritik tindak balas negara Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terhadap ancaman Iran yang disifatkannya lemah dari sudut politik dan ketenteraan.

Beliau berkata, walaupun wujud sokongan logistik antara negara GCC, pendirian politik gabungan itu dilihat paling lemah dalam sejarah berdepan konflik semasa.

Sumber asal : Reuters

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo