NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Segalanya perlancongan, kembalikan nama Kementerian Kebudayaan



BANGI, 14 ZULKAEDAH – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing cukup popular sekarang dengan kontroversi Rain Rave Water Music Festival (RRWMF).

Tapi masalahnya bukan popular kerana sebab yang baik. Walaupun dikritik oleh pelbagai pihak, beliau tidak peduli, malah dengan selamba membuat kenyataan seperti:

“Mana-mana pihak merasakan boleh datang, (silakan) datang. Kalau kita merasakan agama kita tidak bagi kelulusan atau tidak benarkan, jangan datang,” katanya.

Hebat betul menteri seorang ini. Tiada siapa boleh tegur dia. Namun, hendak salahkan King Sing sepenuhnya pun tidak boleh. Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri kenalah tegur. 

Satu lagi, cuba lihat nama kementeriannya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pelancongan menjadi nombor satu, manakala seni dan budaya nombor dua dan ketiga penting.

Sebab itu, Ahli Parlimen Bintulu sejak memegang portfolio ini dilihat memberi keutamaan kepada pelancongan. Lebih ramai pelancong datang ke Malaysia, maka beliau akan dilabelkan sebagai menteri yang  berjaya.

Maka tidak hairan, King Sing mempertahankan RRWMF kerana baginya, acara itu boleh menarik pelancong.

Mungkin sudah sampai masa boss menteri ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memang dikenali sebagai orang yang mementingkan seni dan budaya mengembalikan semula nama dan fungsi kementerian itu kepada yang asal.

Rekod menunjukkan bahawa pada 1987, nama kementerian ini ialah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Kemudian pada 1992 menjadi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Pada 2004, Kebudayaan dan Pelancongan mempunyai kementerian masing-masing dan pada 2013, digabungkan semula, tetapi sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. 

Sejak itu, segala-galanya adalah pelancongan. Bukan kata, seni dan budaya diketepikan, tapi tidaklah sehebat pelancongan.

Memang pelancongan membawa wang, tetapi seni dan budaya juga boleh membawa wang jika kena gayanya. Masalahnya ialah apabila menteri hanya nampak pelancongan boleh membawa wang dan mengenepikan seni dan budaya.

Mungkin pegawai kanan di kementerian sekarang lupa bahawa negara pernah mempunyai identiti dalam promosi pelancongan, iaitu Citrawarna Malaysia yang diperkenalkan pada 1999. 

Program itu menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia di pentas antarabangsa dan menjadi acara tahunan utama, terutama sebagai tarikan dalam kempen pelancongan seperti Tahun Melawat Malaysia.

Selain makanan, pantai dan hutan tropika, pelancong ingin melihat keunikan budaya tempatan. Jarang sekali pelancong datang kerana hendak melihat persembahan muzik tempatan yang di negara mereka pun ada.

Lihat saja di Bali, pelancong hendak lihat tari Kecak dan Barong, bukan tarian dan nyanyian moden. Kalau rentak rap, pelancong di Barat sudah biasa dengan persembahan yang jauh lebih hebat.

Kalau setakat persembahan di Bukit Bintang, mereka pun tidak pandang. Takkan perkara mudah pun susah nak faham.

Ziauddin Sharuddin

Wartawan TV Pertiwi


Sumber | TV Pertiwi 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo