NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pintu rundingan tak wajar ditutup sepenuhnya

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Soalan (S): Adakah BERSATU dan UMNO sudah berkerat rotan, terutama dari segi kerjasama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Jawapan (J): Secara tidak rasmi, hubungan BERSATU-UMNO ketika ini dilihat begitu, khususnya selagi UMNO-Barisan Nasional (BN) terus dikuasai dan dipimpin watak mementingkan agenda peribadi akibat terpalit dengan kes mahkamah membabitkan korupsi dan salah guna kuasa.

Namun, saya dan beberapa pemimpin serta ahli akar umbi dalam BERSATU masih yakin pintu rundingan tidak wajar ditutup sepenuhnya kerana dalam politik, apa saja boleh berubah walau sekelumit cahaya ke arah 'rekonsiliasi politik bangsa'.

S: Apakah faktor membolehkan BERSATU dan UMNO bekerjasama membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada awal 2020?

J: Saya tidak boleh bercakap mewakili pihak UMNO tetapi bagi BERSATU, apa yang menjadi pertimbangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ketika itu ialah kelangsungan dominasi politik Melayu-Muslim-Bumiputera yang sudah dicetuskan melalui Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM ketujuh sewaktu BERSATU berada dalam Pakatan Harapan (PH) lagi.

Jadi, memang wujud kesedaran di pihak kepemimpinan BERSATU bahawa kepentingan penyatuan nasional dan perpaduan ummah perlu seiringan perjuangan menegakkan integriti dan menentang kleptokrat dalam realiti politik Malaysia.

S: Apa BERSATU pelajari dalam konteks hubungan dengan UMNO ketika bersama dalam kerajaan?

J: Sebenarnya, kerjasama UMNO dengan BERSATU dalam satu kerajaan seperti sekarang ini akan lebih mantap, adil dan stabil jika pentadbiran ini tidak diganggu kelompok 'kluster mahkamah' dan pengampunya yang turut menyumbang undi sebagai ahli Parlimen. Kerjasama ini juga bergantung pada keikhlasan dan keberkesanan komunikasi antara pemimpin UMNO dan BERSATU dalam Kabinet.


S: UMNO menolak BERSATU atas alasan penubuhannya cuba gantikan UMNO, namun ia tidak berbangkit ketika bergabung sebagai kerajaan. Adakah ini dilihat sebagai hipokrasi politik?

J: Ya saya setuju itu. Ia seolah-olah naratif perpaduan ummah yang bergema sejak UMNO dan PAS menubuhkan MN sebelum ini, dengan mudahnya 'ditongsampahkan' sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.

Sejak dari itu, satu persatu asakan, provokasi, fitnah dan kecaman dilakukan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh kelompok dalam UMNO hingga Perdana Menteri kelapan itu disabotaj hingga jatuh.

S: Adakah PAS boleh main peranan sebagai orang tengah menyatukan BERSATU dan UMNO bagi mengelak perpecahan undi Melayu pada PRU-15?

J: Sejak awal lagi, PAS sudah bertindak dan memainkan peranan sebagai pendamai dan penampan bagi menjayakan hubungan UMNO dan BERSATU atas nama perpaduan ummah. Secara peribadi, saya yakin dan menghormati pendirian PAS dalam perkara ini. 

S: Jika perpecahan undi Melayu tidak dapat dielakkan kerana pertembungan tiga penjuru pada PRU-15, adakah ia akan memberi kelebihan kepada PH, khususnya PKR?

J: Dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Ancaman itu (pertembungan tiga penjuru) mungkin satu realiti. Saya menghormati Rafizi Ramli yang kini kembali aktif dalam arena politik negara, namun saya merasakan bukan mudah untuk PH menembusi kubu kuat majoriti Melayu-Islam, khususnya di Semenanjung jika mereka sekadar berbekalkan sentimen atau slogan yang bernada gah, tetapi hakikatnya masih tidak mengangkat tiang perjuangan asas, iaitu semangat kebangsaan untuk perpaduan sebenar masyarakat kita.

S: Jika BERSATU dan UMNO sudah berkerat rotan, bagaimana pula jika keputusan PRU-15 memerlukan dua parti ini duduk semeja berunding kemungkinan membentuk kerajaan?

J: Ini tidak wajar berlaku kerana jika kita lihat sejarah politik negara, boleh dikatakan permusuhan dan pergeseran antara parti politik berasaskan Melayu-Muslim-Bumiputera ini hampir semuanya kerana masalah antara pemimpin dengan pemimpin.

Bagi kebanyakan ahli akar umbi BERSATU dan UMNO yang hidup seperti orang biasa, situasi tegang tidak terjadi dalam urusan harian sesama masyarakat. Perubahan boleh terjadi jika ada pertukaran pucuk pimpinan parti, sama ada ke arah perpecahan atau penyatuan. Masa depan hubungan BERSATU, UMNO juga bergantung pada niat, visi dan aspirasi seseorang pemimpin serta nilai dipegang majoriti ahli atau bangsa itu.

S: Hubungan BERSATU, UMNO, PAS umpama 'ketam dalam bakul' apabila kerap bertelingkah dan tidak boleh bersatu. Adakah tiada jalan keluar daripada 'penyakit Melayu' ini?

J: Kita dianggap bangsa sering gagal untuk 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan melihat perbezaan wadah, lambang dan pendekatan itu sebagai sesuatu tabu. Kononnya, kita mahu semua orang Melayu ini sama saja macam robot, duduk di bawah satu wadah tanpa ada pilihan seperti zaman sebelum wujudnya media sosial. Cuba contohi keterbukaan Presiden Indonesia, Jokowi (Joko Widodo) apabila menjemput seteru politiknya, Probowo Subianto menyertai Kabinet pentadbirannya sebagai Menteri Pertahanan. Sekarang, Indonesia makin bersatu, maju dan stabil di persada antarabangsa.

Melayu boleh berubah daripada mentaliti lapuk politik 'asabiyah' kepartian jika adanya pemimpin dipercayai adil, beragenda besar dan neutral mampu menyeru ke arah revolusi nasionalisme secara bersungguh-sungguh. Saya lihat PM sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin selaku Pengerusi PN mampu memainkan watak sedemikian kerana mereka berdua saya anggap berjiwa nasionalis moderat.

S: Bagaimana BERSATU melihat pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, terutama keputusan UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, berbanding bekerjasama dengan BERSATU?

J: Pendedahan Duta Besar Malaysia ke Indonesia baharu itu tidaklah mengejutkan sebahagian besar kami kerana perihal itu sudah dihidu, sama ada secara langsung atau tidak terutama apabila wujud dan tersebar rakaman perbualan telefon antara 'guru dan anak murid' ketika PAU (Perhimpunan Agung UMNO) sedang berlangsung.

Ia sekali lagi mengesahkan Presiden UMNO dan pengikutnya sekarang sanggup melakukan apa saja untuk melepaskan diri daripada kes mahkamah serta kembali berkuasa secara solo tanpa semak imbang, seperti 60 tahun mereka berkuasa hingga negeri majoriti Melayu/Bumiputera seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah tidak semaju lain.

Pada masa sama, Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula gagal mencapai matlamatnya. Yang 'berjaya' ialah terhasilnya 'warlords' politik serta kelompok kecil elitis Melayu, yang sebahagian mereka tiada pun roh pejuang kebangsaan atau pejuang rakyat.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo