NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dana pembangkang tidak disalurkan terus ke wakil rakyat, tapi kepada Japerun, kata Dr Akmal

Exco Melaka, Dr Akmal Saleh mencabar Adun Sungai Udang, Dr Aleef Yusof membuktikan dakwaan penyelaras DUN Sungai Udang membawa peruntukan kawasan itu untuk kegunaan DUN Paya Rumput.


PETALING JAYA: Exco Melaka, Dr Akmal Saleh menjelaskan peruntukan pembangunan untuk kawasan pembangkang tetap sampai kepada rakyat walaupun tidak disalurkan terus kepada wakil rakyatnya.

Menjawab dakwaan Adun Sungai Udang, Dr Aleef Yusof, Akmal dalam klip video selama 2.33 minit memaklumkan peruntukan DUN pembangkang disalurkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi, kalau Japerun itu katalah DUN Sungai Udang dan Bemban adalah DUN pembangkang, tetapi Japerun ni tetap beroperasi oleh penyelaras, maka peruntukan dari kerajaan negeri disalurkan kepada penyelaras-penyelaras ini,” kata Adun Merlimau itu.

“Maka, tidak ada isu rakyat di dalam DUN pembangkang tak dapat peruntukan, sama saja dapat (peruntukan) macam biasa,” kata ketua Pemuda Umno itu mengulas dakwaan Aleef dari Perikatan Nasional bahawa kerajaan negeri menzalimi rakyat di kawasan pembangkang dengan menafikan peruntukan untuk mereka.

Daripada 28 kerusi di DUN Melaka, hanya terdapat dua wakil pembangkang, iaitu Aleef dan Dr Yadzil Yaakub (Bemban). Kedua-duanya dari Bersatu.

Aleef dalam rakaman video turut mendakwa penyelaras DUN Sungai Udang yang dilantik kerajaan negeri membawa peruntukan kawasan itu untuk kegunaan DUN Paya Rumput, yang diwakili Umno.

Akmal mencabar Aleef menunjukkan bukti terhadap dakwaannya itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau ada bukti bawa ke SPRM, kalau tak ada bukti, jumpalah ketua menteri mohon maaf dan padamlah video yang dikeluarkan. Untuk makluman, peruntukan disalurkan melalui pejabat daerah, jadi ada tatakelola kewangan yang perlu dipatuhi.”

Semakan FMT mendapati video itu sudah diturunkan di semua platform media sosial Aleef.

Terdahulu, FMT hari ini melaporkan Yadzil mempersoalkan motif kerajaan Melaka menafikan peruntukan kepada dua Adun pembangkang dan “adakah kerajaan negeri takutkan sesuatu”.

Ketua pembangkang Melaka itu berkata, penafian dana berkenaan menunjukkan kerajaan negeri bersikap selektif dan tidak ikhlas dalam membantu rakyat.

Ahad lalu, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusof berkata, kerajaan negeri tidak bercadang memberi dana kepada Adun pembangkang dan tidak akan mempertimbangkan sebarang permintaan, sebaliknya dana disalurkan kepada penyelaras dilantik kerajaan negeri bagi kerusi DUN Sungai Udang, Bemban serta Rembia.


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo