Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (kiri) dan Mohd Shukor Mustaffa.
Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (kiri) dan Mohd Shukor Mustaffa.

KUALA LUMPUR: BERSATU memecat keahlian dua Ketua Bahagian, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustaffa (Puchong), berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan, dalam satu notis, semalam, mengesahkan kedua-duanya dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

"Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan serta memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 30 Oktober 2025, dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU," katanya dalam notis berkenaan.

Beliau berkata, responden yang dipecat keahlian terlucut semua jawatan yang disandang dalam parti, dan hendaklah dikeluarkan daripada senarai ahli BERSATU dengan serta-merta.

Sementara itu, notis berkenaan turut memaklumkan bahawa Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis, dibebaskan dengan teguran.

Sebelum ini, Abdul Razak mempertikaikan sikap keras yang didakwa ditunjukkan oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu dalaman BERSATU, dan menganggap Ketua Penerangan parti itu sebagai 'terlalu mentah'.

Pada Oktober lalu, media melaporkan Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, selain menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.

Empat lagi ahli, iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang) turut dipecat. 

Sumber | Bharian