NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut politik Perlis: Azmir, Abu Bakar antara nama disebut calon MB baharu

KANGAR – Dua nama pemimpin kanan kerajaan negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan dan Abu Bakar Hamzah, disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi untuk mengisi jawatan Menteri Besar Perlis susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli.

Muhammad Azmir Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan dan Exco kanan kerajaan negeri daripada PAS dikatakan menerima sokongan kuat daripada kepimpinan PAS Pusat. Beliau turut dikenali sebagai antara individu yang rapat dengan bekas Menteri Besar Perlis itu.

Sekiranya jawatan tersebut diserahkan kepada wakil daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah dilihat sebagai calon utama berdasarkan prestasi beliau sebagai Exco kerajaan negeri serta ADUN Kuala Perlis. Abu Bakar juga mempunyai kedudukan kukuh dalam parti sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.

Sumber PN memaklumkan bahawa BERSATU telah mengemukakan tiga nama ADUN sebagai calon Menteri Besar, iaitu Abu Bakar Hamzah, Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (ADUN Pauh).

Sementara itu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan Menteri Besar lazimnya bergantung kepada individu yang memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Dalam konteks Perlis, PAS mempunyai sembilan kerusi DUN dan keputusan akhir bergantung kepada sokongan tersebut. Isu ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi bagaimana ia diurus secara berhemah dan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar bertenang, mengelakkan kenyataan berlebihan serta memberi ruang kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan muktamad.

Peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebelum ini telah meningkatkan suhu politik di Perlis, memandangkan kerajaan negeri perlu menentukan kepimpinan baharu bagi meneruskan pentadbiran PN yang berbaki kira-kira satu setengah tahun sebelum penggal berakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa parti itu telah mengemukakan dua nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Beliau berkata, PAS masih menguasai majoriti kerusi DUN Perlis walaupun tiga wakil rakyatnya telah digugurkan daripada keahlian parti.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo