Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah Teresa itu bukan sekadar satu cadangan pentadbiran, tetapi dilihat sebagai mencabar hak milik tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.
“Cadangan seperti ini bukan boleh disebut sesuka hati. Ia bukan soal pengurusan biasa, tetapi menyentuh martabat Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahdzir turut menegaskan bahawa Ahli Parlimen DAP itu “tidak sensitif” apabila menyentuh hal berkait institusi Raja-Raja, lebih-lebih lagi ketika berucap di Dewan Rakyat yang memberi imuniti.
Kritik prestasi Langkawi di bawah kerajaan negeri
Teresa sebelum ini menyindir kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas atas dakwaan kegagalan membangunkan Langkawi, malah mencadangkan agar pulau pelancongan itu dijadikan Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa untuk membolehkan pentadbiran yang lebih tersusun dan mesra pelabur.
Cadangan itu bagaimanapun mengundang kemarahan UMNO Kedah yang melihatnya sebagai keterlaluan dan menyentuh hak Tuanku Sultan.
Mahdzir menambah bahawa pembangunan Langkawi masih boleh diperkukuh melalui instrumen sedia ada, termasuk peranan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), tanpa perlu menyerahkan pentadbiran pulau itu kepada kerajaan pusat.

No comments
Post a Comment