BANGI, 15 ZULKAEDAH – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab yang memaparkan suntingan imej Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dalam keadaan berpakaian tidak sopan yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook, Lucas Liam.
Pengerusinya, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata, pihaknya turut menyelar tindakan menyunting dan menyebar imej yang menjengkelkan dan mengaibkan DYMM Sultan Selangor sebelum ini yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook Huayan The Pure Learning Centre.
“MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di Negeri Selangor.
“Ini kerana hantaran tersebut jelas tidak menghormati kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor kerana mengaitkan Ketua Agama Islam dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak.
“Selain itu, visual yang dihantar juga jelas melampaui norma dan nilai masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, rentetan daripada beberapa insiden ini, MAIS menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor dan institusi beraja tidak boleh dipandang ringan.
“Justeru, MAIS menggesa agar jenayah ini disiasat dengan segera oleh pihak berwajib iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.
“MAIS juga menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, kebijaksanaan institusi beraja yang memperkenan pelaksanaan dasar-dasar penting termasuk pemberian kewarganegaraan yang lebih terbuka kepada kaum minoriti haruslah sentiasa dikenang sebagai suatu simbol perpaduan antara kaum,” tegasnya.
Justeru, katanya semua pihak tidak kira bangsa dan agama wajib menghormati dan memelihara institusi beraja ini daripada sebarang unsur yang boleh mencemar dan menjatuhkan kedaulatannya.
“MAIS kekal komited untuk mempertahankan kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri ini.
“MAIS juga menyeru semua pihak untuk memelihara kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta memastikan kesejahteraan umat Islam dan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment