Siri buku ‘Kenapa Babi Tidak Halal?’: Siri 3: Penamaan Babi Secara Saintifik


Daripada segi linguistik, Bahasa Melayu menggelarkan haiwan ini sebagai ‘babi’. Perkataan ‘babi’ terbit daripada salah satu daripada tiga kosa kata asli Bahasa Melayu iaitu babi, padi dan besi. Anak babi disebut ‘nangoi’ manakala babi hutan disebut sebagai ‘babi’.

Di Malaysia, perkataan ‘babi’ dianggap tabu atau tidak sopan lalu babi dipanggil dengan beberapa gelaran terutamanya 'khinzir' yang berasal daripada Bahasa Arab atau juga ‘lembu kaki pendek’.

Bangsa Eropah pula memberi gelaran yang pelbagai kepada babi. Secara umum, mereka memanggil babi sebagai ‘pig’, ‘hog’ atau ‘swine’. Babi betina dewasa disebut ‘sow’ manakala babi jantan disebut ‘boar’. ‘Wild boar’ bermaksud babi hutan. Anak babi secara umum disebut ‘piglet’ atau ‘shoat’, babi remaja betina digelar ‘gilt’, babi remaja jantan dipanggil ‘barrow’ dan babi yang telah matang dan dikasi digelar ‘stage’.

Nama saintifik babi adalah ‘Sus scrofa’ dan perkataan ‘porcine’ juga merujuk kepada babi di mana istilah ini selalunya diguna di dalam bidang perubatan dan farmaseutikal. Contohnya ‘Porcine trypsin’ iaitu enzim tripsin yang diekastrak daripada babi yang sering digunakan untuk tujuan penyelidikan saintifik. Daging babi disebut ‘pork’, bulu babi disebut ‘bristles’ dan lemak babi disebut ‘lard’. Masyarakat Barat turut memberi beberapa gelaran kepada babi iaitu ‘Porker’ iaitu babi yang diternak untuk mendapatkan daging, ‘Slob’ si pemalas, ‘Guzzler’ si gelojoh, ‘Glutton’ si makan banyak, ‘Sloven’ si pengotor dan ‘Greedy guts’ si perut tamak.

Yang menariknya, di dalam bahasa Melayu terdapat beberapa kata bidalan yang menggunakan perkataan babi, menggambarkan persepsi masyarakat terhadap haiwan ini. Antaranya ‘membabi buta’; bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu kerja secara semberono, ‘membabi jalang’; merujuk kepada seseorang yang menjalani kehidupan tidak senonoh dan suka berzina, ‘macam babi hutan’; perumpamaan yang bermaksud sifat seseorang yang melakukan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu.

Taksonomi Babi

 

Daripada sudut biologi pula, babi dikategorikan sebagai haiwan mamalia yang mempunyai tapak kaki keras dan termasuk dalam Keluarga Suidae. Babi pernah ditemui di Afrika, di Eropah dan di Asia. Spesies yang sering ditemui adalah Sus domestica (babi domestik) dan Sus Scrofa (babi hutan).

Terdapat beberapa spesies babi dengan penampilan fizikal yang berbeza iaitu:
Sus barbatus (Babi Berjanggut)
Sejenis babi yang mempunyai muka berjanggut, dikenali juga sebagai Babi Berjanggut Borneo. Sus barbatus mempunyai kuku bercorak dan biasanya tinggal di kawasan hutan hujan serta hutan bakau. Sus barbatus mampu membiak seawal usia 18 bulan dan boleh melakukan pembiakan silang dengan spesies-spesies lain selain keluarga Suidae. Di Amerika Syarikat, terdapat 25 spesies babi ini di dalam zoo mereka.

Sus bucculentus (Babi Heude)
Juga dikenali sebagai Babi Heude iaitu spesies babi bertapak kaki keras. Banyak ditemui di Laos dan Vetnam, dan kini Sus bucculentus ini dipercayai telah pupus.

Sus cebifrons (Babi Visayan Warty)
Sus cebifrons hanya boleh didapati di Pulau Visayan, iaitu di tengah-tengah Filipina. Sus cebifrons turut diancam kepupusan, kekurangan makanan dan aktiviti pemburuan haram. Dipercayai spesies ini sudah hampir pupus.

Sus celebensis (Babi Celebes Warty)
Sus celebensis ditemui di Sulawesi, Indonesia. Sus celebensis mampu hidup di dalam habitat yang tinggi sehingga mencecah 2,500 meter.

Sus scrofa domestica (Babi Domestik)
Sus scrofa domestica ini turut dipanggil sebagai Babi Domestik. Babi Domestik berkulit putih kemerahan dan mempunyai bulu jarang-jarang di seluruh badannya. Babi jenis ini sudah menjadi haiwan ternakan manusia semenjak 9000 tahun sebelum Masehi dan dipelihara untuk mendapatkan daging serta kulitnya.

Sus scrofa scrofa (Babi Hutan)
Sus scrofa scrofa dikenali sebagai Babi Hutan. Spesiesnya sama dengan Babi Domestik (Sus scrofa) tetapi mempunyai subspesies berbeza. Justeru Babi Hutan dipanggil Sus scrofa manakala Babi Domestik dipanggil Sus domestica bagi mengelakkan kekeliruan antara dua subspesies ini. Babi Hutan hampir sama dengan Babi Domestik tetapi ia mempunyai bulu yang agak tebal di seluruh badan. Warnanya pelbagai, daripada kelabu sehingga coklat kehitaman. Babi ini mempunyai taring yang keluar daripada mulut yang menjadi senjata baginya mempertahankan diri. Ketinggian Babi Hutan boleh mencecah sehingga satu meter dengan berat badannya antara 50 hingga 100 kilogram.

Sus oliveri (Babi Oliver Warty)
Sus oliveri adalah satu spesies kecil babi yang berasal dari Asia Tropika. Hanya boleh didapati di Kepulauan Mindoro iaitu di tengah-tengah Filipina.

Sus philipinensis (Babi Philippine Warty)
Satu lagi spesies yang jarang ditemui melainkan di Filipina sahaja.

**Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu. Penulis boleh dihubungi di alamat samhanismail@gmail.com



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post