Dalam satu temu bual eksklusif bersama FMT, Chua berkata, ramai penyokong DAP tidak berpuas hati dengan prestasi parti itu di dalam kerajaan.
“Ramai (penyokong) berkata, DAP lebih elok sebagai pembangkang, dan saya setuju sepenuhnya dengan perkara itu.
“Sebagai parti pembangkang, DAP ialah kuasa yang digeruni,” katanya.
Chua berkata, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu sentiasa cemerlang dalam membingkai isu dan mengubah mesej ringkas menjadi momentum politik yang mampu membentuk persepsi pengundi.
“Pada pilihan raya 2022, DAP tampil dengan slogan yang sangat ringkas namun berkesan: ‘Undi BN, undi Zahid jadi perdana menteri’. Pada masa itu, Zahid terpalit banyak kes mahkamah, ada masalah imej.”
Tiada laluan automatik untuk MCA
Chua berkata, MCA tidak patut menganggap kekecewaan pengundi terhadap DAP akan diterjemahkan kepada pengembalian sokongan untuknya.
“Bukan semudah itu. Ini bukan sekadar soal ‘kalau bukan hitam, maka putih’,” katanya.
Beliau berkata, DAP masih berakar umbi di banyak kerusi majoriti Cina, yang dimenangi dengan majoriti yang sangat besar.
“Di kawasan majoriti pengundi Cina, DAP menang besar, dengan majoriti 80,000, 100,000. Jadi, kalau merosot 50% pun, mereka tetap akan menang, hanya dengan majoriti lebih kecil.”
Atas sebab itu, katanya, DAP mungkin masih mampu mengekalkan kedudukan yang kukuh di Parlimen.
“Prestasi DAP akan tetap bagus dari segi jumlah Ahli Parlimen, tetapi majoritinya akan berkurangan. Harap-harap MCA akan dapat tambah bilangannya.”
‘Reset’ MCA
Chua berkata, laluan MCA untuk bangkit semula bukan bergantung sangat pada serangan terhadap DAP, sebaliknya lebih kepada membuktikan bahawa parti itu masih mampu melakukan pembaharuan.
Katanya, walaupun parti itu sedang melalui ‘tempoh sukar’, MCA masih mempunyai asas sokongan yang setia serta pemimpin muda yang sedang bekerja keras untuk menghidupkan semula parti itu
“Sebagai bekas presiden, saya boleh katakan bahawa MCA kini betul-betul jatuh, tetapi kami belum tewas,” katanya menambah, parti itu masih berjaya mengekalkan jumlah ahli yang besar walaupun prestasi pilihan rayanya tidak memberangsangkan.
MCA meletakkan PRU16 sebagai medan pembinaan semula, dengan setiausaha agung parti Chong Sin Woon sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu menyasarkan tujuh kerusi Parlimen sebagai titik permulaan yang realistik untuk kebangkitan semulanya.
Chua berkata, MCA mesti menyasarkan pengundi muda, yang tidak begitu terikat dengan parti-parti tradisi, dan berusaha mendekati mereka menerusi isu-isu yang paling penting bagi golongan itu.
“Kita ada kelompok pengundi muda yang besar, mungkin sehingga 30%. Muda, lebih berpendidikan, lebih kritikal, dan terdedah kepada media sosial,” katanya.
“Jadi MCA mesti cukup berani untuk terima barisan baharu pemimpin muda. Bukan pemimpin lama seperti saya, (tetapi) generasi pemimpin yang lebih muda.”
Utamakan dasar, bukan lagi politik khidmat
Chua berkata, model lama pusat khidmat MCA, yang dibina berteraskan usaha menangani aduan tempatan, tidak lagi memadai.
“Jalan raya, hujan, banjir, sampah. Semua ini banyak makan masa kami. Kami terlalu fokus pada perkara-perkara ini sehinggakan terlupa isu dasar yang lebih penting,” katanya.
Beliau berkata, parti itu mesti beralih daripada isu-isu harian dan memberi tumpuan pada dasar yang merentasi kaum dan generasi, seperti isu alam sekitar dan perubahan iklim, kekejaman terhadap haiwan, kesaksamaan jantina, pekerjaan, perumahan mampu milik, dan penjagaan warga emas.
Legasi dalam pendidikan
MCA juga patut bersuara dengan lebih lantang mengenai rekod pendidikannya, kata Chua, terutamanya melalui Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) serta Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar).
Beliau berkata, parti itu telah melakar ‘kejayaan ketara’ dalam bidang pendidikan, dengan kedua-dua institusi tersebut telah melatih sekitar 400,000 graduan, dan kini merekodkan jumlah pelajar hampir 50,000 orang secara keseluruhan.
“Tiada parti politik yang telah capai apa yang MCA capai,” kata Chua menambah, MCA sepatutnya lebih yakin dalam mempertahankan rekod tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua institusi itu telah memberi akses kepada pendidikan tinggi mampu milik kepada semua kaum.
“Terdapat ramai pelajar Bumiputera dan India (di institusi-institusi itu). Tetapi kami tidaklah mencanang-canangkannya.”
Sebaliknya, katanya, walaupun DAP telah berkuasa di Pulau Pinang selama 18 tahun, parti itu masih belum mewujudkan legasi pendidikan yang setanding.
“DAP mungkin banyak bunyi, tetapi mereka tidak bina walau sebuah tadika pun, inikan pula universiti,” kata Chua.
Beliau berkata, cabaran MCA adalah untuk menggabungkan legasi pendidikan itu dengan agenda dasar moden yang mampu menarik minat pengundi muda.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment