Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz berkata naib presiden PAS itu dilihat gagal menjalankan tanggungjawab sehingga mengakibatkan PN dilihat tidak efisien serta lambat bertindak balas terhadap perkembangan politik semasa.
Jelasnya, Samsuri menghilangkan diri daripada membuat kenyataan rasmi dan gagal bertindak mengenai pelbagai isu penting termasuk krisis politik di Negeri Sembilan, kenyataan PAS berhubung Muafakat Nasional (MN) 2.0 yang dilihat membelakangi Majlis Tertinggi (MT) serta isu hubungan antara PAS dan Bersatu.
Malah, perbincangan persiapan PRN Johor dan Negeri Sembilan serta memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen juga belum diadakan walaupun DUN telah dibubarkan.
“Ia tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan sambil mendakwa kepimpinan Samsuri menyebabkan institusi pengerusi PN dan MT PN dilihat lemah serta tidak berupaya membuat keputusan yang tegas.
“Ini kerana keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat MT PN boleh dipersoalkan atau dipertikaikan oleh Presiden PAS (Hadi Awang), sekali gus menimbulkan persepsi autoriti kepimpinan PN tidak dihormati sepenuhnya.
Beliau turut mendakwa Samsuri gagal mempertahankan kebebasan dan kewibawaan jawatan pengerusi PN apabila dilihat masih perlu mendapatkan keizinan daripada presiden PAS dan Majlis Syura dalam perkara-perkara yang melibatkan keputusan PN.
“Inilah sebab kenapa sebelum ini Bersatu mahu jawatan pengerusi PN hanya dipegang dalam kalangan Presiden. Jika tidak, ia akan jadi tidak efektif dan efisien seperti sekarang,” katanya yang menyokong gesaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kembali dilantik pengerusi PN.
Gesaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin susulan keputusan PAS untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Menurutnya, Muhyiddin bukan sekadar pengasas PN tetapi mempunyai kredibiliti membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif selain membawa pendekatan sederhana dan berteraskan musyawarah.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu tidak mengejutkan kerana ada beberapa petunjuk sejak sekian lama.
Beliau turut mendakwa wujud perbezaan pandangan dalam PAS, khususnya antara kelompok ulama yang dikaitkan dengan Majlis Syura dan kelompok teknokrat atau “Kluster Publika” yang sering dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin.
Menurutnya, beliau difahamkan kelompok ulama dalam PAS berpandangan hubungan dengan Bersatu tidak wajar diputuskan kerana perbezaan sedia ada dianggap ‘mudarat lebih kecil’ berbanding risiko perpecahan yang boleh menguntungkan Pakatan Harapan dan DAP.
“Berdasarkan maklumat diterima dan perkembangan sebelum ini, ada pandangan bahawa “Kluster Publika” bersama sebahagian kepimpinan tertinggi PAS menjadi pihak yang kuat mendorong keputusan berkenaan,” katanya merujuk keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment