KUALA LUMPUR – Keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan tidak diterima secara sebulat suara.
Menurut sumber, terdapat beberapa ahli Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam ini, menyuarakan pandangan berbeza terhadap keputusan berkenaan.
Bagaimanapun perkara itu masih belum dapat disahkan kerana beberapa pemimpin kanan Pas bertindak mengunci mulut ketika ditemui media selepas mesyuarat berakhir.
Ini termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar yang meninggalkan Ibu Pejabat Pas yang menjadi lokasi mesyuarat khas tersebut, tanpa memberi sebarang kenyataan kepada media.
Soalan sama turut diajukan kepada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak boleh mendedahkan perjalanan mesyuarat kepada umum.
“Saya tidak boleh komen mengenai perjalanan mesyuarat.
“Katanya panas. Tidak, penghawa dingin berfungsi dengan baik,” katanya secara berseloroh kepada media.
Sementara itu, seorang lagi ahli mesyuarat, Datuk Awang Hashim turut mengunci mulut apabila ditanya mengenai dakwaan terdapat ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Rujuk kenyataan akhbar,” katanya ringkas.
Ketika ditanya mengenai kedudukan Bersatu dalam PN susulan keputusan tersebut, Ahmad Fadhli menjelaskan perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas berkenaan.
“Itu kita tidak bincang, sebab setakat yang kita keluarkan kenyataan ia masih termaktub.
“Setakat malam ini begitulah (Bersatu masih dalam PN),” katanya.
Terdahulu, Pas menerusi satu kenyataan media mengumumkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan politik antara kedua-dua parti.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Isnin dan diumumkan menerusi kenyataan yang ditandatangani Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette.
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment