BANGI, 22 ZULHIJJAH – Ketika pelbagai pihak terus memperkatakan mengenai keperluan penyatuan Melayu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berpandangan usaha itu tidak boleh lagi dilihat dalam skop yang terlalu sempit.
Menurut beliau, penyatuan Melayu bukan sekadar soal kerjasama antara PAS dan UMNO, sebaliknya perlu diperluaskan sehingga melibatkan lebih banyak pihak yang berkongsi aspirasi yang sama.
Beliau berkata, terdapat pandangan dalam kalangan pemimpin politik yang melihat penyatuan Melayu akan tercapai sekiranya PAS dan UMNO bergabung dalam pilihan raya.
Namun katanya, pendekatan tersebut sahaja belum memadai dalam landskap politik semasa yang menyaksikan kewujudan pelbagai parti dan kelompok masyarakat.
“Tetapi bagi saya, penyatuan antara PAS dan UMNO belum cukup kuat sebab kita telah pun banyak parti hari ini,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan agenda penyatuan Melayu perlu diterjemahkan melalui satu gerakan yang lebih besar, dengan menghimpunkan parti-parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta suara rakyat dalam satu matlamat yang sama.
Katanya, usaha itu penting kerana ramai pihak di luar sana, termasuk NGO dan rakyat, sedang menantikan langkah yang benar-benar mampu merealisasikan hasrat penyatuan Melayu.
Dalam masa sama, Ustaz Zamani turut melihat peranan rakyat sebagai faktor penting dalam menentukan kejayaan agenda tersebut.
Menurut beliau, kuasa untuk menentukan masa depan politik orang Melayu akhirnya terletak di tangan rakyat yang akan keluar mengundi.
“Kuasa untuk menentukan orang Melayu dapat tampuk dominasi kuasa terletak kepada setiap individu rakyat yang bakal keluar mengundi nanti.
“Tetapi mereka mesti keluar beramai-ramai dan mengundi parti yang membawa suara rakyat dan membawa suara penyatuan,” katanya.
Beliau percaya penyatuan Melayu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya wujud kesediaan semua pihak untuk bergerak dalam satu arah yang sama, melangkaui sempadan parti dan kepentingan kelompok masing-masing.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment