NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......
Showing posts with label KEDAH. Show all posts
Showing posts with label KEDAH. Show all posts

Lesen Judi: Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan, arahan Kerajaan Kedah disifatkan tidak berperlembagaan


PUTRAJAYA, 12 Dis – Usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menghentikan semua lesen perniagaan perjudian menerima tamparan besar apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan, dengan keputusan majoriti 2-1.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Lim Hock Leng bersama Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan yang difailkan kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan bahawa langkah Kedah tidak mempunyai merit dan melangkaui bidang kuasa negeri.

"Ultra vires" – Kerajaan negeri langgar kuasa Persekutuan

Dalam penghakimannya, Lim menegaskan bahawa hal ehwal loteri dan perjudian terletak sepenuhnya di bawah kuasa Kementerian Kewangan, yang menguruskan pemberian serta pembaharuan lesen ejen dan pengendali perjudian.

Faizah pula menambah bahawa keputusan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perjudian “menceroboh kuasa Persekutuan” dan menjejaskan kuasa Menteri Kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul, sekali gus mewujudkan konflik sebenar antara bidang kuasa negeri dan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan ini jelas menimbulkan pertindihan dan tidak selari dengan kerangka kuasa yang ditetapkan Perlembagaan. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat,” katanya.

Hakim minoriti: Keputusan Kedah demi dasar awam

Namun, dalam keputusan minoriti, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi berpandangan bahawa tindakan kerajaan negeri adalah berasaskan pertimbangan dasar awam dan sewajarnya dipertahankan.

Latar belakang: Ejen perjudian cabar keputusan Kedah

Pada 20 Jun tahun lalu, beberapa ejen perjudian, syarikat dan pegawai mereka memfailkan semakan kehakiman selepas Kedah mengarahkan lesen premis perjudian dihentikan sepenuhnya. Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu, membawa kepada rayuan Kedah di Mahkamah Rayuan.

Dengan keputusan hari ini, Kedah perlu mematuhi rangka perundangan Persekutuan dalam apa-apa tindakan berkaitan lesen perjudian – sekaligus mengukuhkan kedudukan kerajaan Persekutuan sebagai pihak berkuasa tunggal dalam hal tersebut.


“Saya Bukan Menteri Besar Pada Waktu Itu” – Sanusi Jelaskan Isu Projek Fidlot

ALOR SETAR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini tampil menjelaskan bahawa Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang kini menjadi perhatian umum, bukan dilaksanakan di bawah pentadbirannya.

Dalam sidang media di Wisma Darul Aman selepas pelancaran Kedah Digital Blueprint 2025 - 2050, Sanusi menegaskan projek berkenaan dirancang dan dimulakan ketika Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum tahun 2020.

Menurut beliau:

“Saya tak tahu apa-apa. Itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar.”

Beliau turut memaklumkan bahawa Datuk Azman Nasruddin, yang kini berdepan pertuduhan rasuah berjumlah RM400,000, merupakan EXCO kerajaan negeri pada tempoh tersebut.

KEDAH AGRO SUDAH DITUTUP

Mengulas lanjut, Sanusi turut menjelaskan bahawa Kedah Agro Holding Berhad, syarikat yang sepatutnya mengendalikan projek fidlot itu, telah ditutup melalui pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), sebelum diambil alih syarikat swasta tanpa penglibatan kerajaan negeri sekarang.

Beliau menambah, sebarang aktiviti berkaitan syarikat tersebut tidak lagi berada di bawah kawal selia kerajaan negeri.

Mengulas kedudukan politik Azman dalam Perikatan Nasional, Sanusi menjelaskan bahawa tiada tindakan akan diambil selagi mahkamah belum membuat keputusan.

“Beliau hanya didakwa. Selagi belum diputuskan bersalah, kita tidak ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Semalam, Azman dan seorang ahli perniagaan didakwa bersubahat menerima wang RM400,000 bagi mendapatkan projek fidlot daripada Kedah Agro.

Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan menyifatkan pendakwaan itu bermotifkan politik.


UMNO Kedah gesa Teresa Kok mohon maaf atas cadangan letak Langkawi di bawah kerajaan pusat

ALOR SETAR — UMNO Kedah mendesak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat permohonan maaf terbuka selepas kenyataannya mencadangkan Pulau Langkawi diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, satu cadangan yang parti itu sifatkan sebagai “mengguris hati rakyat Kedah” dan “menyentuh kedaulatan Sultan Kedah”.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah Teresa itu bukan sekadar satu cadangan pentadbiran, tetapi dilihat sebagai mencabar hak milik tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.

“Cadangan seperti ini bukan boleh disebut sesuka hati. Ia bukan soal pengurusan biasa, tetapi menyentuh martabat Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir turut menegaskan bahawa Ahli Parlimen DAP itu “tidak sensitif” apabila menyentuh hal berkait institusi Raja-Raja, lebih-lebih lagi ketika berucap di Dewan Rakyat yang memberi imuniti.

Kritik prestasi Langkawi di bawah kerajaan negeri

Teresa sebelum ini menyindir kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas atas dakwaan kegagalan membangunkan Langkawi, malah mencadangkan agar pulau pelancongan itu dijadikan Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa untuk membolehkan pentadbiran yang lebih tersusun dan mesra pelabur.

Cadangan itu bagaimanapun mengundang kemarahan UMNO Kedah yang melihatnya sebagai keterlaluan dan menyentuh hak Tuanku Sultan.

Mahdzir menambah bahawa pembangunan Langkawi masih boleh diperkukuh melalui instrumen sedia ada, termasuk peranan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), tanpa perlu menyerahkan pentadbiran pulau itu kepada kerajaan pusat.


22 Cedera Dalam Letupan Mercun di Kulim Ketika Sambutan Deepavali

KULIM, 20 Okt — Seramai 22 individu cedera dalam satu kejadian letupan mercun yang berlaku ketika sambutan malam Deepavali di kawasan Paya Besar, Kulim, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di Jalan Paya Besar ketika orang ramai berkumpul bagi menyaksikan pertunjukan mercun sempena perayaan itu.

“Siasatan awal mendapati mercun telah dinyalakan di kawasan orang ramai, dan sebahagian serpihan mercun meletup secara tiba-tiba, menyebabkan kecederaan kepada penonton yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seorang mangsa dilaporkan cedera parah di kepala, manakala yang lain mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan letupan dan percikan api. Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut.

Pasukan polis dan unit kawalan trafik segera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menenangkan keadaan dan memastikan keselamatan awam.

“Kawasan kejadian telah dibersihkan dan dikawal bagi mengelak sebarang kejadian susulan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan serta sama ada mercun berkenaan diperoleh secara sah atau sebaliknya,” tambah Zulkifli.

Kejadian itu menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk dan pengunjung yang hadir menyambut perayaan berkenaan.

1Media.my

‘Beras Kedah’ Bakal Dilancarkan Penghujung 2026

Gambar sekadar ilustrasi penulis

ALOR SETAR, 25 Februari – Kedah bakal mengeluarkan produk beras jenama sendiri, ‘Beras Kedah’, yang dijangka berada di pasaran menjelang penghujung tahun 2026. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan bekalan beras yang lebih stabil dan ditawarkan pada harga lebih rendah kepada rakyat negeri itu.

Menurut kerajaan negeri, usaha ini adalah sebahagian daripada langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengeluar luar serta memastikan kestabilan bekalan beras tempatan. Langkah ini juga dilihat sebagai satu usaha untuk memperkasakan sektor pertanian di Kedah yang sememangnya dikenali sebagai ‘Jelapang Padi Malaysia’.

Pelaksanaan projek ini dijangka melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan serta petani tempatan bagi memastikan hasil berkualiti dan mampu memenuhi keperluan rakyat.

Kerajaan Kedah optimis bahawa pengeluaran ‘Beras Kedah’ akan memberi manfaat besar kepada rakyat, terutama dalam mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sumber: Harakah Daily


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Ubi kayu kembung perut, padi huma sedap – Sanusi

Muhammad Sanusi (tengah) di kawasan penanaman padi huma di Kampung Chepir, Sik hari ini.

SIK – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyarankan orang ramai supaya menanam padi huma berbanding ubi kayu dalam usaha menambah bekalan beras negara.

Menurut beliau, memakan nasi daripada padi huma lebih sedap dan mengenyangkan, berbanding ubi kayu yang boleh mengundang masalah angin.

“Daripada tanam ubi kayu, baik tanam padi. Ubi kayu ini buat kembung perut sebab angin, padi huma sedap dan kejap perut (mengenyangkan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan benih padi huma di Kampung Radik, Chepir di sini hari ini.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan rakyat negara ini supaya tidak terus bergantung dengan nasi sebagai sumber karbohidrat sebaliknya menggantikannya dengan sumber lain seperti ubi kayu.

Jeas beliau, langkah tersebut dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, daerah Sik disasarkan menjadi hub padi huma atau padi bukit dengan proses penanaman turut diusahakan golongan asnaf fakir miskin di kawasan tersebut.

Katanya, projek perintis penanaman padi huma akan dibuat di kawasan seluas enam hektar di Kampung Chepir seawal Jun ini melibatkan tiga peserta dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

“Padi huma ini ditanam di kawasan tanah darat tanpa genangan air yang mana proses penanaman dilakukan secara tradisional,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan penanaman varieti benih padi Tok Ya memandangkan ia dilihat lebih sesuai dan mudah untuk dikomersialkan.

“Ia berdasarkan tempoh penanamannya yang lebih singkat iaitu tempoh tuaian 100 hari di samping hasilnya yang berat serta memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan eksperimen yang dilakukan di tapak percubaan, sebanyak sekilogram varieti benih padi Tok Ya mampu memberi pulangan hasil sehingga 80 kilogram (kg) padi ketika waktu tuaian. – KOSMO! ONLINE


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Sanusi angkat sumpah sebagai MB Kedah



Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah hari ini.


Muhammad Sanusi, 49, yang juga Pengerusi PN Kedah, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di Alor Setar pada 10.15 pagi ini.



Muhammad Sanusi dilantik semula ke jawatan itu selepas PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lepas.



Dia sebelum ini merupakan menteri besar Kedah yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti Adun ketika itu.



Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah mempertahankan kerusi DUN Jeneri yang disandangnya sebelum ini, selepas menewaskan calon BN Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti 16,050 undi.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1974, Muhammad Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS pernah menjadi setiausaha politik kepada bekas menteri besar Kedah Allahyarham Azizan Abdul Razak antara 2008 hingga 2013.



Dia mula menjadi calon dalam pilihan raya sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) di kerusi DUN Belantek, namun tewas kepada calon BN Mohd Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.



Pada PRU14, dia bertanding di DUN Jeneri dan berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan majoriti 2,455 undi.



Muhammad Sanusi yang berkelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia mendirikan rumah tangga bersama Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan lima anak.



-Bernama

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

MB Kedah angkat sumpah esok, ramai calon berwibawa dalam senarai

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan keputusan kemenangan sempena Pilihan Raya Umun Dewan Negeri (DUN) Negeri Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut Alor  Setar Kedah, semalam. - Foto NSTP/L.MANIMARAN
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan keputusan kemenangan sempena Pilihan Raya Umun Dewan Negeri (DUN) Negeri Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut Alor  Setar Kedah, semalam. - Foto NSTP/L.MANIMARAN

ALOR SETAR: Majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit, pagi esok.

Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual berlangsung di Balai Mengadap Besar Istana Anak Bukit, di sini kira-kira jam 9 pagi.

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu akan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaan di Kedah selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, PAS menguasai paling banyak dengan 21 kerusi, diikuti BERSATU dengan 11 kerusi dan satu milik GERAKAN.

Hanya tiga kerusi dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu satu melalui DAP dan dua PKR. Barisan Nasional (BN) gagal meraih sebarang kerusi.

Terdahulu, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan senarai nama calon Menteri Besar Kedah akan diuruskan kepemimpinan tertinggi PN dalam masa terdekat.

Beliau yang mengekalkan penguasaan di kerusi DUN Jeneri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam berkata sehingga menteri besar baharu dilantik, beliau akan menguruskan segala urusan kerajaan negeri selaku Menteri Besar sementara.

"Parti sedang uruskan semua, saya sendiri tidak tahu nama siapa yang ada...tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak, tetapi saya akan pegang jawatan menteri besar sementara sehingga menteri besar yang baharu dilantik," katanya ketika sidang media di Kompleks PAS di sini, malam tadi.

Sementara itu spekulasi timbul mengenai beberapa nama calon Menteri Besar Kedah yang baharu sekiranya Muhammad Sanusi tidak dilantik semula.

Antaranya termasuk bekas EXCO Kesihatan negeri yang juga antara pemimpin kanan PAS Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang menang bergaya di DUN Tokai pada PRN semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berusia 66 tahun yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pendang sebelum ini, mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri termasuk pernah berkhidmat di bawah bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Turut disebut-sebut Setiausaha Bahagian BERSATU Kuala Kedah yang juga Pengerusi Yayasan Salleh Saidin, Datuk Mohd Salleh Saidin yang menang DUN Kubang Rotan, selain bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Hail Hilman Abdullah yang menang di DUN Jitra.

Demi Sanusi, Shahbudin tolak tawaran kerja di luar negara

Abang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Shabudin, 57, membuat keputusan menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar bagi memastikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ditunaikan.

Menurut Shabudin, mereka 13 beradik termasuk kedua ibu bapa merupakan pengundi berdaftar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Sik.

“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

“Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Sik.

Pada 10 Julai lalu, nama Shabudin menjadi perhatian ramai apabila tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di Sik yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya dan memaklumkan ia adalah kepunyaan Shabudin yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

Sementara itu, Shabudin mengakui dia tidak berasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan alam pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi.

“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini, saya tak kisah dengan apa yang berlaku (kisah banglo tular),” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md. Nor Taib, 82, yang hadir berkerusi roda turut selesai mengundi pada pukul 9.15 pagi tadi sambil ditemani seorang lagi abang kepada Muhammad Sanusi iaitu Sobri, 54.

“Alhamdulillah pak cik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pak cik tak pernah ponteng mengundi,” katanya.

DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, Muhammad Sanusi daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

'Sanusi tak hadir ceramah sebab ada mesyuarat penting' - Tuan Ibrahim

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Ketidakhadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ceramah malam tadi adalah kerana menghadiri mesyuarat penting, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu turut menafikan dakwaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu ditahan polis.

"Tak betul tu (dakwaan ditahan). Beliau tidak hadir ceramah kerana ada jadual bertembung dengan mesyuarat penting," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ketiadaan Muhammad Sanusi yang dijadual hadir pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar di Padang Awam Taman Ria di sini, malam tadi menyebabkan ribuan penyokong kecewa.

Mengikut poster yang dikongsi di akaun Facebook Muhammad Sanusi, beliau sepatutnya menyampaikan ceramah dan berkempen bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Kedah Terima Sijil Bersih Kewangan: Bukti Pentadbiran Berintegriti

KEDAH TERIMA SIJIL BERSIH KEWANGAN: BUKTI PENTADBIRAN BERINTEGRITI

ALOR SETAR - Penyata kewangan kerajaan negeri Kedah terbukti bersih dan saksama selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957, Piawaian Perakaunan Kerajaan Malaysia dan International Public Sector Accounting Standard (Financial Reporting under the Cash Basis of Accounting).

Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, penyata kewangan tersebut merangkumi Penyata Kedudukan Kewangan pada 31 Disember 2021 Kerajaan Negeri Kedah, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan serta Penyata Akaun Memorandum bagi tahun berakhir Disember 2021.

Jelasnya lagi, pengauditan telah dilaksanakan berdasarkan Akta Audit 1957 dan Piawaian Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (ISSAI).

Tambah Datuk Seri Azman, kerajaan negeri Kedah telah memenuhi tanggungjawab etika lain berdasarkan ISSAI. 

"Saya percaya bahawa bukti audit yang diperoleh adalah mencukupi dan bersesuaian untuk dijadikan asas kepada pendapatan. 

“Sijil ini disediakan selaras dengan Perkara 106(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 dan bukan untuk tujuan lain,” beliau menyatakan demikian dalam sijil ketua audit negara bertarikh 18 Ogos 2022.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima Penyerahan Sijil Bersih Kewangan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

#MediaMBKedah 
#UrusSetiaPeneranganDarulAman

DUN Kedah lulus pindaan anti-lompat parti



ALOR STAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri berkaitan melarang Adun melompat parti.

Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (Pindaan) 2023 itu dibentangkan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Setelah Speaker Juhari Bulat membuka ruang untuk pindaan itu dibahaskan, lima Adun mengambil bahagian iaitu Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau), Norsabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baharu), dan Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit).

Dalam perbahasannya, Norsabrina berkata kesetiaan merupakan nilai yang tinggi dan penting untuk dipertahankan dalam usaha memastikan kestabilan negeri sekali gus enakmen anti-lompat parti itu amat diperlukan.

“Bila parti buat keputusan untuk beralih sokongan daripada segi gabungan, kami akur. Kita akan pastikan mandat rakyat tidak dicabuli demi kepentingan diri kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Zamri yang juga ketua pembangkang pula berkata enakmen anti-lompat parti itu nanti akan meyakinkan pengundi terhadap sistem politik.

“Pindaan ini mencipta sejarah dan secara langsungnya dapat menangani gejala rasuah yang menjadi punca kepada beberapa perkara berkaitan keyakinan pengundi,” katanya.

Persidangan DUN Kedah kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.


Sumber | FMT Malaysia





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Selepas Anwar, Menteri Kesihatan pula tak jemput wakil kerajaan negeri ke Majlis Serah Hospital Pendang

Apa alasan menteri tak jemput wakil kerajaan negeri'

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim kesal apabila kerajaan negeri tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang yang dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Khamis lalu.

Beliau berkata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman serta beliau sepatutnya dijemput sama dalam program terbabit namun tiada sebarang jemputan diterima.

"Tiada siapa sangka seorang menteri bagai tidak peka atau lebih mudah tidak pandai dan beradab dalam melaksanakan tugas.

"Apa alasannya kerajaan negeri tidak dijemput? Adakah hanya politik yang tidak seiring dengan kerajaan Pusat?.

"Ini jelas menunjukkan betapa tidak pekanya seorang menteri yang seakan-akan memberi gambaran teladan daripada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali mengadakan lawatan tanpa membabitkan pentadbiran di peringkat negeri. Mungkin suka gamaknya tetapi sangat menjelekkan," katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi akaun Facebook kelmarin.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, menteri berkenaan diminta mengamalkan politik matang dan beradab dengan memberi 'salam' ketika masuk ke rumah orang.

Katanya tindakan menjemput pemimpin daripada parti pembangkang dalam hal ini bukan satu kesalahan.

"Pemimpin parti seiring kerajaan yang tidak menang pun boleh dijemput, apa salahnya jemput juga pemimpin parti yang lain kan?. Kalau tak mau libatkan saya sebagai Ahli Parlimen pun tidak mengapa tetapi saya pun nak tengok pembangunan yang dibawa untuk rakyat di kawasan saya.

"Untuk pengetahuan, saya sendiri pernah terbabit dalam projek pembangunan Hospital Pendang. Dalam hal yang membawa kebaikan kepada rakyat, kementerian sepatutnya bersifat lebih terbuka dengan membabitkan semua pihak tanpa mengira ideologi politik. Kerana apa? Kerana ia adalah untuk rakyat demi rakyat," katanya.

Awang berkata, beliau meminta pimpinan kerajaan sekarang berhenti daripada bermain politik murahan 'scrap off' dan 'discredit' yang akan memberi gambaran lebih buruk kepada kerajaan hari ini.

Katanya, waktu berpolitik kini susah tamat dan tiba waktunya untuk menabur bakti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat hari ini sudah bijaksana menilai tindak tanduk kerajaan hari ini. Berilah khidmat bakti dengan lebih ikhlas agar lebih banyak kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima jemputan ke majlis berkenaan.

“Arak tidak lagi boleh dijual secara terbuka” - Sanusi.

“Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya ia adalah usaha Kedah mengawal penjualan arak di kawasan penduduk bukan Islam berdasarkan keperluan mereka sahaja.

Pada masa sama penjualan minuman keras itu hanya dibenarkan di kawasan didiami penduduk bukan Islam melalui premis-premis dibenarkan.

Jadi ‘non Muslim dibolehkan untuk minum minuman berkenaan sekali gus tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

“Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk. Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik.

“Bagaimanapun, ia (arak) tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung,” katanya,” tegasnya.

Sanusi mengambil contoh Singapura merupakan antara negara yang tegas mengenai penggunaan minuman keras.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.

Tutup premis judi hanya menambahkan judi haram?


DI MALAYSIA, terdapat undang-undang yang membenarkan aktiviti judi dijalankan secara sah iaitu melalui Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan 1953. 

Kegiatan judi yang dijalankan tanpa lesen dan permit dikira sebagai ‘judi haram’ termasuklah kegiatan judi dalam talian. 

Prinsip PAS pula adalah selari dengan ajaran Islam, judi adalah haram sama ada ia berlesen atau tidak berlesen. 

Penutupan premis judi hanyalah salah satu cara membendung penyakit judi – dan Kerajaan Negeri Kedah sudah pun menggunakan kuasanya. 

Mungkin betul, rakyat Kedah yang sudah ketagihan dengan judi akan mencari alternatif lain sama ada dengan berjudi secara dalam talian, atau pergi ke premis judi yang tidak berlesen. 

Oleh sebab itulah, membanteras aktiviti judi ini tidak cukup dengan tindakan daripada kerajaan negeri sahaja. 

Hal ini kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk meminda Akta-akta berkaitan judi bagi menangani masalah judi dalam talian dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap premis-premis yang tidak berlesen.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak berani untuk mengambil tindakan seperti kerajaan-kerajaan negeri di bawah PAS, sekurang-kurangnya ada dua strategi yang Kerajaan Persekutuan boleh lakukan bagi menyokong tindakan membanteras kegiatan judi ini.

Yang pertama, strategi jangka pendek iaitu dengan memperkenalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan kepentingan syarikat judi dan meminda undang-undang yang berkaitan dengan perjudian, khususnya bagi menangani aktiviti judi dalam talian. 

Dasar-dasar tersebut termasuklah menaikkan kadar cukai dan meningkatkan kadar hukuman dan penalti mandatori serta menghentikan semua jenis amalan usahasama yang dilakukan bersama entiti judi. 

Kerajaan juga perlu bertegas untuk tidak memberikan sebarang lesen kepada pengendali judi dalam talian walaupun banyak desakan yang dibuat atas alasan mahu mengaut cukai kepada negara. 

Setakat ini, tidak ada peruntukan khusus untuk kegiatan judi dalam talian menyebabkan pihak pendakwaan terpaksa bergantung kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). 

Penggunaan POCA yang membenarkan seseorang itu ditangkap dan ditahan tanpa bicara bagi kes-kes judi dalam talian menunjukkan kelemahan ketara undang-undang perjudian sedia ada. 

Kerajaan Campuran PH + BN perlu segera memberhentikan politiking memburukkan kerajaan lepas. Teruskan usaha baik kerajaan lepas dengan menggunakan hasil kajian yang dibuat bagi memperkenalkan undang-undang yang boleh membanteras judi dalam talian.

Yang kedua, strategi jangka panjang iaitu dengan menghasilkan pelan strategik yang komprehensif ke arah mengecilkan industri judi secara berperingkat.

Pelan itu juga mestilah memperinci strategi kerajaan bagi mencegah, merawat dan membanteras ketagihan judi dalam kalangan rakyat. 

Penghasilan pelan ini mestilah melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menimbang rawatan psikologi dan psikiatri kepada komuniti yang terlibat dengan ketagihan judi.

Dengan pelan ini, peranan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) tidaklah terhad kepada menyekat laman sesawang dan iklan judi dalam media sahaja. 

KKD boleh mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan ‘in-counter-advertising‘ terhadap iklan-iklan judi dalam talian yang semakin banyak di media-media sosial bagi mempengaruhi anak muda untuk tidak mendekati judi.

Pelan ini juga boleh meletakkan strategi jangka panjang dengan memberi panduan yang lebih berautoritatif kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani judi seperti membatalkan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang disalahgunakan menjadi tempat perjudian.

Matlamat utama daripada pemberhentian operasi judi di negeri-negeri PAS adalah bagi melindungi rakyatnya daripada bahaya judi yang telah merosakkan banyak institusi keluarga di Malaysia.

Kelantan, Terengganu dan Kedah berani mengambil tindakan ini kerana rakyat mereka sudah lama dididik dengan bahaya judi melalui pengajian-pengajian agama yang dilakukan secara terbuka. 

Kini, tiba giliran Kerajaan Campuran PH + BN pula untuk mengambil tindakan dari sudut undang-undang, dasar dan juga penguatkuasaan dalam mendidik rakyat menjauhi judi. 

MUNA RIME
Exco Penerangan & Media Baharu
Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY


Tidak guna jentera kerajaan laksana program parti - MB Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar memberi jaminan tidak akan menggunakan jentera kerajaan, dana awam dan wang pembayar cukai untuk melaksanakan program bagi kepentingan parti politik.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini sejajar dengan penjawat awam tidak membawa fahaman parti politik masing-masing ketika menjalankan tugas.

“Ia dibimbangi bertindak atas kepentingan parti tertentu. Perbuatan itu boleh menghilangkan integriti penjawat awam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Penjawat Awam Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Menurutnya, penjawat awam di Kedah diberi kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik yang diingini selepas waktu bekerja.

Katanya, perkara itu selaras dengan jaminan yang terkandung dalam Perlembagaan berkaitan kebebasan menyertai parti politik, berhimpun dan berpersatuan.

“Saya tidak menghalang mana-mana kakitangan awam untuk menyertai atau aktif dalam parti politik selain parti yang membentuk kerajaan, tetapi syaratnya selepas waktu bekerja.

“Pada waktu bertugas perlu bersikap profesional dan patuh kepada dasar-dasar yang diputuskan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berkata, mana-mana parti politik yang mahu menggunakan kemudahan awam perlu membuat permohonan dan membayar sewa yang ditetapkan.

Taklimat bersama Menteri Besar Kedah dihadiri ketua-ketua jabatan serta kakitangan awam negeri dan Persekutuan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Norizan Khazali dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta wakil rakyat.

Di Kedah terdapat kira-kira 78,000 penjawat awam dengan 5,584 daripada mereka berkhidmat di bawah kerajaan negeri, manakala 69,000 orang di bawah kerajaan Persekutuan serta badan berkanun. – HARAKAHDAILY 5/1/2023


DUN Kedah kekal tidak dibubarkan tahun ini - MB

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan ketetapan itu adalah keputusan yang telah diputuskan Pas sebelum ini. - Gambar fail

ALOR SETAR: Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Mac tahun hadapan meskipun Parlimen telah dibubarkan hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi Astro AWANImemaklumkan ketetapan itu adalah keputusan yang telah diputuskan Pas sebelum ini.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang perubahan akan diputuskan parti di peringkat Pusat.
"Parti sudah buat keputusan (di mana DUN di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas tidak akan dibubarkan meskipun Parlimen dibubarkan tahun ini) dan sekiranya ada perubahan (berhubung pendirian berkenaan), (perkara itu) juga parti akan putuskan," jelas beliau hari ini.
Pada Jumaat, Sanusi memaklumkan bahawa DUN Kedah tidak akan dibubarkan sebelum bulan Mac tahun hadapan meskipun pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat.
Jelasnya, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Selasa, dan baginda menyerahkan sepenuhnya kuasa membabitkan urusan pembubaran DUN kepadanya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan ramalan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan bencana banjir akan berlaku penghujung tahun ini.
Katanya, fokus pentadbiran kerajaan negeri Kedah bagi mengatasi isu banjir akan memberi kesan besar kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.
Dalam perutusannya, Ismail Sabri berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

PAS tak akan bubar DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata langkah itu bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

"PAS mengikut perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan kepada usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

"Justeru, PAS membuat pendirian supaya DUN bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan hingga tamat tempohnya, bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Haramkan judi, Kedah diheret ke mahkamah oleh DAP


ALOR SETAR, 21 November 2021 – Democratic Action Party (DAP) melalui penama Liew Han Eng dan tiga lagi penama telah bertindak mencabar tindakan oleh Negeri Kedah yang enggan memperbaharui lesen perjudian melalui tindakan Mahkamah. 

Ramkarpal Singh, ahli DAP yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang, telah membantu dalam memfailkan kes tersebut. DAP menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai tidak munasabah dan boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Plaintif akan mencabar atas alasan, antaranya, bahawa keputusan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perjudian adalah sesuatu yang melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan kerana kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Parlimen,” ujar beliau.

Selain daripada itu, pihak Plaintif juga akan mencabar kemunasabahan tindakan Menteri Besar Kedah tersebut melalui proses semakan kehakiman yang bakal dijalankan.

Dalam sebuah sidang media baru-baru ini Sanusi menegaskan bahawa beliau mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin mencabar keputusan beliau di mahkamah.

“Jika beliau (peguam) merasakan itu satu keperluan untuk beliau berbuat begitu (membawa tindakan mahkamah) saya persilakanlah,” ujar beliau dalam menjawab persoalan yang dikemukakan oleh wartawan berkenaan keabsahan tindakan beliau tersebut.


Sanusi, pada 17 hari bulan lalu menyifatkan tindakan beliau untuk menghapuskan kegiatan judi di Kedah sebagai sebuah tindakan untuk memelihara keharmonian sejagat.

Sumber | Samudera.my



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

Kedah kekal rekod benam Kuala Lumpur

Pemain KDA FC, Dennis Buschening (dua kiri) meraikan gol ketiga ketika menentang KL City FC pada perlawanan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR

ALOR SETAR: Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk memburu kemenangan kedua menjadi kenyataan apabila menewaskan KL City FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Kenari mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Sarawak 1-0 pada aksi pertama minggu lalu.

Walaupun mengasak kubu pelawat pada awal permainan menerusi percubaan Al-Hafiz Harun pada minit keenam, Ronald Ngah (m-19) dan Syafiq Ahmad (m-21), sebaliknya gawang Kedah yang bocor terlebih dahulu.

Selepas menjaringkan gol ketika menentang Selangor minggu lalu, Zhafri Yahya sekali lagi meledak apabila melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol Kedah Shahril Sa'ari pada minit ke-29.

Kedah yang tersentak dengan gol KL City itu bangkit membuktikan kemampuan di depan 3,000 penyokong dengan gol penyamaan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-32 yang dihasilkan melalui tandukan selepas mendapat hantaran oleh Al-Hafiz Harun.

Pada babak kedua, percaturan Kedah memasukkan Fayadh Zulkifli pada minit ke-66 membuahkan hasil apabila pemain kelahiran Baling itu meledak gol kedua, juga hasil hantaran Al-Hafiz dari garisan tengah padang.

Tidak sampai dua minit, Kedah menghukum sekali lagi benteng pelawat apabila Dennis Buschening menyudahkan hantaran Syafiq.

KL City yang tidak patah semangat merapatkan jurang tiga minit sebelum tamat apabila pemain import, Kevin Koubemba menanduk masuk gol kedua hasil kesilapan Shahril yang gagal menangkap kemas.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo