NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas Anwar, Menteri Kesihatan pula tak jemput wakil kerajaan negeri ke Majlis Serah Hospital Pendang

Apa alasan menteri tak jemput wakil kerajaan negeri'

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim kesal apabila kerajaan negeri tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang yang dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Khamis lalu.

Beliau berkata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman serta beliau sepatutnya dijemput sama dalam program terbabit namun tiada sebarang jemputan diterima.

"Tiada siapa sangka seorang menteri bagai tidak peka atau lebih mudah tidak pandai dan beradab dalam melaksanakan tugas.

"Apa alasannya kerajaan negeri tidak dijemput? Adakah hanya politik yang tidak seiring dengan kerajaan Pusat?.

"Ini jelas menunjukkan betapa tidak pekanya seorang menteri yang seakan-akan memberi gambaran teladan daripada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali mengadakan lawatan tanpa membabitkan pentadbiran di peringkat negeri. Mungkin suka gamaknya tetapi sangat menjelekkan," katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi akaun Facebook kelmarin.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, menteri berkenaan diminta mengamalkan politik matang dan beradab dengan memberi 'salam' ketika masuk ke rumah orang.

Katanya tindakan menjemput pemimpin daripada parti pembangkang dalam hal ini bukan satu kesalahan.

"Pemimpin parti seiring kerajaan yang tidak menang pun boleh dijemput, apa salahnya jemput juga pemimpin parti yang lain kan?. Kalau tak mau libatkan saya sebagai Ahli Parlimen pun tidak mengapa tetapi saya pun nak tengok pembangunan yang dibawa untuk rakyat di kawasan saya.

"Untuk pengetahuan, saya sendiri pernah terbabit dalam projek pembangunan Hospital Pendang. Dalam hal yang membawa kebaikan kepada rakyat, kementerian sepatutnya bersifat lebih terbuka dengan membabitkan semua pihak tanpa mengira ideologi politik. Kerana apa? Kerana ia adalah untuk rakyat demi rakyat," katanya.

Awang berkata, beliau meminta pimpinan kerajaan sekarang berhenti daripada bermain politik murahan 'scrap off' dan 'discredit' yang akan memberi gambaran lebih buruk kepada kerajaan hari ini.

Katanya, waktu berpolitik kini susah tamat dan tiba waktunya untuk menabur bakti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat hari ini sudah bijaksana menilai tindak tanduk kerajaan hari ini. Berilah khidmat bakti dengan lebih ikhlas agar lebih banyak kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima jemputan ke majlis berkenaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo