KULIM, 20 Okt — Seramai 22 individu cedera dalam satu kejadian letupan mercun yang berlaku ketika sambutan malam Deepavali di kawasan Paya Besar, Kulim, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di Jalan Paya Besar ketika orang ramai berkumpul bagi menyaksikan pertunjukan mercun sempena perayaan itu.
“Siasatan awal mendapati mercun telah dinyalakan di kawasan orang ramai, dan sebahagian serpihan mercun meletup secara tiba-tiba, menyebabkan kecederaan kepada penonton yang berada berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seorang mangsa dilaporkan cedera parah di kepala, manakala yang lain mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan letupan dan percikan api. Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut.
Pasukan polis dan unit kawalan trafik segera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menenangkan keadaan dan memastikan keselamatan awam.
“Kawasan kejadian telah dibersihkan dan dikawal bagi mengelak sebarang kejadian susulan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan serta sama ada mercun berkenaan diperoleh secara sah atau sebaliknya,” tambah Zulkifli.
Kejadian itu menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk dan pengunjung yang hadir menyambut perayaan berkenaan.
— 1Media.my

No comments
Post a Comment