BUAT KENDURI KERANA BALIK DARI MEKAH
SOALAN :
Saya ada kemuskilan tentang buat kenduri setelah pulang dari buat haji di Mekah adakah dibolihkan kerana ada orang kata amalan buat kenduri balik dari buat haji itu idak ada dalilnya?
Dan satu lagi kemusykilan saya adakah benar jika jumpa orang yang baru pulang dari buat haji di Mekah sunat kita minta mereka doakan untuk kita kerana doa mereka makbul?
JAWAPAN :
Berkenaan buat kenduri menjamu orang-orang makan setelah pulang dari mengerjakan haji adalah disunatkan kerana mengikut perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam yang menyembelih haiwan kemudian mengadakan jamuan apabila pulang dari suatu perjalanan.
Telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. beliau berkata :
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لَمَّا قدِمَ النَّبيُ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ المدينةَ : نَحر جَزورًا أو بقَرةً
Artinya : “Bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam ketika sampai ke Kota Madinah baginda telah menyembelih unta atau lembu.” (Hadith riwayat al-Bukhari)
Dan berkenaan minta orang yang baru pulang dari ibadah haji berdoa itu ada banyak dalil yang menjadi sandarannya dan antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata :
إِذَا لَقِيتَ الْحَاجَّ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَصَافِحْهُ وَمُرْهُ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ بَيْتَهُ فَإِنَّهُ مَغْفُورٌ لَهُ
Artinya : “Apabila kamu berjumpa orang yang baru melakukan ibadah haji maka berilah salam ke atasnya dan berjabat salamlah dengannya dan minta dia doakan keampunan bagi kamu sebelum dia masuk ke dalam rumahnya kerana sungguhnya telah diberi keampunan baginya.” (Hadith riwayat Imam Ahmad)
Kesimpulannya sunat mengadakan kenduri selepas pulang dari menunaikan ibadah haji dan sunat orang yang berjumpa dengan orang yang baru pulang dari ibadah haji untuk bersalaman dengannya kemudian meminta agar dia doakan ke atasnya kerana makbul doanya.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus

No comments
Post a Comment