MARANG - Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris mengesahkan beliau hanya melepaskan jawatan sebagai kepimpinan parti pada 1 Oktober lalu, namun kekal sebagai ahli biasa.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas berkhidmat sedekad sebagai pemimpin parti demi mencari wadah perjuangan baharu serta memastikan bebas untuk terus menegur dan mengkritik parti jika didapati melakukan kesilapan.
"Kenyataan saya, 10 tahun saya berkhidmat sebagai pemimpin Bersatu. Hari ini, sampai 1 Oktober lalu (Khamis) saya berhenti. Maksudnya berhenti sebagai pimpinan, Ketua Bahagian Marang, menyusuli Badan Pimpinan Negeri.
"Saya jadi ahli biasa sekarang," ujar beliau ketika ditemui selepas sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 di Pantai Kelulut di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, pada 7 Ogos lalu, Razali dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas menerajui parti itu di Terengganu selama kira-kira sedekad.
Mengulas lanjut mengenai tindakannya, Razali menegaskan bahawa beliau tidak menghantar surat keluar parti, sebaliknya hanya meletakkan jawatan dalam kepimpinan parti tersebut.
Jelas beliau, status sebagai ahli biasa membolehkannya terus bersuara membela prinsip perjuangan dan menegur parti sekiranya berlaku penyelewengan.
"Kalau saya keluar terus daripada parti, saya tidak boleh nak kritik apa-apa. (Seperti) jadi orang luar, saya jadi parti lawan. Saya memang pengasas parti, daripada mula penubuhan, jadi saya ada tanggungjawab," jelasnya.
Ditanya mengenai spekulasi penyertaannya ke wadah politik baharu, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut, namun memaklumkan bahawa keputusan muktamad belum dibuat buat masa ini.
"Wadah baharu itu memang saya fikir hal yang lain. Kalau saya tak berasa hati kepada parti sekarang, saya tak akan letak jawatan.
" Apabila saya rasa perlu lagi perjuangan, saya akan cari wadah baharu untuk menguruskan agenda perjuangan saya. Ini perkara biasa sahaja, bukan satu isu besar," katanya.
Berhubung kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN), Razali turut meluahkan kebimbangan terhadap hubungan antara Bersatu dan Pas yang menurutnya berdepan jalan buntu dan sukar dipulihkan.
Beliau berkata, perpecahan antara kedua-dua parti komponen utama itu bakal merugikan blok pembangkang, lebih-lebih lagi apabila isu tersebut kini turut merumitkan kedudukan gabungan berkenaan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Krisis di antara Perikatan Nasional ini sebenarnya melibatkan Bersatu dengan Pas. Bila Bersatu dengan Pas sudah tak boleh berubat lagi, maka akan berlakulah perpecahan.
"Blok yang paling besar sekali dalam Perikatan Nasional adalah Bersatu dengan Pas. Kalau pecah belah, agak sukar untuk kita tengok Perikatan Nasional berjaya. Jadi, saya serah kepada ROS, kita tak boleh kata apa," tambahnya lagi.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment