KOZHIKODE (Kerala): Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mengambil serius cabaran Umno agar parti itu disingkirkan daripada kerajaan perpaduan bagi membolehkan PRU diadakan lebih awal, sebaliknya menyifatkan gesaan tersebut sekadar ‘pandangan’ parti itu.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sendiri, gabungan yang dipengerusikannya, pernah menyuarakan pandangan tegas sebelum ini.
“Jadi saya pilih pendekatan sederhana. Bagi saya, keutamaannya adalah memastikan kerajaan kekal stabil, jika tidak negara yang akan rugi,” katanya kepada pemberita petang ini.
Anwar turut menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah dengan beberapa kenyataan yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu lalu, menyifatkan perbezaan sedemikian sebagai lumrah.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula ‘rumahtangga’,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan hubungan dengan Umno akan merosot, Anwar berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah dengan parti anggota kerajaan perpaduan itu buat masa ini.
“Saya tidak nampak apa-apa masalah,” katanya.
Pada PAU sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi mencabar pengkritik parti supaya menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada kerajaan perpaduan, selain menggesa mereka mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar di Parlimen.
Zahid turut melontarkan beberapa sindiran halus terhadap Anwar, yang dirujuknya sebagai ‘guru’.
Bagaimanapun, timbalan perdana menteri itu kemudiannya mengulangi komitmen BN untuk kekal dalam pentadbiran sedia ada sehingga tamat penggal.
Beliau turut menegaskan pandangan yang disuarakan oleh perwakilan pelbagai sayap dan negeri tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi Umno, sebaliknya hanyalah pandangan peribadi.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment