Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kedudukan parti itu belum sampai ke tahap terancam atau berdepan risiko pupus, dengan keputusan beberapa siri pilihan raya negeri menunjukkan usaha untuk bangkit mula membuahkan hasil.
“Terancam? Memang Umno Kedah sedang lemah, tetapi belum sampai tahap terancam atau pupus.
“Keputusan beberapa siri PRN membuktikan kerja keras Umno mula menampakkan hasil. Ruang untuk bangkit masih luas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan FMT memetik kenyataan penganalisis yang hasrat Umno Kedah mahu berunding hanya dengan PAS didorong rasa terancam memandangkan gagal menang sebarang kerusi DUN pada PRN lalu.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata Umno cuma berpeluang merebut semula kerusi DUN Bakar Arang dan Sidam yang dimenangi PKR serta Kota Darul Aman dikuasai DAP, jika mengikut prinsip penganugerahan kerusi kepada penyandang.
Pada Perhimpunan Agung Umno, hujung minggu lalu, Shaiful berkata Umno Kedah mahu memulakan perbincangan kerjasama politik dengan PAS menjelang PRU16, tetapi bukan dengan Perikatan Nasional (PN), dengan merujuk kewujudan ‘parti kucing’ dalam gabungan itu.
Beliau tidak menamakan parti terbabit.
Mengulas lanjut, Shaiful berkata Umno Kedah menerima hakikat ia tidak lagi dominan dan perlu menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu.
Beliau mengibaratkan kedudukan parti itu sebagai ‘muhajirin’ yang sedang berhijrah dan menyesuaikan diri dengan realiti semasa, namun masih berharap dapat mencapai persetujuan sesuai untuk kembali bekerjasama dengan PAS.
Menurutnya, sebarang rundingan antara PAS dan Barisan Nasional (BN) selepas ini perlu memasuki fasa baharu dengan terma lebih segar, ikhlas dan berfokus supaya sengketa lama tidak terus menghantui hubungan kedua-dua parti.
Bagaimanapun, Shaiful menegaskan Umno Kedah hanya mahu berunding dengan parti yang mempunyai sejarah dan kekuatan terbukti, bukannya pihak yang bergantung kepada peranan sebagai orang tengah atau ‘broker politik’.
“Penyatuan ummah yang sebenar ialah apabila Umno dan PAS mencapai kata sepakat tanpa dicatur oleh pihak lain,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment