Dalam sidang media di Wisma Darul Aman selepas pelancaran Kedah Digital Blueprint 2025 - 2050, Sanusi menegaskan projek berkenaan dirancang dan dimulakan ketika Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum tahun 2020.
Menurut beliau:
“Saya tak tahu apa-apa. Itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar.”
Beliau turut memaklumkan bahawa Datuk Azman Nasruddin, yang kini berdepan pertuduhan rasuah berjumlah RM400,000, merupakan EXCO kerajaan negeri pada tempoh tersebut.
KEDAH AGRO SUDAH DITUTUP
Mengulas lanjut, Sanusi turut menjelaskan bahawa Kedah Agro Holding Berhad, syarikat yang sepatutnya mengendalikan projek fidlot itu, telah ditutup melalui pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), sebelum diambil alih syarikat swasta tanpa penglibatan kerajaan negeri sekarang.
Beliau menambah, sebarang aktiviti berkaitan syarikat tersebut tidak lagi berada di bawah kawal selia kerajaan negeri.
Mengulas kedudukan politik Azman dalam Perikatan Nasional, Sanusi menjelaskan bahawa tiada tindakan akan diambil selagi mahkamah belum membuat keputusan.
“Beliau hanya didakwa. Selagi belum diputuskan bersalah, kita tidak ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Semalam, Azman dan seorang ahli perniagaan didakwa bersubahat menerima wang RM400,000 bagi mendapatkan projek fidlot daripada Kedah Agro.
Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan menyifatkan pendakwaan itu bermotifkan politik.

No comments
Post a Comment