SHAH ALAM- Pemuda Pas menggesa Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri, Menteri Komunikasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan daripada DAP memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu penternakan babi di negeri tersebut.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jika tidak ada permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam, Pemuda Pas tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan laporan polis di seluruh negara berkenaan penderhakaan terhadap institusi diraja.
Menurutnya, ini kerana Sultan Selangor sekali lagi menegaskan titah baginda sebelum ini bahawa tidak wajar lagi timbul sebarang perbincangan atau perbahasan berhubung cadangan pembinaan ladang ternakan babi di negeri Selangor.
"Namun amat mendukacitakan, apabila ketegasan titah baginda itu seolah-olah tidak diberikan perhatian yang serius oleh Kerajaan Madani yang mentadbir Selangor mahupun Kerajaan Persekutuan.
"Mengapa pula Kerajaan Madani dilihat begitu bersungguh-sungguh mempertahankan pembinaan ladang ternakan babi sedangkan isu pesawah di Kedah sekadar dipandang sepi?
"Lebih malang lagi, mengapa Kerajaan Madani seolah-olah sengaja menderhaka titah Baginda yang disampaikan dengan jelas, terang dan terbuka," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sultan Selangor kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Menurut beliau, pendirian baginda dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan ternakan tersebut.
Tambah Afnan Hamimi, sepatutnya semua pihak akur dengan pendirian yang disampaikan, bukannya membuka semula perbincangan sehingga mengenepikan pandangan baginda dalam isu ini.
"Pemuda Pas juga kesal dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi semalam yang menyatakan bahawa penternakan babi di Selangor dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment