NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan kekal Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ibarat simbah garam ke luka - Amanah



SHAH ALAM - Keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ibarat menyimbah garam ke luka penggerak dan penyokong PH yang kecewa dengan kemelut politik tercetus sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Zainal Lutfi Zainal Fitry berkata, tindakan meneruskan kerjasama dengan pihak didakwa mengkhianati Kerajaan Perpaduan merupakan sesuatu sukar diterima penyokong PH di negeri itu.

"Adalah kerja gila untuk membuat kerjasama kembali dengan pihak yang secara jelas telah berkhianat.

"Mereka juga telah mendapat berbagai kelebihan dari Menteri Besar sehingga ramai penggerak PH yang makan hati.

“Segala kelebihan tersebut akhirnya hanya dibalas tuba dan tikaman,” katanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir Negeri Sembilan dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu melibatkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan telah berjaya diurus serta diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi BN dan PPH.

Ia selepas Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan pada Selasa mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Zainal Lutfi turut mempersoalkan keputusan mesyuarat pimpinan PH-BN yang didakwa tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap wakil rakyat BN terlibat.

"Yang lebih pelik dari keputusan mesyuarat, tiada satu tindakan atau hukuman kepada YB-YB BN yang telah berkhianat," ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, permohonan maaf semata-mata tidak memadai, sebaliknya hukuman lebih tegas perlu diberikan kepada mereka jika ingin membina semula Kerajaan Perpaduan.

"Jawatan-jawatan seperti ketua kampung dan ahli majlis dari BN perlu segera dikosongkan," tegasnya.

Menurut beliau, membiarkan individu yang didakwa mengkhianati kerajaan terus berada dalam pentadbiran merupakan satu kesilapan besar.

Ujar Zainal Lutfi, Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dipertimbangkan sebagai salah satu jalan penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.

"Tetapi lebih baik YB-YB BN tersebut mengosongkan kerusi mereka yang telah dimenangi dengan kerjasama PH.

"Laksanakan PRK tiga penjuru untuk kesemua 14 kerusi tersebut. Biarkan pengundi yang tentukan nasib kerusi-kerusi tersebut. Jangan hukum Dewan Undangan Negeri (DUN) lain kerana tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut," katanya.

Zainal Lutfi menambah, semua maklum, polemik berlaku kini adalah kerana ketamakan UMNO untuk mendapat jawatan Menteri Besar sehingga sanggup meruntuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

"Bahkan mereka membelakangkan Yamtuan yang telah melantik dan menitahkan supaya Menteri Besar dari PH untuk terus berkhidmat," menurutnya.

Kongsi beliau, pengundi PH juga ingin mengingatkan beberapa kerusi BN dimenangi pada PRN lepas adalah kerana kerjasama dari parti komponen PH dan pengundi parti itu.

Sebagai contohnya, kata beliau, Amanah sendiri telah mengorbankan kerusi Lenggeng pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memberi laluan kepada BN bertanding dan kemudiannya memenangi kawasan tersebut.

Justeru, katanya, Pemuda Amanah Negeri Sembilan tetap dengan pendirian untuk tidak berunding dengan individu yang mempunyai rekod pengkhianatan politik.

"Tiada rundingan dengan pengkhianat. Jika mahu berunding, pilih orang lain tanpa rekod khianat. Pilih orang-orang muda yang berpotensi. Kita sudah mempunyai banyak pengalaman-pengalaman dengan orang-orang tua dalam politik yang 1001 masalah," tegas beliau.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo