NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak guna jentera kerajaan laksana program parti - MB Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar memberi jaminan tidak akan menggunakan jentera kerajaan, dana awam dan wang pembayar cukai untuk melaksanakan program bagi kepentingan parti politik.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini sejajar dengan penjawat awam tidak membawa fahaman parti politik masing-masing ketika menjalankan tugas.

“Ia dibimbangi bertindak atas kepentingan parti tertentu. Perbuatan itu boleh menghilangkan integriti penjawat awam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Penjawat Awam Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Menurutnya, penjawat awam di Kedah diberi kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik yang diingini selepas waktu bekerja.

Katanya, perkara itu selaras dengan jaminan yang terkandung dalam Perlembagaan berkaitan kebebasan menyertai parti politik, berhimpun dan berpersatuan.

“Saya tidak menghalang mana-mana kakitangan awam untuk menyertai atau aktif dalam parti politik selain parti yang membentuk kerajaan, tetapi syaratnya selepas waktu bekerja.

“Pada waktu bertugas perlu bersikap profesional dan patuh kepada dasar-dasar yang diputuskan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berkata, mana-mana parti politik yang mahu menggunakan kemudahan awam perlu membuat permohonan dan membayar sewa yang ditetapkan.

Taklimat bersama Menteri Besar Kedah dihadiri ketua-ketua jabatan serta kakitangan awam negeri dan Persekutuan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Norizan Khazali dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta wakil rakyat.

Di Kedah terdapat kira-kira 78,000 penjawat awam dengan 5,584 daripada mereka berkhidmat di bawah kerajaan negeri, manakala 69,000 orang di bawah kerajaan Persekutuan serta badan berkanun. – HARAKAHDAILY 5/1/2023


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo