NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Terengganu dijangka bubar Mac atau Mei

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka akan dibubar sama ada bulan Mac atau Mei tahun ini bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di negeri ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, tarikh sebenar untuk dibuat PRN15 Terengganu belum diputuskan lagi tetapi pihaknya memberi jaminan ianya akan diadakan sebelum Jun depan.

Katanya, beberapa perkara perlu dilihat dan dinilai sebelum tarikh sebenar diumumkan untuk pelaksanaan PRN15.

“Saya yakin PRN15 dapat diadakan sebelum Jun, dijangka seawal Mac atau selewat-lewatnya Mei ini.

“Jika tidak berlaku PRN pada Mac ini, masa paling sesuai diadakan ialah selepas Aidilfitri pada Mei nanti,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu (COE 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. (Foto atas)

Ariffin yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri berkata, pelaksanaan PRN Negeri Terengganu juga akan mengambil kira musim perayaan dan musim haji pada tahun ini.

“Kita juga cadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pembubaran DUN tidak mengganggu proses menunaikan haji.

“Ini disebabkan penerbangan pertama menunaikan haji pada 21 April depan di mana membabitkan lebih 600 orang sehari berangkat ke tanah suci,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengagihan kerusi katanya, perbincangan sudah diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun keputusan muktamad belum diputuskan.

“Perbincangan untuk mengadakan PRN serentak dengan negeri-negeri terlibat juga telah diadakan dan setakat ini ianya berjalan dengan lancar,

“Dengan sokongan rakyat, kita menaruh keyakinan dapat menawan semua kerusi pada PRN15 nanti,” ujarnya. – TRDI.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo