Zafrul sebelum ini menjawat jawatan Menteri Kewangan dibawah dua Perdana Menteri terdahulu dan bertanggungjawab dalam merancang perbelanjaan kerajaan serta memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi memulihkan negara selepas berdepan cabaran pandemik, Covid-19 sebelum ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedia bekerjasama jika dipanggil berhubung dakwaan penyelewengan dana tersebut.

“Tidak ada apa-apa yang tidak kena (melibatkan pengurusan dana). Tapi saya sedia untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh agensi berkaitan. Kami sangat telus.

“Seperti saya katakan, kita ada laporan mingguan (Laporan Laksana). Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Laporan itu diserahkan kepada media, malah orang awam juga boleh mendapatkannya,” katanya dipetik dalam dalam temu bual eksklusif bersama CNBC pada Khamis, lapor Astro Awani.

Zafrul pada masa sama turut mengesahkan beliau belum dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

Bulan lepas, SPRM memaklumkan fokus siasatan pihaknya berhubung dakwaan salah guna dana oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan untuk pengurusan Covid-19.

Perdana Menteri Anwar Datuk Seri Ibrahim sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan telah mengakui beberapa pelanggaran serius prosedur melibatkan dana itu.

- Agendadaily