Datuk Seri Najib Razak hari ini (5 Januari 2023) memfailkan petisyen kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta bantuan supaya dia dibebaskan atau dibicarakan semula, sambil mendakwa kesnya mempunyai kecacatan serius dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Permohonan itu dibuat kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari (WGAD) PBB setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadapnya.

Peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya memohon panel WGAD PBB membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos lalu adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya, lapor BH.

“Mahkamah itu tidak membenarkan pembelaan untuk berhujah dalam rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun. Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir untuk rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik (Datuk Mohd Zaid Ibrahim) tidak diberikan masa yang jelas untuk membaca puluhan ribu muka surat dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan difailkan peguam sebelum ini.

“UNWGAD yang akan meneliti rayuan itu membabitkan lima hakim hak asasi manusia yang terkenal. Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil.

“Jika tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan membebaskannya atau memberi perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja terbabit,” katanya pada sidang media pejabatnya di ibu negara, hari ini

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Muhammad Shafee berkata, beberapa penyokong kuat UNWGAD termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada memberitahu kepada Universiti Cambridge bahawa pendapat kumpulan itu adalah penting dalam usaha mendapatkan kebebasan.

“Najib menyuarakan harapan dan keyakinan bahawa kerajaan sedia ada akan mengikut keputusan UNWGAD,” katanya.

Ditanya tempoh maklum balas UNWGAD, Muhammad Shafee menjangka respon diterima dalam beberapa bulan ini.

“Saya pasti apabila UNWGAD terima petisyen itu, mereka akan terus proses. Prosedurnya mereka akan hantar semua dokumen berkaitan kepada Kerajaan Malaysia.

“Bukan tugas kita untuk berbuat demikian. Petisyen itu akan dihantar oleh UNWGAD kepada Kerajaan Malaysia menerusi proses diplomatik iaitu Wisma Putra,” katanya.

- Agendadaily