KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan kecaman Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar terhadap cadangan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung pelaksanaan sistem penternakan babi secara tertutup dan moden di Selangor adalah sangat menghairankan.
Ini kerana, dakwanya, kenyataan Mohamed Sukri itu jelas bercanggah dengan pendirian Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri.Menurutnya, Ab Halim semasa mengetuai delegasi melawat ibu pejabat China Press pada 30 Januari lalu menegaskan bahawa Pas tidak menentang aktiviti penternakan babi di Selangor mahupun melarang orang bukan Islam memakan daging babi.
Sebaliknya, kata beliau, syarat utama yang ditekankan Ab Halim adalah jaminan kebersihan alam sekitar sepenuhnya bagi mengelakkan pencemaran, serta penempatan di lokasi yang bersesuaian.
Malah, tambah beliau, kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor tersebut sebelum ini telah disambut baik oleh masyarakat bukan Islam.
“Namun, tindakan Ketua Pemuda Pas Selangor yang kini mengeluarkan kenyataan yang bertentangan menggambarkan bahawa Pesuruhjaya Pas Selangor seolah-olah telah hilang kewibawaan dan kawalan terhadap suara dalaman partinya sendiri.
“Percanggahan ini juga membuktikan bahawa Pas Selangor tidak mempunyai dasar yang konsisten mahupun keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut penternakan babi.
“Sebaliknya, mereka lebih berminat memperalatkan isu ini sebagai modal politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, tambah Teresa, sistem penternakan haiwan secara tertutup dan moden telah lama diamalkan di peringkat global, termasuk oleh syarikat-syarikat di negara jiran.
Ujar beliau, sekiranya Malaysia mahu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, sistem penternakan dan pertanian moden yang mesra alam wajib diwujudkan demi menjamin sekuriti makanan negara.
Sehubungan itu, katanya, saranan Siew Ki di DUN Selangor membuktikan ADUN Seri Kembangan berkenaan merupakan seorang wakil rakyat yang berwawasan dan berjiwa rakyat kerana berani mengutarakan solusi praktikal bagi masalah yang sekian lama berlarutan.
“Saya menyeru Ketua Pemuda Pas Selangor agar mencontohi sikap terbuka Pesuruhjaya Pas Selangor dan YB Wong Siew Ki, serta berhenti memainkan sentimen perkauman dalam isu ini demi kepentingan pembangunan negeri,” katanya.
Terdahulu, Siew Ki mencetuskan kontroversi ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.
Menurutnya, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment