Titah tersebut dizahirkan selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, pada Isnin.
Menurut kenyataan Istana Selangor, baginda menegaskan bahawa tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjong Sepat, dan proses perpindahan hendaklah dilaksanakan secara terancang serta mematuhi semua keperluan perundangan.
“Operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar,” menurut kenyataan itu.
Izham dalam sidang media selepas sesi menghadap memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mempercepatkan pemindahan ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang, serta tidak akan memperbaharui sebarang lesen penternakan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Langkah itu, katanya, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin dan bertujuan menangani isu pencemaran alam sekitar serta penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).
Izham turut menjelaskan bahawa projek penternakan di Bukit Tagar merupakan inisiatif pihak swasta, manakala kerajaan negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara dari segi kelulusan yang diperlukan.
Baginda sebelum ini menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan kaedah pengurusan penternakan babi di Selangor ketika ini, sekali gus mendorong pertemuan bersama Exco berkaitan.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar kajian terperinci dan bancian menyeluruh dijalankan bagi menentukan keperluan sebenar daging babi untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan eksport hasil penternakan tersebut.
Dapatan kajian itu, menurut baginda, perlu dijadikan asas dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar supaya kekal terkawal dan munasabah.
Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan awam bagi operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin seterusnya berharap semua pihak mematuhi ketetapan tersebut dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

No comments
Post a Comment